Friday, June 15, 2012

Jangan jadi kerengga dan rambutan

SIK – “Kita jangan jadi kerengga dengan rambutan.” Demikian tamsilan yang dibuat Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak bagi mengulas tindakan penduduk di Baling dan Mahang mengadakan bantahan terhadap pembalakan di kedua-dua tempat tersebut.

“Kerengga penuh atas buah rambutan, tak buat apa-apa pun, dok main luar buah tu saja, tapi bila orang potong buah tu, kerengga pun jatuh, kita makan isi, kerengga tengok saja, apa pun tak dapat.

“Pokok di kawasan tu dah sampai dua pemeluk, dia tak kata hak dia, tapi bila kita nak tebang, dia kata harta dia, 150 ekar kita tanam dah, dia kacau, tunjuk perasaan,” ujar beliau menjelaskan maksud perumpamaan itu.

Menurut beliau, projek Ladang Sejahtera yang dicetuskan adalah untuk bangunkan tanah-tanah di negeri Kedah bagi memberi peluang pekerjaan kepada penduduk serta pemberian saguhati kepada mereka yang layak.


Oleh demikian, adalah menjadi dasar kerajaan negeri memastikan tanah-tanah di negeri ini tidak diberi sewenang-wenangnya kepada syarikat-syarikat asing.

“Dulu, tanah di Kedah Felcra yang urus, iaitu sebelum Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) aktif dalam pertanian, jadi sekarang nak ambil balik serta banyakkan kawasan ladang.

“Ini adalah hak rakyat, kita sebagai kerajaan sebagai pemegang amanah tanah itu, jadi ianya dikembalikan kepada rakyat,” jelas beliau pada Majlis Penyerahan Saguhati Kepada Peserta Ladang Sejahtera daerah Sik yang diadakan di Padang Awam Sik.

Tambah beliau, kerajaan negeri tidak berselindung disebalik projek Ladang Sejahtera bagi aktiviti pembalakan, sebaliknya ia dijalankan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Kita buat ni setelah dapat nasihat daripada agensi-agensi tertentu, seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Tanah dan Galian.

“Peraturan memotong atau menebang balak sudah ditentukan melalui Dasar Perhutanan Negara, semuanya ikut peraturan.

“Ini isu yang ditimbulkan oleh mereka yang dengki dengan kerajaan negeri yang berjaya membantu penduduk, mereka dulu tak dapat nak buat macam ni,” jelas beliau.

Dalam pemilihan peserta yang layak menerima saguhati ini, ianya dibuat menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) berdasarkan garis panduan yang ditetapkan, maka tidak timbul ianya hanya diberi mengikut parti politik.

No comments:

Post a Comment