Friday, June 15, 2012

Ternakan lembu di Sungai Laka catat kejayaan

BUKIT KAYU HITAM – Ladang Satelit Sungai Laka, di sini telah menyumbang sebanyak 1,800 ekor lembu yang dikeluarkan sejak aktiviti penternakan dimulakan pada bulan Mei 2011.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dato’ Dr. Ibrahim Che Embong berkata, secara tidak langsung, Ladang Satelit Sungai Laka telah menyumbang sebanyak 261 metrik tan daging yang dianggarkan bernilai RM4 juta.

“Pengusaha-pengusaha yang telah menjayakan program ini ialah Encik Zainul Hassan, Koperasi Usahawan Ternak Ruminan Utara Berhad (KOPUTRA), Syarikat BUMIRA Trading dan Encik Baharin Shah Hussain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Ladang Satelit Sungai Laka, di sini.

Menurutnya, Encik Baharin Shah Hussain merupakan integrator yang mengeluarkan rumput di Ladang Satelit Sungai Laka.


“Infrastruktur di ladang satelit ini telah disiapkan sejak bulan Februari 2011. Para penternak hanya bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti penternakan di kawasan yang telah disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Dr. Ibrahim memberitahu, melalui kemudahan yang disediakan, kerajaan berharap jumlah ternakan yang dipelihara dapat dipertingkatkan.

“Peluang yang diberikan kepada pengusaha diharap tidak dipersiakan dan hendaklah dijaga dengan sebaik-baiknya agar program ini memberikan pulangan menguntungkan di samping membantu menjayakan pencapaian hasrat kerajaan meningkatkan pengeluaran daging dalam negara,” jelasnya.

Tambahnya, kadar sewa kandang di Ladang Satelit Sungai Laka telah ditentukan oleh Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Harta (JPPH) iaitu sebanyak RM2,000 sebulan berdasarkan kos pembangunan kandang.

“Walaupun terdapat permohonan untuk mengurangkan kadar sewa ini, perkara ini akan dikaji dan diteliti untuk pertimbangan kerajaan agar kadar yang lebih berpatutan dan tidak membebankan pengusaha dapat dipertimbangkan,” ujarnya.

Walaubagaimanapun, katanya, terdapat isu-isu yang masih menghalang pelaksanaan aktiviti penternakan di Ladang Satelit Sungai Laka terutamanya jalan masuk sejauh empat kilometer yang masih belum dapat digazetkan memandangkan tanah itu adalah tanah persendirian kepunyaan Syarikat Northen Gateway. Secara tidak langsung, ia mengganggu penyambungan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Di samping itu, bekalan air oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) juga tidak dapat disalurkan ke ladang satelit ini. Oleh itu, pengusaha hanya bergantung sepenuhnya kepada bekalan elektrik daripada generator dan bekalan air daripada tube well yang tidak mencukupi serta kos yang tinggi untuk aktiviti harian di ladang,” katanya.

Beliau menjelaskan, kerajaan memandang serius akan masalah itu dan sedang disusuli oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bersama dengan Pejabat Daerah dan Tanah Kubang Pasu.

“Jalan masuk kerajaan telah dipohon untuk diberi lalulalang persendirian bagi memudahkan pengusaha Ladang Satelit Sungai Laka dan lain-lain pengguna menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment