Thursday, November 1, 2012

Kedah : Skandal KCB di zaman BN lebih dahsyat

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Pendedahan oleh Ketua Audit Negara mengenai pelaburan anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kedah Corporation Berhad (KCB) dalam sebuah syarikat yang menjalankan perniagaannya di Papua New Guinea (PNG) menjadi bahan cuba disensasikan oleh pihak pembangkang di Kedah, setelah perniagaan tersebut gagal di tengah jalan. Kerajaan negeri dikatakan mengalami kerugian yang agak besar.

Ada yang menyebut jumlah jumlah kerugian atau penyelewengan adalah sebanyak RM134 juta. ‘Angka itu dipetik dari buku laporan audit, takkan audit nak menipu?’ mereka berhujah. UMNO memang terbukti sangat pakar kalau dalam bab menipu orang kampung. RM134 juta (USD44 juta) bukanlah jumlah kerugian atau penyelewengan. Ia adalah jumlah pinjaman yang dibuat oleh KCB dengan Capital Investment Agency berpusat di London untuk membiayai mengambilalihan 70% kepentingan dalam Mas Incorporated (PNG) Ltd. yang berjaya memperolehi kawasan pembalakan di PNG. Ia juga bagi membiayai aktiviti lain KCB.

Bagaimanapun pinjaman ini telah dibatalkan pada Januari 2010 setelah Jawatankuasa Penilaian yang dilantik oleh Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMbKed) mendapati pinjaman dan penglibatan dalam perniagaan di PNG akan menambahkan beban dan risiko kepada syarikat. Jawatankuasa ini juga mengsyorkan KCB menamatkan perniagaan mereka di negara itu memandangkan suasana tidak menentu dalam prosedur urusniaga dan perjanjian yang dimeterai. Jawatankuasa itu dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Ketua Pegawai Eksekutif PMBKed. Ertinya pinjaman RM134 juta itu tidak berlaku!

Kerugian perniagaan berjumlah RM6.4 juta yang dialami oleh KCB adalah adalah kos pengurusan perniagaan, kos pengurusan pinjaman dan pelaburan awal beberapa syarikat lain yang berhasrat untuk turut serta dalam perniagaan itu. Ianya bukan penyelewengan atau rasuah.

Pelaburan perniagaan di PNG ditamatkan di pertengahan jalan menyebabkan semua modal dan kos pengurusan yang telah dikeluarkan oleh syarikat dicatatkan sebagai pelaburan yang tidak sempat mendatangkan pulangan. Tindakan ini dibuat setelah mendapat syor daripada Jawatankuasa Penilaian untuk mengelak risiko yang lebih besar kepada syarikat dan kerajaan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif yang dilantik selepas Mac 2008, yang menjerumuskan KCB dalam masalah di PNG telah ditamatkan perkhidmatan pada 2010 dan beliau menyaman PMBKed kerana penamatan itu yang didakwa melanggar undang-undang (Akta Pekerjaan 1955).

Sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KCB, beliau yang juga seorang usahawan sudah terbabit dengan individu dalam MAS Incorporated iaitu Dato’ Manaf untuk menjalankan perniagaan di PNG.

Ada pihak mendakwa KCB telah dimusnahkan oleh peniaga-peniaga yang menjadikan 'penipuan' sebagai modal dalam perniagaan mereka. Mereka bukan orang PAS atau Pakatan Rakyat bahkan ada yang mendakwa bahawa mereka adalah ahli UMNO sewaktu BN berkuasa dahulu. (Namun politik kepartian bukan isunya di sini). Mereka menggunakan 'kelurusan' pengurusan KCB telah menjadikan syarikat dan pemegang saham sebagai mangsa.

Kerajaan Pakatan Kedah yang masih baru dalam selok belok perniagaan antarabangsa masih sempat menghentikan risiko yang lebih besar melalui penglibatan anak-anak syarikat dengan aktiviti perniagaan antarabangsa.

KCB adalah syarikat warisan dari kerajaan BN dahulu. Kalau hendak menilai prestasi KCB sekarang, kena bandingkan juga dengan yang terdahulu. KCB menanggung beban projek Monda (S'pore) Ltd. CEO pada masa itu ialah Dato' Tajul Urus yang juga merupakan Ketua Bahagian UMNO Merbok. Pada 2007 KCB terbabit dalam projek 99East yang bernilai RM1.9 bilion, sedangkan KCB tidak memiliki tanah yang ditawarkan dalam perjanjian. Ia meninggalkan beban kewangan dan reputasi buruk kepada syarikat yang lebih besar berbanding perniagaan di PNG. Anggaran kasar kerugian yang terpaksa ditanggung PKB melebihi RM43 juta, sebahagian besarnya melibatkan pembayaran premium tanah. (Semuanya dijangka terbongkar dalam Sidang Bajet 2013 Dun Kedah November nanti).

Isunya ialah KCB yang sama; mengalami dua kali kerugian. Di zaman Pakatan kerugiannya RM6.4 juta dan di zaman BN kerugiannya melebihi RM43 juta. Yang mana lebih teruk?

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mengambil kesempatan untuk menyerang kerajaan negeri dengan dakwaan kononnya kerugian pelaburan di luar negara itu memalukan negara kerana tidak pernah berlaku. Spesis ‘Melayu mudah lupa’ rupanya si Mukriz ini. Lupakah beliau pada skandal BMF di zaman bapanya menjadi PM, penglibatan Bank Negara dan Tabung Haji dalam perniagaan matawang asing yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit, komisyen kapal selam Scorpene, bahkan skandal NFC juga melibatkan pelaburan yang kemudiannya mengalami masalah di Singapura. Apakah itu semua tidak memalukan negara?

Mukhriz juga wajar bertanya kepada diri sendiri bagaimana kerajaan BN sejak berpuluh tahun menguruskan negeri Kedah sehingga kerajaan sekarang terpaksa menanggung beban tindakan mahkamah dalam kes-kes perjanjian perniagaan dengan beberapa syarikat melibatkan RM11 juta dalam kes tanah di Tandop, Alor Setar dan kes sedang menanti di Jerai International Park di penghujung tahun 90-an melibatkan tuntutan kerajaan negeri sebanyak RM60 juta. Apakah Mukriz tidak rasa ini memalukan?

1 comment:

  1. Kenyataan YAB Menteri Besar mengenai sebab-sebab pemberhentian KCB dalam pelaburan KCB dalam projek Papua New Guinea adalah tidak tepat.Projek di Papua New Guinea tidak ada apa yang salah. Tetapi KCB tidak mampu untuk mengendalikan projek pembalakan manakala kawasan seluas 5,000 hetar telah diluluska dahulu untuk ditebang tebas dahulu sebagai menguji kemampuan dan kesanggupan KCB mengendalikan perojek sweluas 42,150. Kegagalan KCB untuk membiayai kos penebangan pokok inmi sanghat mnengecewakan tuan tanah dan juga kami sebagai rakan kongsi KCB. YAB Menteri Besar tidah diberi maklumat yang tepat oleh Pegawai-Pegawainya.Kenyataan Menteri Besar mengatakan Dato' Manaf mengidap brain tumour sekali-kali tidak benar dan kenyataan ini sekali-kali tidak benar dan dibuat tanpa meneliti laporan doktor. Tentang pinjaman luar negeri juga tidak benar dan selain dari itu Dato' Manaf juga tidak kenal bekas MD KCB sebelum menanda tangani perjanjian usahasama danmengatakan ada pajkatan diantara Dato " Manaf dan bekas Penguryus Urusan itu adalah suatu fitnah.

    ReplyDelete