Friday, December 14, 2012

Sekolah Agama Rakyat terima komputer dari kerajaan negeri

ALOR SETAR – Di sebalik kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang semakin pesat, Sekolah Agama Rakyat (SAR) masih tidak mendapat perhatian daripada Kerajaan Persekutuan. Oleh itu, kerajaaan negeri Kedah berusaha agar sekolah-sekolah ini tidak ketinggalan dalam bidang ICT apabila menyumbangkan komputer kepada 10 sekolah SAR terpilih. Setiap sekolah menerima lima buah.

Exco Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Sains & Inovasi, Teknologi Maklumat & Komunikasi, YB Dr. Ismail Salleh berkata, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan pada satu dekad yang lepas sebanyak RM1 bilion kepada sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan pada masa yang terdekat ini mereka akan membelanjakan lagi sebanyak RM6 bilion.

Beliau berkata demikian semasa bercakap di sidang media selepas Majlis Ihtifal di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU), Tandop.

“Semua sekolah kerajaan mendapat peruntukan komputer, namun sekolah-sekolah SAR tidak mendapat peruntukan ini, maka kerajaan negeri di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri merasakan bertanggungjawab atas perkara ini. Oleh itu, kita memperuntukan sebanyak lima komputer untuk diberikan kepada 10 sekolah SAR yang terpilih.

“Kita dah bagi komputer maka pihak sekolah perlu sediakan guru dan makmal, selepas itu, kita akan pantau perkembangannya. Jika prestasi sekolah tersebut memberangsangkan maka pihak sekolah boleh membuat permohonan untuk menambah komputer,” terangnya.
Tambahnya, pihaknya sudah memulakan program ini beberapa bulan lepas dan ianya telah diberikan kepada dua sekolah. Pemberian pada hari ini merupakan simbolik penyerahan sumbangan komputer tersebut.

Sementara itu, dalam majlis tersebut YB Dr. Ismail turut meluangkan masa untuk melihat persembahan nasyid daripada pelajar SRIDU. Beliau juga dijemput untuk menyampaikan hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang sekolah tersebut.

No comments:

Post a Comment