ALOR SETAR - Harapan pengunjung untuk menikmati ikan segar terpaksa dilupakan apabila bekalan ikan kembung yang dijual di jeti Seberang Kota, Kuala Kedah di sini berkurangan sejak kebelakangan ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati masalah yang berlaku sejak sebulan lalu itu menyebabkan pengunjung terpaksa berebut-rebut untuk membeli ikan kembung malah ada yang pulang dengan tangan kosong.
Seorang pengunjung, Bushra Ishak, 46, berkata, dia terpaksa pulang dengan tangan kosong ekoran kekurangan bekalan ikan.
"Pada mulanya, saya ingin beli ikan di pasar besar namun tiba-tiba teringin untuk makan ikan segar dan datang ke sini.
"Kebiasaannya, pada waktu tengah hari, ikan masih banyak dijual tetapi hari ini (semalam) semua peniaga tutup perniagaan kerana tidak ada bekalan ikan," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi pengunjung, Haron Ismail, 56, berkata, dia terpaksa menunggu hampir dua jam untuk menunggu nelayan pulang bagi mendapatkan ikan.
Katanya, pada mulanya dia merancang untuk membeli sekurang-kurangnya lima kilogram (kg) ikan namun terpaksa akur apabila hanya memperoleh dua kg.
Kekurangan bekalan ikan itu menyebabkan harga ikan kembung melonjak kepada RM6 satu kg berbanding sebelum musim tengkujuh hanya RM3.
Sementara itu, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, Mohamad Noor Had berkata, pengguna tidak perlu bimbang dengan kekurangan bekalan ikan kerana keadaan itu bukanlah berlaku setiap hari.
Katanya, kekurangan bekalan itu hanya berlaku dua atau tiga hari dalam seminggu dan pengguna terpaksa akur dengan keadaan cuaca yang melanda.
"Ia hanya berlaku dalam dua atau tiga hari seminggu dan keadaan ini mungkin berlarutan sehingga Januari ini kerana perubahan monsun," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau berkata, bukan bekalan ikan daripada nelayan tempatan sahaja berkurangan malah bekalan ikan import juga merosot.
Mohamad Noor meminta peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga ikan sementara pengguna disaran bijak mencari alternatif.
"Jika rasa harga ikan terlalu tinggi dan tidak munasabah, jangan beli. Beli sumber protein lain. Kita hanya boleh buat pemantauan kerana harga ikan bukan harga kawalan," katanya.
No comments:
Post a Comment