Tuesday, November 27, 2012

Apa yang UMNO kalut sangat dengan DOA tuu.. awat depa ada melakukan ZALIM kot..??

Hak PAS doa Umno hancur

Subky Latif, 22 Nov 2012

SATU dari acara menyemarakkan Mukktamar PAS ke-58 di Kota Bharu minggu lalu ia solat hajat raksasa dan berdoa moga-moga Allah musnahkan UMNO/Barisan Nasional.

Ia mendapat reaksi yang berbagai khususnya dari pemimpin dan penyokong UMNO. Macam-macam mereka burukkan tindakan PAS itu.

Apa yang PAS buat itu adalah haknya. Ia tidak dilarang oleh perlembagaan dan tidak menyalahi peraturan dan undang-undang pertubuhan. Ia juga tidak menyalahi amalan demokrasi.

PAS itu dipimpin oleh para ulama. Tiadalah organisasi ulama yang paling besar dan paling berwibawa di negara ini selain dari PAS. Muafakat para mufti dan majlis fatwa hanya dianggotai oleh tidak lebih 30 orang. Ulama yang menyertai UMNO pula mungkin paling ramai 300 orang.

Tetapi yang bersama PAS ada di mana-mana. Bagi mereka berdoa minta UMNO dibinasakan tidak melanggar syarak. Jika ada di kalangan ulama yang mengatakan tindakan PAS itu tidak betuk pada syarakatnya, ia adalah kejadian yang terpinggir. Tetapi yang bersama PAS itu boleh dikira ijmak.

Apapun yang PAS buat itu ialah antaranya dengan Allah. Ia mengadu tentang nasibnya yang lemah untuk menghadapi UMNO itu kepada Allah. Orang PAS tidak boleh tipu Allah. Orang-orang PAS itu merasa yakin mereka ditindas oleh UMNO dan kerajaan.

Dan doa yang paling makbul ialah doa orang yang tertindas. Allah membuka perkenanNya jika hambaNya tertindas mengadulah kepadaNya, nescaya diperkenanNya doa itu.

Kalau UMNO tidak pernah tindas dan tipu mereka, tidaklah bodoh hendak perkenankan doa PAS itu. Masakan PAS boleh tipu Allah.

Dan jika UMNO rasa bahawa tindakan PAS itu tidak betul kerana mereka tidak buat apa-apa pada PAS selama ini, maka UMNO pun mengadu pula kepada Allah, solat hajat, baca Yasin, puasa dan sebagainya minta Allah jangan kabulkan doa PAS itu.

Bahkan UMNO juga berhak berdoa kepada Allah supaya binasakan pula PAS.

PAS yang berdoa itu kerana mereka percaya bahawa doa itu senjata orang beriman. Berdoalah apa saja asal jangan mendoakan keburukan kepada agama Allah dan orang-orang yang beriman. Jika UMNO percaya doa itu senjata orang beriman dan ia percaya bahawa PAS adalah kaki pecah belah dan tidak betul-betul Islam, bolehlah ia pula mendoakan kebinasaan PAS.

Sebagaimana UMNO pernah mencadangkan supaya nama Islam itu dipotong dari PAS, maka ia boleh doakan setiap lepas solat moga-moga Allah cabut kalimah Islam itu dari nama PAS.

Apa yang PAS buat itu sebenarnya tidak mengganggu UMNO dan tidak memaksa rakyat supaya mengaminkannya. Jika orang UMNO terperangkap dalam majlis PAS dan PAS berdoa minta UMNO dibinasakan, kalau UMNO merasa takut orang kata apa kalau dia tidak angkat tangan, maka dia boleh angkat tangan tetapi jangan aminkan doanya.

Oleh kerana itu tidak ada apa-apa sebab bagi UMNO, kiranya ia adalah pertubuhan yang betul-betul membela orang Melayu dan Islam untuk bersusah payah mengutuk PAS yang berdoa itu. Masakan Allah akan memihak kepada orang yang salah.

Jika cara PAS tidak rasional, tiada integriti, terdesak, politik bodoh dan lain-lain biarkan ia dengan kebodohannya. Biarkanlah PAS jadi macam Luncai dan Pandir.

Yang peliknya UMNO kelam kabut dengan doa itu.

No comments:

Post a Comment