Warga Pendidik Mangsa Propaganda UMNO
Oleh: Ummu Zahra
JOHOR BAHRU - Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (NGO PENDIDIK) melahirkan rasa kesal dan dukacita atas laporan yang diterima baru- baru ini tentang Program Seminar Keselamatan Bersama Warga Pendidik Negeri Johor yang mengandungi propaganda UMNO Barisan Nasional.
Program yang diadakan pada 10 November 2012 lalu, menghimpunkan semua pengetua dan guru besar seluruh negeri Johor yang bertempat di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh.
“Apa yang menyedihkan adalah taklimat yang kononnya di buat atas anjuran Majlis Keselamatan Negara Negeri Johor (Jabatan Perdana Menteri) itu menjemput salah seorangnya adalah Dato’ Shazryl Eskay Abdullah yang pernah menggemparkan tanah air dengan ‘kumpulan Trio’ dan terlibat dengan penyebaran CD yang cuba memfitnah Dato’ Seri Anwar Ibrahim”, menurut Puan Normala Sudirman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mala dalam satu kenyataan media yang dikirimkan kepada Nusajaya Kini hari ini.
“Harus diingat, bahawa tugas besar yang diamanahkan adalah mengurus soal pendidikan anak bangsa bukan tugas yang tidak ada kaitan dengan profession mereka. Hak mereka untuk memilih tampuk pemerintahan negara adalah hak asasi mereka selaku warganegara di negara ini selaras dengan saluran demokrasi yang ada di Malaysia. Kami ingin menegaskan bahawa jangan mengongkong ‘minda dan jiwa’ warga pendidik khususnya Pengarah Pelajaran, Pengetua dan Guru Besar dengan cara tidak bermaruah seperti itu kerana ini akan menambahkan lagi kebencian yang telah sedia ada terhadap UMNO Barisan Nasional.
“Dunia semakin berubah dan jangan fikir minda dan jiwa guru boleh diperbodohkan sedemikian rupa menjelang PRU 13 yang semakin hampir. Jangan menjadikan Pengetua, Guru Besar, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah sebagai ‘perkakas’ untuk mengekalkan survival politik UMNO Barisan Nasional”, tegas beliau lagi yang juga merupakan Presiden NGO PENDIDIK.
Menurut beliau lagi, memorandum, laporan polis dan laporan SPRM akan dibuat dalam waktu terdekat terhadap isu ini.
Beliau turut menyeru kepada semua warga pendidik di seluruh Malaysia agar berani menyuarakan hak dan kebenaran demi kelangsungan generasi pewaris kepimpinan masa hadapan dan hak warga pendidik di negara yang tercinta ini.
No comments:
Post a Comment