Saturday, November 24, 2012

Insya'Allah.. Dengan 4 Langkah ini Pasukan Kedah akan meningkat semula prestasi..!!

Empat langkah tingkat prestasi bolasepak

 
ALOR SETAR – Empat langkah drastik diambil oleh kerajaan negeri Kedah di bawah pasukan bola sepak (KFA) bagi meningkatkan prestasi bola sepak Kedah.

Exco Kesihatan, Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan, YB Dato’ Hamdan Khalib menjelaskan bahawa KFA sedang mengambil langkah jangka masa pendek yang drastic, yang pertama adalah mengambil jurulatih dari luar negara bermula selepas tamat Liga Super, Ogos lepas.

Beliau menjawab persoalan daripada YB Dato’ Seri Mahawangsa Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid (ADUN Pedu) berkenaan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri untuk menaikkan kembali pasukan bola sepak Kedah yang jatuh semasa Liga Super baru-baru ini, semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke 12 di Wisma Darul Aman.

“Jurulatih tersebut adalah Mario Tot dari Croatia. Kita berharap dia dapat merancang dan juga mencorak permain Kedah agar dapat masuk ke Liga Super.

“Langkah yang kedua untuk ke Liga Super adalah dengan mengarahkan Mario Tot untuk merancang pemilihan pemain dan ianya dilakukan pada awal Ogos lalu. Antara pemain Kedah yang akan terus bersama kita walaupun ditawarkan dengan bayaran yang amat tinggi adalah Khairul Muhaimin dan saya amat sanjungi beliau,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya akan mengambil seorang ‘striker’ dari Brazil yang akan bersama dengan KFA pada tahun hadapan. Kita juga telah mendapatkan pemain lagenda kita yang lama iaitu Akmal Rizal.

Selain itu, nilai gaji pemain Kedah adalah sangat tinggi dan gaji mereka adalah melebihi gaji Menteri Besar dan Perdana Menteri. Hanya beberapa orang sahaja yang gajinya berada di bawah gaji Yang Berbahagia.

“Langkah ke tiga, kita telah mulakan latihan kepada pemain untuk menghadapi musim hadapan kecuali Khairul Muhaimin dan Badrul kerana mereka bersama pasukan kebangsaan untuk memasuki Piala Suzuki.

“Langkah ke empat kita akan membelanjakan sebanyak RM400 ribu sebulan pada tahun depan. Berbanding perbelanjaan kita pada tahun ini sebanyak RM200 ribu dan perbelanjaan keseluruhan pada tahun ini adalah sebnyak RM5.1 juta,” katanya.

Katanya lagi, berkemungkinan pada tahun hadapan perbelanjaan KFA akan mencecah RM8 juta. Beliau mengharapkan agar anak-anak syarikat kerajaan negeri dapat menyumbang lebih lagi sumbangan.

Pihaknya akan memantau dari semasa ke semasa prestasi pasukan Kedah untuk memastikan dapat kembali ke Liga Super pada tahun 2014. Beliau juga berharap agar pasukan Kedah akan kembali cemerlang dan terus mendapat sumbangan daripada anak syarikat kerajaan negeri.

“Dalam tiga Menteri Besar Kedah yang menjadi presiden KFA, MB kini adalah yang terbaik kerana menguruskan beban hutang yang ditinggalkan oleh pengurusan yang lepas,” terangnya bersungguh-sungguh.

Sementara itu, beliau turut menjawab cadangan yang dikemukakan oleh ADUN Guar Chempedak, YB Dato’ Dr. Ku Abdul Rahman KU Ismail, agar ditukar pemimpin kerajaan negeri Kedah bagi meningkatkan kembali prestasi bola sepak Kedah.

YB Dato’ Dr. Hamdan menjawab, tiada politik dalam sukan dan jika perlu ditukar pemimpin untuk menaikkan prestasi bola sepak Kedah, maka Perdana Menteri juga perlu ditukar kerana pasukan bola sepak Malaysia juga kalah.

“Jangan kita politikkan bola sepak. Kita perlu bersama-sama tumpukan perhatian untuk majukan sukan bola sepak. Tidak ada kelab atau pasukan yang mahu pasukannya kalah,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment