25 November 2012
ALOR SETAR – Umno Kedah mempersoal tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang memasukan nilai keuntungan RM20 juta dari hasil jualan air kepada Negeri Pulau Pinang dalam Bajet 2013 walhal belum ada rundingan dibuat bersama negeri itu.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Mukhriz Dr Mahathir berkata, bagaimana Azizan boleh mengumumkan dalam Bajet 2013 bahawa tahun hadapan RM640 juta pendapatan bagi Negeri Kedah dan didalam jumlah tersebut termasuklah keuntungan daripada hasil jualan sumber air mentah dari Negeri Pulau Pinang.
Katanya, tindakan ini adalah tidak benar sebab Pulau Pinang mendakwa langsung tidak dibawa berunding mengenai bayaran yang perlu dibuat, jauh sekali jumlah yang dikenakan.
“Jadi, bagaimana jumlah itu boleh dimasukkan dalam Bajet 2013 sebagai pendapatan Kerajaan Negeri.
“Kalau RM20 juta dah kita ragu-ragu mengenai kesahihannya, apatah lagi dengan RM640 juta yang dimaksudkan dalam Bajet 2013,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mukhriz berkata, beliau khuatir ini sebagai satu usaha Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) untuk mengaburi penglihatan rakyat kerana jumlah yang begitu besar.
“Zaman kami (Barisan Nasional) dulu pun tak pernah sampai RM600 juta, paling hebat pun RM500 juta lebih kurang. Tiba-tiba dalam tak seberapa, malah tak runding dengan siapa pun angka RM640 juta diletakkan dalam Bajet 2013 sebagai pendapatan Negeri Kedah.
“Ini belum tentu selepas ini dibawa berita itu untuk seluruh negeri mengatakan kononnya di bawah mereka ini pendapatan mereka lebih baik dari zaman dulu.
“Tiba-tiba rakan dia sendiri dari DAP menempelak dakwaan itu kerana mereka pun tak pernah dibawa runding pasal pembayaran RM20 juta untuk pembekalan air mentah kepada Pulau Pinang,” katanya.
No comments:
Post a Comment