Showing posts with label Sinar Harian. Show all posts
Showing posts with label Sinar Harian. Show all posts

Saturday, January 12, 2013

PRU13: Anwar rayu rakyat beri PR peluang

Wartawan Sinar Harian
13 Januari 2013
KL112
Peserta KL112 bersemangat ketika mendengar ucapan Anwar.
 
[VIDEO KLIP] KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) merayu kepada rakyat supaya memberi peluang untuk mentadbir negara ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keupayaan PR sudah mampu memikat rakyat dengan menjanjikan beberapa perkara khasnya demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, dengan keadaan negara hari ini yang semakin kucar-kacir kerana rasuah, kronisme dan banyak lagi, rakyat perlu memberikan mandat kepada mereka.

"Siapa tidak tahu pelaksanaan AES dirompak, wang lembu dirompak dan macam-macam lagi.

"PR berjanji akan merubah sistem yang kolot dalam negara kita," katanya ketika berucap pada Himpunan Kebangkitan Rakyat, di Stadium Merdeka di sini, semalam.

Anwar yang dilihat mengulangi ucapannya sebelum ini memberi jaminan akan menurunkan harga minyak, pemansuhan AES, tol serta memberikan pendidikan percuma.

"Saya ingin menegaskan, PR tidak mampu untuk menjanjikan banyak perkara, tapi saha tahu hala tuju kita.

"Ikrar kami dengan setulus hati, dengan kerajaan baru nanti, tidak akan berlaku rompakan duit rakyat," katanya.

Katanya, PR akan mengubah nasib rakyat negara ini dan akan mengawal pengaliran wang ke luar negara.

"Umno sudah lama diberi peluang. Rakyat sudah cukup menderita.

"Sudah tiba masanya rakyat memberi peluang mentadbir kepada kami. Suara rakyat menjadi suara untuk mentadbir negara ini kerana ia suara keramat," katanya.

Anwar turut menegaskan, badan kehakiman juga perlu bebas serta perlu ada aliran perubahan.

"Perhimpunan Agung Umno lalu adalah perhimpunan terakhir mereka sebelum kita menawan Putrajaya.

"Saya amat berharap, rakyat sedia memberi peluang kepada kami," katanya.

Tuesday, January 8, 2013

EXCO KEDAH - Siasatan SPRM bersih nama saya

Chow Kang: Siasatan SPRM bersih nama saya
Wartawan Sinar Harian
8 Januari 2013
Tan Chow Kang
Tan Chow Kang
 
ALOR SETAR - Siasatan telus yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah membersihkan nama baik Exco Kerajaan Negeri, Tan Chow Kang dari dikaitkan dengan kes rebat kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tan Chow Kang yang juga Exco Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan berkata, beliau amat berterima kasih kerana SPRM kerana melakukan siasatan rapi sehingga membawa kepada penahanan seorang kontraktor dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan seorang kontraktor memiliki dua syarikat persendirian di Sungai Petani dipercayai terlibat dengan kes ‘pemotongan’ 25 hingga 30 peratus daripada jumlah bantuan yang disalurkan kepada beberapa NGO di negeri ini.
“Kes berkenaan sudah berlarutan hampir setahun setelah dilaporkan media pada Februari tahun lalu dan sepanjang tempoh berkenaan saya turut bekerjasama dengan SPRM termasuk memanggil mereka untuk berjumpa bagi membantu siasatan.

“Saya amat menyokong usaha SPRM untuk mengambil tindakan terhadap individu yang tidak mengikut syarat termasuk melakukan perkara tidak betul dalam kerja mereka,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, beliau akan meneruskan tugasnya menjaga kebajikan masyarakat dan kes berkenaan tidak pernah mengganggu tumpuannya terhadap kerjanya selama ini kerana sejak dari awal yakin berada di pihak yang benar.

Sebelum ini Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohamad Yusoff Akope berkata berdasarkan siasatan, Chow Kang didapati tiada kaitan dengan kes berkenaan sebaliknya ia melibatkan seorang kontraktor berusia 45 tahun itu.

Menurut Mohamad Yusoff kontraktor berkenaan sepatutnya membekal peralatan kepada NGO, namun bekalan itu tidak dapat dibuat walaupun bayaran sudah dikeluarkan.

Sunday, November 25, 2012

Isu air: Umno persoal langkah MB Kedah

MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
25 November 2012
Datuk Mukhriz Dr Mahathir
Datuk Mukhriz Dr Mahathir
 
ALOR SETAR – Umno Kedah mempersoal tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang memasukan nilai keuntungan RM20 juta dari hasil jualan air kepada Negeri Pulau Pinang dalam Bajet 2013 walhal belum ada rundingan dibuat bersama negeri itu.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Mukhriz Dr Mahathir berkata, bagaimana Azizan boleh mengumumkan  dalam Bajet 2013 bahawa tahun hadapan RM640 juta pendapatan bagi Negeri Kedah dan didalam jumlah tersebut termasuklah keuntungan daripada hasil jualan sumber air mentah dari Negeri Pulau Pinang.

Katanya, tindakan ini adalah tidak benar sebab Pulau Pinang mendakwa langsung tidak dibawa berunding mengenai bayaran yang perlu dibuat, jauh sekali jumlah yang dikenakan.

“Jadi, bagaimana jumlah itu boleh dimasukkan dalam Bajet 2013 sebagai pendapatan Kerajaan Negeri.

“Kalau RM20 juta dah kita ragu-ragu mengenai kesahihannya, apatah lagi dengan RM640 juta yang dimaksudkan dalam Bajet 2013,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Mukhriz berkata, beliau khuatir ini sebagai satu usaha Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) untuk mengaburi penglihatan rakyat kerana jumlah yang begitu besar.

“Zaman kami (Barisan Nasional) dulu pun tak pernah sampai RM600 juta, paling hebat pun RM500 juta lebih kurang. Tiba-tiba dalam tak seberapa, malah tak runding dengan siapa pun angka RM640 juta diletakkan dalam Bajet 2013 sebagai pendapatan Negeri Kedah.

“Ini belum tentu selepas ini dibawa berita itu untuk seluruh negeri mengatakan kononnya di bawah mereka ini pendapatan mereka lebih baik dari zaman dulu.
 
“Tiba-tiba rakan dia sendiri dari DAP menempelak dakwaan itu kerana mereka pun tak pernah dibawa runding pasal pembayaran RM20 juta untuk pembekalan air mentah kepada Pulau Pinang,” katanya.

Thursday, November 8, 2012

Inilah Masalah JKR KEDAH - Lembab nak mai palam lubang yang terjadi di jalan raya...

Warga emas dilanggar lori elak lubang
Wartawan Sinar Harian
8 November 2012
warga emas dilanggar lori elak lubang
Abdul Wahab (berkopiah) menunjukkan lubang di selekoh Jalan Semeling- Bedong 
mengundang bahaya sehingga menyebabkan kemalangan.
 
KUALA MUDA – Seorang kariah masjid di sini patah dua jari selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Semeling-Bedong dekat Pekan Bedong, kelmarin.

Mangsa, Latif Abdullah, 76, dilanggar lori apabila mengelak lubang ketika menunggang motosikal ke Masjid Bedong untuk membuat persiapan sembahyang Subuh.

Anak saudaranya, Abd Wahab Ismail, 42, berkata, ketika kejadian bapa saudaranya itu dalam perjalanan dari arah Semeling ke Bedong dan ingin membelok ke kanan di hadapan Bangunan GiatMara.

“Disebabkan terdapat lubang di kanan jalan, kenderaan dari arah bertentangan terpaksa mengelak dan laluan dari kedua-dua arah menjadi semakin sempit. Tambahan pula di sebelah kiri jalan terdapat treler di parkir menyebabkan jalan lebih sempit.
“Bapa saudara saya dilanggar dari arah belakang ketika mengelak lubang tersebut. Mujur dia tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba Sukarela Bedong, Loh Poh Hean, 51, berkata, pihaknya terpaksa meletakkan pengadang dan lampu kecemasan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Sebelum ini, saya telah memaklumkan isu lubang ini kepada pihak berkaitan, namun masih tiada tindakan walaupun hampir sebulan.

“Kon dan lampu diletakkan turut pecah dan terjatuh ke lubang apabila dilanggar pengguna jalan raya yang tidak sedar keadaan itu,” katanya.

Seorang peniaga, Redza Adzmi, 21, berkata, keadaan jalan yang gelap, tiada garis jalan dan kewujudan lubang sejak sebulan lalu membahayakan pengguna laluan terbabit.

“Saya harap pihak yang berkenaan dapat melakukan pantauan di sini dan mempertingkatkan kemudahan demi keselamatan semua pihak.

“Selain itu, nasihat perlu diberikan kepada pemilik treler yang sering meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana menyusahkan pengguna jalan raya lain sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Unit Gerak Cepat Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Zubaidah Hanoom Mohd Yusof berkata, MPSPK menerima aduan terbabit dan telah merujuk kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk
tindakan selanjutnya.

Tuesday, October 30, 2012

Tajul nafi projek 99East di Langkawi punca kerajaan Kedah rugi


SUNGAI PETANI - Bekas Pengerusi Eksekutif Kedah Corporation Berhad (KCB) Datuk Tajul Urus Mat Zain menafikan dakwaan bahawa projek 99East di Langkawi menyebabkan kerajaan negeri Kedah terpaksa menanggung kerugian.

Beliau berkata isu rugi tidak sepatutnya timbul kerana mengikut perjanjian, projek usahasama antara KCB dan sebuah syarikat dari Singapura, Terra Monda Development (TMD) itu, KCB hanya perlu menyelesaikan masalah tanah manakala semua bentuk pelaburan dan pembangunan akan dilaksanakan oleh TMD.

Projek 99East bernilai RM1.2 bilion dan dibangunkan di kawasan seluas 144 hektar di Bukit Malut bermula 2007 dijangka mampu memberi pulangan RM200 juta kepada KCB, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tajul Urus yang juga Penyelaras Parlimen Merbok berkata projek itu mempunyai empat fasa dan dijangka siap menjelang 2016 yang membabitkan pembinaan sebuah kelab golf bertaraf antarabangsa, istana hinggap untuk Sultan Kedah, pembinaan hotel dan kediaman.

Oleh yang demikian, katanya kerugian yang ditanggung oleh kerajaan negeri ditadbir Pas ketika ini sebenarnya bukanlah disebabkan projek 99East, sebaliknya didakwa berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri melaksanakan projek terbaharu di bawah KCB.

"Isu ini timbul ekoran kegagalan KCB, bukan dalam projek yang dibuat sewaktu saya jadi Pengerusi Eksekutif sebaliknya selepas mereka (kerajaan negeri) gagal melaksanakan projek pelaburan (pembalakan) di Papua New Guinea," katanya.

Mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak bahawa KCB menjanjikan tanah yang bukan miliknya, katanya mengikut perjanjian, TMD akan membayar pampasan ke atas tanah persendirian termasuk di kawasan penempatan setinggan.

Baru-baru ini Azizan mendakwa empat projek yang dijalankan ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional telah gagal sehingga menyebabkan kerajaan negeri menanggung beban hutang yang banyak.

Projek yang dimaksudkan itu ialah projek 99East Langkawi, ternakan udang di Kerpan, Yayasan Islam Negeri Kedah dan Projek Jerai International Park.- Bernama

Sunday, October 28, 2012

Malang Orang Langkawi tak dapat main "Golf Free" sebab Azizan batal projek BN..!!!

 Projek sakit BN: Mahdzir jawab MB Kedah

28 Oktober 2012
Datuk Seri Azizan Abdul Razak
Datuk Seri Azizan Abdul Razak
 
ALOR SETAR - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek-projek yang dijalankan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil kira kepentingan rakyat dan tidak dibuat secara sembrono.
  
Katanya, projek 99 East di Langkawi bermula 2007 bernilai RM1.2 bilion yang didakwa Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai merugikan kerajaan negeri dirancang menjadi padang golf bertaraf antarabangsa.
  
"Projek itu telah separuh siap. Kerajaan negeri sepatutnya meneruskannya, (tetapi) menghentikannya dan menimbulkan banyak masalah setelah memenangi pilihan raya umum 2008," kata Mahdzir.
  
Beliau mengulas dakwaan Azizan bahawa empat projek sakit dilaksanakan kerajaan BN semasa memerintah, memaksa kerajaan Pas Kedah menanggung beban hutang.
  
Mahdzir ditemui pemberita pada majlis korban perdana di Felda Lubuk Merbau kira-kira 30 kilometer dari sini, hari ini.
 
 
Sebanyak lapan ekor lembu dikorbankan dalam program tahunan Umno Padang Terap dan dagingnya diagihkan kepada peneroka.
  
Dalam sidang medianya semalam, Azizan berkata, beliau dan pegawai kerajaan negeri asyik diserang konon kerajaan Pas Kedah dan beliau menyeleweng banyak projek serta letih menanggung beban hutang atas kesilapan kerajaan BN terdahulu.

Mahdzir berkata, projek itu dijalankan secara usahasama antara Kedah Corporation Berhad (KCB) dengan Terra Monda Development Pte Ltd bagi membangunkan kawasan seluas 144 hektar di Bukit Malut.
  
Tanah itu milik beberapa pihak dan bukan milik Permodalan Kedah Berhad (PKB) sahaja seperti didakwa Azizan, katanya.
  
Mahdzir, yang juga Adun Pedu berkata, projek ternakan udang pula adalah antara kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan dilaksanakan semasa Tan Sri Osman Aroff menjadi Menteri Besar.
  
Mengenai Yayasan Islam Kedah yang perlu membayar syarikat Long Island RM11 juta kerana tidak memindahkan 15 lot tanah di Tandop, Mahdzir berkata, masalah itu boleh diselesaikan tetapi ia tidak dilaksanakan.
  
Projek Jerai International Park pula telah lama dihentikan dan masalah yang timbul hanya membabitkan pembinaan perumahan dan boleh diatasi melalui perbincangan, katanya.
  
Mahdzir mempersoal tindakan Azizan memberhentikan projek usaha sama ternakan ikan dalam sangkar di Langkawi antara Kedah Agro dengan sebuah syarikat Taiwan hanya kerana persepsi semua yang BN buat tidak elok dan betul. 

Katanya, Azizan juga gagal melaksana projek Sungai Limau Hidrokarbon Hub di Yan walaupun pernah memberikan tarikh pecah tanah projek dan projek Keli-K di Sungai Pau, Sik serta kilang mengetin buah rambutan yang dijanjikan tidak menjadi kenyataan.
  
"Azizan pernah berkata dalam perniagaan ada untung rugi. Kita akui perkara ini. Jadi dia kena bertanggungjawab kerugian KCB di Papua New Guinea tetapi bila dah silap dia salahkan orang lain dan kata saya tak tau.
  
"Laporan Ketua Audit Negara 2011 kata pelaburan KCB di Papua New Guinea rugi besar, dia kena mengakulah. Lagipun Menteri Besar adalah pengerusi KCB dan dia juga yang membawa masuk CEO," kata Mahdzir.
  
Mengenai pembalakan di Tasik Pedu, Mahdzir mahu Azizan bertanggungjawab kerana membenarkan penebangan balak di kawasan tadahan hujan tanpa melalui Jawatankuasa Teknikal.
  
Menurut Mahdzir, hanya setelah separuh kawasan ditebang, surat pemberhentian kepada kontraktor dikeluarkan. - Bernama

Komen Sahabat :

Mohd Aizat Kamal
betul..setuju dengan kerajaan kedah skang.....apa keuntungan rakyat kalau diterus kan padang golf tu? tak berbaloi langsung untuk rakyat.........keje bn nak abis kan wang rakyat je....kerajaan bn wat masa 2007 tu....1.2 billion..baru untuk padang golf je? padang golf masuk percuma ka? rakyat bawahan ni semua diorang main golf ke..nak masuk padang golf kene bayar..wat gune duit rakyat.....tp rasa ya memang dia wat kerja bodoh yg tk dpt membantu rakyat..cuma untuk tempat lending2 puak2 diorang je yg time tu dia pikir kan..nyaris rakyat dah tau sapa itu bn......pengkianat bangsa & negara.

Wednesday, October 17, 2012

Salahuddin: Johor penting bagi PR tawan Putrajaya

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
 
SHAH ALAM –  Hasrat Pakatan Rakyat (PR) untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini mungkin satu misi yang mustahil sekiranya tiada “perubahan landskap politik di Johor”, kata Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.

Anak kelahiran Kampung Serkat, Johor ini juga berkata, negeri ‘deposit tetap’ Barisan Nasional seperti Sabah dan Sarawak juga harus diterokai parti pembangkang jika mahu menjejakkan kaki ke Putrajaya.

“Mereka cukup selesa di tiga negeri itu,” ujar Salahuddin dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Harian yang disiarkan hari ini.

Salahuddin sebelum ini mengumumkan akan bertanding di tanah kelahirannya setelah dua kali bertanding di kerusi Parlimen Kubang Kerian iaitu 2004 dan 2008.

Baru-baru ini beliau memberitahu akan bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) di Johor pada pilihan raya kali ini.

Menurut Salahuddin, berdasarkan pemerhatiannya, suasana politik di negeri itu kini sudah berubah dan ia memberi sinar harapan kepada pembangkang.

“.... saya sudah faham dengan senario politik di sana kerana saya orang sana dan memulakan kerjaya saya di sana sejak 30 tahun lalu.

“Jadi apabila ada perubahan politik, saya nampak sinar yang sangat cerah untuk berlaku. Jadi penting bagi saya menjanjikan sesuatu kepada politik khususnya kepada rakyat Johor

“Tanpa ada satu perubahan landskap politik di Johor itu saya rasa sukar untuk PR melangkah ke Putrajaya,” ujar beliau.

Pada pilihan raya umum yang lalu, Pakatan Rakyat berjaya melebarkan sayap ke beberapa negeri seperti Selangor, Kedah, Perak, Pulau Pinang di samping mempertahankan Kelantan.

Perak kemudiannya jatuh semula ke tangan Barisan Nasional pada 2009.

Thursday, October 4, 2012

Patuhi syarat papan iklan

Wartawan Sinar Harian
4 Oktober 2012
Patuhi syarat papan iklan
Setiap papan iklan di kawasan MBAS perlu mengikut panduan ditetapkan.
 
ALOR SETAR - Pemasangan papan iklan di kawasan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) perlu mematuhi setiap garis panduan yang ditetapkan termasuklah penggunaan bahasa dan pemakaian.

Datuk Bandar MBAS, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, terdapat rungutan daripada orang awam tentang penggunaan papan iklan yang tidak memenuhi standard penggunaan Bahasa Kebangsaan.

Menurutnya, selain itu, terdapat juga papan iklan yang yang dibina di bangunan rumah kedai di kawasan bandar dan dijadikan sebagai papan iklan untuk disewa oleh pemilik bangunan.

“Mereka yang ingin membuat iklan atau papan iklan perlulah mengikut syarat yang ditetapkan MBAS dengan mengemukakan permohonan papan iklan ke Bahagian Kesihatan Awam, MBAS.

“Sekiranya mereka membina papan iklan secara haram, tindakan kompaun akan dikenakan sebanyak RM300 selain tindakan menurunkan papan ikan terbabit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Mesra Media MBAS 2012, malam kelmarin.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Presiden Kelab Media Elit Kedah (KMEK), Kamarul Ariffin Md Yassin dan pengamal media dari pelbagai agensi.

Mat Noh berkata, MBAS akan menjalankan operasi bersepadu Penguatkuasaan Papan Iklan secara berkala bagi memantau papan iklan yang tidak mendapat kebenaran dana akan mengenakan tindakan kompaun sebanyak RM300 di bawah Undang-Undang Kecil (Majlis Bandaraya Alor Setar) 2010 .

Katanya, pada awal tahun hadapan, MBAS akan menyeragamkan papan tanda iklan yang terdapat di kawasan MBAS dan menyediakan garis panduan baru.

“Keseragaman yang akan dibuat itu termasuklah saiz papan iklan dan memastikan bahagian landskap tersusun bertujuan mengindahkan papan iklan terbabit.

“MBAS turut menitikberatkan mengenai gambar model yang dipaparkan pada papan iklan kerana ia mestilah gambar yang sopan dan tidak menjolok mata,” katanya.

Mat Noh berkata, MBAS tidak akan meluluskan sebarang papan iklan bagi pemilik yang ingin mengiklankan mengenai pusat hiburan atau premis judi.

Sunday, September 23, 2012

Nak pilihanraya pun dah kecut dah nampaknya NAJIB nie.. 5X dok ulang benda yang sama jee..!!!

PRU13: Makna bayangan kelima Najib
G MANIMARAN & JAMILAH HAMZAH


ANALISIS – Teka-teki tarikh pilihan raya raya belum ada kesudahan. Spekulasi berterusan. Begitu juga bayangan demi bayangan yang diberikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak – satu-satunya pemimpin yang ada kuasa dan yang tahu secara mutlak bila Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) perlu dan akan dipanggil.

Nampaknya semua menarik nafas!

Sekali lagi penganalisis menjadi perhatian.

Beberapa penganalisis politik yang didampingi Sinar Harian Online berpendapat PRU13 akan diadakan Januari 2013 susulan bayangan terbaru – kali kelima dalam tempoh sebulan ini.

Ketika membuat bayangan keempat, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menasihatkan mereka yang menunaikan haji supaya tidak bimbang dengan tarikh PRU13.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr Azizudin Mohd Sanim berkata, agak mustahil pilihan raya diadakan tahun ini kerana faktor masa dan belanjawan yang bakal dibentang hujung minggu ini.

Menurutnya, Bajet 2013 akan mengambil masa untuk dilaksanakan.

“Saya tak fikir PRU akan dibuat tahun ini, kalau hujung tahun pun ia dilihat agak kelam kabut dan saya rasa paling awal PRU, dijangka Januari depan.

“Lagipun pembentangan bajet pada bulan ini banyak yang dirancang kerajaan dalam usaha menarik undi rakyat seperti pemberian bantuan, bonus kepada kakitangan kerajaan dan lain-lain, akan ditunaikan pada awal tahun hadapan dan Perhimpunan Agung Umno yang akan dibuat adalah satu langkah untuk mengatur strategi terakhir untuk memastikan Barisan Nasional (BN) menang besar," katanya.

Bajet 2013 akan diumumkan Jumaat ini.

Kelmarin, Najib menasihatkan jemaah haji, jumlahnya dalam sekitar 28,000 orang, agar menumpukan perhatian terhadap amal ibadat agar dapat melaksanakan segala rukun dan syarat haji serta umrah dengan sempurna.

Dua hari sebelum itu, Najib berkata Perhimpunan Agung Umno yang akan diadakan mulai 27 November hingga 1 Disember dan ia akan ditunda sekiranya kerajaan memilih untuk mengadakan pilihan raya umum pada waktu yang sama.

“Mudah sahaja. Sekiranya pilihan raya diadakan, kita tangguhkan Perhimpunan Agung. Tarikh pilihan raya terpulang kepada kita untuk putuskan bila masa yang terbaik. Kita boleh adakan atau tidak adakan, tapi kita akan teruskan seperti biasa," katanya.

Bermakna Najib, yang juga Presiden Umno, masih boleh memanggil PRU13. AGM bukan satu halangan dalam menentukan tarikh PRU.

Pada Sabtu lalu, ketika berada di Johor, Najib memberi bayangan kelima - sokongan yang diperlihatkan oleh ahli-ahli Umno negeri itu memberikan beliau satu bentuk semangat untuk memanggil PRU13.

Nampak gaya, keliru lagi!

Ditanya sama ada penetapan tarikh Perhimpunan Agung Umno akan menyebabkan rakyat terus membuat spekulasi bahawa pilihan raya umum akan diadakan tahun depan, Najib secara berseloroh berkata, biarlah rakyat membuat spekulasi mengenai perkara itu.

“Saya suka mereka buat spekulasi," katanya.

Ketika era pentadbirannya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sering dikaitkan dengan istilah “ilham” apabila spekulasi tarikh PRU muncul.

Wartawan sering bertanya sama ada sudah ada ilham ataupun sebaliknya.

Sementara Najib bermain dengan kata-kata ‘bayangan’, Pas menjangkakan PRU13 akan ditangguh lagi. Kemungkinan sehingga akhir tahun ini atau tahun depan, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Hadi, Pas mengandaikan Pas sudah menetapkan tarikh untuk mengadakan Muktamar Agung Pas pada 24 November ini.

“Kita sudah tetapkan tarikh lebih awal untuk adakan muktamar. Bermakna kita lebih berani berbanding Barisan Nasional untuk pilih November sebagai persidangan,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian turut meramalkan pilihan raya kali ini akan diadakan tahun hadapan, antara Januari atau Mac 2013.

Namun tidak mustahil bagi Najib untuk mengadakan PRU tahun ini selewatnya Disember 2012 kerana kuasa sepenuhnya terletak di tangan beliau.

“... kemungkinan besar tahun hadapan, setelah cukup sepenuhnya lima tahun mandat,” katanya.

Tambahnya, pengumuman bajet yang bakal memberi pengaruh besar kepada undi rakyat perlu ditunaikan terlebih dahulu seperti pemberian insentif-insentif berbentuk kewangan kepada rakyat dan Perhimpunan Agung Umno adalah platform terakhir BN untuk mengatur strategi bagi menghadapi PRU13.

Dalam pada itu, Prof Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, spekulasi tarikh sebenar PRU13 sering menjadi perbualan rakyat dan ada pihak menjangkakan berlaku musim haji.

Beliau berkata, PRU13 berkemungkinan diadakan November ini setelah jemaah haji pulang ke tanah air, cuma ketika itu negara berisiko menghadapi masalah banjir.

“Mac antara tempoh sesuai untuk PRU13 memandang masa itu adalah cuti sekolah,” katanya.

Ramai meramalkan sidang Parlimen Mac-April lalu sebagai yang terakhir.

Hari ini Parlimen bersidang semula. Mengikut aturan mesyuarat, persidangan akan memakan masa sekitar dua bulan. Paling lama dalam kalendar Parlimen. Ia juga dilabel sebagai ‘sidang bajet’.

Beberapa minggu lalu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub meminta Najib mengambil kira musim peperiksaan dan cuti sekolah jika mahu memanggil PRU13 November ini.

Katanya, musim peperiksaan melihatkan pelajar, guru, dan ibu bapa.

“Jumlah keseluruhan mereka itu besar dan mereka memberi tumpuan ke atas peperiksaan. Jadi, saya berharap Datuk Seri Najib tidak membubarkan Parlimen ketika musim peperiksaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sebelum Pas melahirkan pendirian agar Perdana Menteri melihat aspek musim haji.

Kini sudah jelas tiada PRU13 ketika musim haji. Tidak akan ada PRU13. Musim peperiksaan akan merentasi bulan November. Dan, ia akan disusuli Disember.

Beberapa sumber berkongsi maklumat dengan Sinar Harian Online bahawa semua pihak boleh 'rasa lega’ kerana PRU13 pasti tidak akan berlangusng Disember ini, melainkan keadaan mendesak.

PRU13 - 'ibu' segala pilihan raya umum akan muncul Februari-Mac? Jika begitu, suasana PRU 2004 dan 2008 akan disaksikan lagi kali? Atau Najib akan cuba mengelaknya lagi.

Sunday, September 16, 2012

Setiausaha Politik jawab fitnah terhadap MB Kedah

Muhammad Sanusi
ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak terus menjadi mangsa fitnah terbaru blogger pro-Umno, apabila dikatakan menyerahkan projek tanpa tender meneroka kawasan galian di Mukim Temin, Kubang Pasu, bernilai jutaan ringgit kepada syarikat kroni.

Difahamkan, surat daripada Perbadanan Menteri Besar Kedah kepada sebuah syarikat terbabit didedahkan secara meluas di laman-laman blog adalah bukti dakwaan itu.

Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, yang menafikan syarikat berkenaan adalah kroni Azizan dan mempunyai ikatan persaudaraan dengan pemilik syarikat terbabit.

Muhammad Sanusi berkata, galian kuarza ditemui di kawasan hutan oleh sebuah syarikat yang meneroka dan membawa penemuan itu kepada Menteri Besar Incorporated (MBI) untuk mengadakan jalinan kerjasama.

Memandangkan kawasan berkenaan bukan tanah milik MBI, MBI menganugerahkan kepada syarikat terbabit untuk diusahakan.

“Satu perjanjian usahasama dimeterai antara MBI dan syarikat itu. Antara persetujuan permohonan hak milik tanah dan permit galian dibuat oleh MBI supaya tanah itu terus menjadi milik kerajaan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelantikan operator untuk mengeluarkan quartz bawah urusan syarikat terbabit,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Menurutnya, Azizan mengakui mengenali pemilik syarikat itu tetapi tiada pertalian darah.

“MB jelaskan di semua syarikat kita ada kumpulan pengurusan profesional yang uruskan kerja, kalau semua MB buat, mereka nak buat apa?,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, Azizan turut dimaklumkan mengenai dakwaan blogger Umno bahawa kroni Azizan mendapat balak bernilai jutaan ringgit atas tanah berkeluasan 200 ekar, bagi mencerahkan kawasan untuk tanaman nenas.

“Berdasarkan surat didedahkan blogger itu juga, MBI meminta deposit RM1 juta dan dikira sebagai hasil kepada MBI untuk kerja mencuci dan mengeluarkan sisa kayu di atas tanah seluas 200 ekar. Syarikat itu membayar lebih daripada itu sebab turut disyaratkan membangunkan infrastruktur seperti jalan, parit dan kolam air untuk tanaman nenas,” katanya.

Menurutnya, berbanding ketika Barisan Nasional (BN), setiap hektar kawasan pembalakan, Kerajaan Negeri cuma memperoleh RM1,000 bagi hutan dara dan RM500 untuk kawasan sudah kerja.

“Sebagai perbandingan, bawah kerajaan Pakatan Rakyat, pembalakan tebang dan cuci untuk projek Ladang Sejahtera yang di tender Jabatan Perhutanan ialah RM11,000- RM12,000 sehektar. Dalam kes ini, harga ditetapkan MBI sudah melepasi harga tender yang pernah diberikan oleh Jabatan Perhutanan,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, surat yang didedahkan oleh blog terbabit adalah dokumen komunikasi antara dua syarikat yang menjalin usahasama untuk pengeluaran galian kuarza, di mana urusan berkaitan projek dibuat oleh pengurusan MBI tanpa campurtangan Menteri Besar.

“MBI bukan dikawal secara langsung oleh Menteri Besar seperti zaman BN. Struktur dan pengurusan MBI sekarang, bukan dikendalikan sewenang-wenangnya. Semua polisi dan keputusan dasar diputuskan dalam mesyuarat

Lembaga Penasihat dianggotai oleh wakil-wakil berautoriti dalam bidang pentadbiran, kewangan, undang-undang dan pelaburan,” katanya.

Menurutnya, Lembaga Penasihat MBI dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan seorang Exco Kerajaan Negeri,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pemilik syarikat berkenaan bukan saudara atau kroni Azizan, kerana bertentangan dengan prinsip Menteri Besar iaitu 'melobi beliau atas alasan kawan lama, saudara, ahli atau pemimpin parti untuk mendapatkan projek adalah langkah untuk menempa kegagalan.'

“Pesan Azizan, berniagalah kerana kamu seorang peniaga, bukan kerana kamu kenal atau saudara kepada pemimpin, termasuk dirinya,” katanya, memetik kata-kata Azizan apabila diajukan dakwaan ini.

Muhammad Sanusi berkata, antara kriteria pemilihan tanah untuk dibangunkan MBI ialah kawasan yang sudah diceroboh dan diterokai secara haram oleh mana-mana pihak, untuk mengelak aktiviti penerokaan haram terus berleluasa.

Menurutnya, diharap penjelasan ini dapat melenyapkan fitnah terbaru yang dilemparkan terhadap Azizan, kerana Kerajaan Negeri sekarang telus dalam menjalankan pentadbirannya, dan bersedia disiasat jika disyaki melakukan penyelewengan. [SH]

Sunday, September 9, 2012

Mat Sabu gesa BN henti salahkan PR

  Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
 
SEREMBAN – Semua pihak, khususnya Barisan Nasional (BN), diminta hentikan tuduhan mengaitkan insiden menayang punggung dan memijak gambar Perdana Menteri serta isteri dengan Pakatan Rakyat (PR).

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, insiden terbabit tiada kaitan dengan parti atau politik, tetapi merupakan isu moral perbuatan individu membabitkan golongan muda.

“Hentikanlah tuduhan terhadap PR. Malah, pelakunya juga sudah membuat pengakuan bahawa ia dilakukan atas kehendak sendiri dan tidak dipengaruhi atau dibayar mana-mana pihak.

“Saya ingatkan BN agar tidak mengalihkan isu tersebut dengan menyalahkan pembangkang kerana kita pun tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Rumah Terbuka Pas Negeri Sembilan di Dataran Senawang, dekat sini, semalam.


Mohamad Sabu berkata, beliau yakin tindakan beberapa pihak yang mewujudkan isu berkenaan adalah akibat terlalu mengikut emosi dan semangat di luar kawalan.

Bagaimanapun, katanya, dia kecewa kerana tindakan undang-undang tidak diambil terhadap mereka yang memijak gambar pemimpin PR sebelum ini.

“Kenapa sebelum ini perkara sama terjadi kepada gambar pemimpin PR polis tidak bertindak, tapi apabila membabitkan pemimpin BN, baru mereka bising?" katanya.

Thursday, August 9, 2012

Dr Asri tegoq ulamak UMNO bab haram halal mengundi DAP..!!

 Dr Asri: Soal haram dosa undi jangan sampai mudarat negara
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
 
SHAH ALAM - Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap pandangan seperti haram dan berdosa mengundi DAP tidak membawa kemudaratan, dan 'fatwa' sedemikian perlu diteliti semula dalam konteks politik sebenar negara ini.

Mohd Asri berkata, oleh kerana perkara tersebut merujuk kepada DAP, rakan politik dalam Pakatan Rakyat (PR), Barisan Nasional (BN) juga ada parti komponen yang mempunyai pendirian seakan sama dengan DAP.

"Itu, kalau kita kata haram, kena melihat pada alasan mengapa kita kata begitu.

"Kalau kita kata haram (mengundi DAP) kerana dia tidak menyokong negara Islam, ada juga parti dalam BN seperti MCA dan MIC tidak menyokong... jadi kita mengambil pendirian sebahagian sahaja (dalam mengatakan haram dan dosa)," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Mohd Asri mengulas kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat Abdullah Sa'amah, dipetik Utusan Malaysia kelmarin bahawa bahawa umat Islam tidak boleh menyokong DAP kerana ia haram serta berdosa.

Gesaan itu adalah ekoran pendirian parti Pas untuk terus bekerjasama dengan DAP sedangkan pengerusi DAP Karpal Singh berkeras supaya Pas menggugurkan niat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.

Mohd Asri, Ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia dan baru pulang ke tanah air selepas dilantik sebagai felo di Pusat Pengajian Islam Oxford selama lapan bulan menambah, jika perkara tersebut dilihat secara menyeluruh dan perlu dibincangkan, ia harus dibawa ke Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membuat keputusan.

"Kita tidak boleh membuat fatwa sendiri, kita kena bincang perkara ini supaya tidak bercelaru," kata beliau sambil berkata, pandangan sedemikian tidak wajar membawa kepada kemudaratan dalam negara yang penduduknya pelbagai kaum dan agama.

Katanya, realiti politik di negara ini berbeza dan ia disedari oleh komponen Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN).

Sambil menekankan bahawa beliau tidak mahu menyentuh secara mendalam soal fatwa, Mohd Asri berkata, jika DAP dilabel sebagai "kafir harbi", ia akan membawa kesan yang mendalam, seolah-olah meminta orang Islam  berperang.

"Saya tidak kata apa yang diperkatakan itu betul atau salah, tetapi kenyataan dikeluarkan mengenai soal haram dan dosa, perlu diteliti semula, kemudian boleh berbincang. Saya lihat itu hanya pandangan peribadi sahaja," kata beliau lagi.

"Kemungkinan dia tidak tahu kesan kenyataan, kesan perkataan dikeluarkan, tidak tahu bahawa ia boleh membawa kepada permusuhan, tidak baik bagi negara majmuk dan pelbagai agama seperti Malaysia," katanya.

Mohd Asri juga berkata, beliau tidak memihak kepada PR atau BN yang ada parti komponen atau wakil rakyat bukan Islam.

"Juga ada wakil bukan Islam dalam kerajaan. Jadi, kita perlu fikir semula perkara (kenyataan) itu semula," katanya lagi.

"Haram perlu kedua-dua sebelah. Kita tidak boleh memilih, hanya satu parti... jadi kita memerlukan penjelasan, kita kena menjustifikasikan," katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, pada 1980-an, Pas sendiri pernah berpendirian sedemikian dengan menggunakan perkataan kafir ke atas penyokong BN.

"Tetapi hari ini mereka sedar bahawa pemerintahan negara ini memerlukan sokongan pelbagai pihak. Pas sudah berubah. Dan, hari ini seolah-olah Umno mengambil pendirian macam Pas tahun 1980-an.

"Esok, keadaan akan berubah. Jadi kita boleh menggunakan agama sebagai panduan berpolitik, tetapi tidak harus menjadikan ia sebagai instrumen politik.

"Agama mengatasi politik. Jadi, kita jangan campur aduk politik dan agama, jangan gunakan agama untuk politik," katanya lagi.

Wednesday, August 8, 2012

LCW punya pasal... Solat Tarawih saya terganggu

 Solat Tarawih saya terganggu
ABD JALIL ALI
9 Ogos 2012


Lebih baik mengaku, saya bukan minat sangat pada sukan. Tetapi Ahad lalu, malam ke-16 puasa, solat Tarawih saya tidak berapa khusyuk sebab badminton. Setiap selepas salam dua rakaat, saya melihat seketika pada skrin BlackBerry.

Ada sms daripada anak saya di rumah: ‘Set pertama kita menang 21-15’. Sms seterusnya agak mendukacitakan: ‘Set kedua China menang 10-21’. Pada sujud terakhir rakaat kelapan, saya berdoa agar Datuk Lee Chong Wei menang set penentuan.

Doa saya, juga doa 28 juta rakyat, tidak dimakbulkan. LCW tewas, kali kedua dalam Olimpik, di tangan musuh yang sama, Lin Dan @ pemain No.1 dunia. Dan, Malaysia terus kempunan pingat emas sepanjang penyertaan dalam sukan tersohor dunia itu sejak merdeka.

Walaupun emas tidak berkilauan, secara peribadi saya tabik pada pemain No.2 dunia itu. Sebenarnya dia telah berusaha sedaya upaya, bermandi peluh dan berhempas pulas lebih kurang sejam untuk tiga set yang amat cemas itu.


Memang, hero dari negara China itu lebih bernasib baik. Tetapi kekalahan hanya dua mata pada set penentuan itu, sebenarnya sama seperti kemenangan buat Malaysia. Meski hanya membawa pulang pingat perak, saya menganggap LCW tetap wira.

Tentu yang paling kecewa ialah pemain itu sendiri. Melihat wajahnya di TV juga di akhbar jelas sekali memaparkan kesedihannya. Dia berasa gagal melaksanakan satu tanggungjawab berat untuk negara. Sebab itu dia menulis dalam Twitter selepas kegagalan: “Maafkan saya...”

Dia tidak perlu meminta maaf, sebab semua orang bersetuju bahawa dia telah melakukan yang terbaik. Mengambil kira fizikalnya yang tidak begitu mantap berikutan kecederaan kaki semasa Piala Thomas, tewas hanya dua mata pada temasya Olimpik London adalah dikira hebat.

Tetapi, biasalah pasti ada seorang dua yang bernada sinis, dan langsung tiada semangat kesukanan. Malang sekali salah seorang yang bernada sinis itu adalah wakil rakyat yang sepatutnya sentiasa memberi dorongan dan bukan komen negatif.

Adun Kota Alam Shah, M Manoharan sedap sahaja memperlekeh LCW, dan seperti mendewakan Lin Dan. Memang mengutuk lebih mudah, itu hak beliau sebagai YB. Tetapi ada ketikanya kutukan – walaupun dalam Twitter peribadi – hanya menampakkan sikap tidak bijak kita!

Seperti yang dibuktikan, rakan-rakan dalam pembangkang pun tidak bersetuju dengan kenyataan Manoharan. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap apa yang dinyatakan oleh YB berkenaan sebagai “ulasan tidak bijak.”

Adun PKR Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata: “Kenyataan seperti itu tidak wajar dan tidak sepatutnya dikeluarkan kerana pada saya itulah kalau terlalu taksub pasal politik. Sepatutnya beliau lebih terbuka mengenai perkara itu dan tidak mencampuradukkan antara politik dan sukan.”

Veteran DAP Lim Kit Siang pun mengiktiraf kehebatan LCW, malah mencadangkan kerajaan memberi gelaran khas ‘Atlet Sepanjang Dekad’ kerana memenangi dua pingat perak bagi Malaysia dalam Sukan Olimpik.

Kalau tidak ada LCW Skuad Olimpik kita pulang dengan tangan kosong. Setelah sekian lama kita menyertai sukan dunia itu, pencapaian negara masih tidak ke mana. Kita sepatutnya berasa malu sebab ada negara yang jauh lebih mundur boleh meraih pingat beraneka warna pada sukan No.1 dunia ini.

Kita ada prasarana sukan yang terbaik. Stadium berkelas dunia, kolam renang bertaraf Olimpik, ada sekolah khas sukan, ada jurulatih dari luar negara, ada sekian banyak badan sukan, dan ada kementerian khusus sukan yang diperuntukkan beratus juta RM setiap tahun.

Tetapi dulu, kini dan selamanya tahap sukan kita pada Olimpik masih ‘gitu-gitu’. Ratus-ratus juta RM habis setiap tahun, antaranya menghantar pegawai kanan melihat sukan di luar negara, hasilnya tetap kosong. Orang Tanjung kata: “Pi mai, pi mai, dok tang tu!”

Pegawai sukan dan ketua-ketua badan sukan, tidak kira bola sepak, badminton, olah raga, asyik bergaduh sama sendiri. Mereka lebih bersemangat mempertahankan jawatan daripada berusaha untuk memajukan sukan.

Sesetengahnya menjadikan sukan sebagai landasan kelangsungan politik. Sebab itu sukan kita kantoi!

Kita ada empat tahun lagi sebelum Olimpik 2016 di Rio de Janeiro. LCW sudah tua ketika itu. Kalau inginkan emas, kita perlu mempersiapkan pengganti beliau. Siapa? Sumpah, saya tidak fikir M Manoharan boleh mengambil tempat LCW.

Saturday, August 4, 2012

Di Malaysia betulkah Pelacur setaraf dengan mercun?

Pelacur setaraf dengan mercun?
ABD JALIL ALI

Walaupun amat berbeza dari segi bentuk dan rupa, ada satu persamaan antara pelacur dengan mercun, iaitu keduanya haram, tetapi dibiarkan berleluasa macam benda halal.

Mula-mula, sempena Ramadan al-Mubarak, kita bercakap mengenai mercun. Dulu, kini – mungkin selamanya! – bulan puasa dan raya telah diterima sebagai musim mercun. Sepatah kata Saloma: “Dam, dam, dum, mercun berdentum...”

Sebenarnya lirik lagu itu sudah tidak relevan, sebab sejak lebih sedekad lalu mercun telah diharamkan di negara kita. Adalah menjadi kesalahan – boleh dihukum denda dan penjara – bagi siapa sahaja yang menjual, menyimpan atau bermain mercun.

Mengimport mercun dan bunga api adalah dilarang di bawah Butiran 34, Jadual Keempat, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008, kecuali dengan permit import yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, itu pula hanya untuk dua jenis mercun iaitu PoP PoP dan Happy Boom.

Bukan tidak ada usaha menyekat mercun masuk ke negara ini. Polis Kelantan menubuhkan skuad khas bagi memantau kegiatan penyeludupan mercun. Minggu lalu mercun bernilai hampir RM180,000 yang cuba diseludupkan masuk berjaya dirampas Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan.

Di Ipoh, Kastam merampas 1,190 karton mercun dan bunga api bernilai RM744,315, dipercayai rampasan terbesar tahun ini. Tetapi nampaknya si penyeludup lebih cekap berbanding pihak berkuasa. Jumlah yang berjaya diseludupkan  jauh lebih besar daripada yang dirampas.

Buktinya mercun meletup berdentum-dentam sana-sini setiap kali musim raya.Nyata sekali pengedar dan penjual mercun tidak takut pada undang-undang. Benda haram itu dijual secara terbuka di pasar malam dan bazar Ramadan,  sama seperti menjual ayam percik atau air tebu.

Mereka berani, sebab tidak ada tindakan pihak berkuasa. Siapa sahaja boleh main mercun, pada bila-bila masa dan di mana sahaja, termasuk di kawasan perumahan polis. Maknanya, anak dan suku-sakat polis pun main mercun!

Sebab itu penjual mercun naik lemak. Seperti tahun-tahun sebelumnya, puasa kali ini pun banyak kecederaan dan kecacatan akibat mercun. Beberapa jari sudah bercerai dari tangan, banyak juga muka lebam. Minggu lalu seorang pekerja kilang lelaki dan anak jirannya cedera parah di muka dan mata akibat terkena serpihan 40 biji mercun bola yang meletup sekali gus.

Walaupun haram, mercun dijual tanpa sekatan. Kita gagal menyekat yang haram. Maka ada baiknya mercun dihalalkan sahaja. Biar banyak lagi jari-jemari putus, baru meriah beraya di hospital!

Pelacur pun sama macam mercun, diisytiharkan haram tetapi dibiarkan macam halal. Bukan rahsia lagi, semua orang tahu menjual seks sudah menjadi satu industri di tempat kita.

Mungkin belum ke tahap korporat atau industri berat, tetapi yang pasti boleh masuk dalam kategori industri kecil dan sederhana (IKS), dan kini berkembang pesat dengan penyertaan dari luar termasuk dari Indonesia, Thailand, China  dan negara-negara bekas USSR. Hebat!

Pusat-pusat hiburan, rumah urut, spa tumbuh macam cendawan, semua menawarkan seks. Seperti yang dilaporkan media, di Selangor sahaja ada 571 premis rumah urut dan 775 pusat hiburan yang berlesen didaftarkan; yang  beroperasi secara haram lagi banyak.

Entah kenapa hanya Selangor menjadi tumpuan, sedangkan di negeri-negeri lain pun tempat maksiat tumbuh melata. Buktinya selalu kita lihat di TV pihak berkuasa menangkap GRO, termasuk dari luar negara.

Ada pun GRO, atau pegawai perhubungan pelanggan, adalah nama glamor sesuai dengan industri yang semakin berkembang. Dulu-dulu dipanggil pelayan atau kupu-kupu malam. Apa pun nama dan gelaran, bisnesnya hanya satu:  seks.

Pusat maksiat diserbu, GRO ditangkap dan digari kemudian dimasukkan dalam lori. Tidaklah diketahui apa jadi pada mereka selepas itu. Apa yang pasti esok atau lusa pusat maksiat itu beroperasi seperti biasa.

Ada pusat maksiat yang telah diserbu sebanyak enam kali, masih tidak serik-serik berniaga seks. Ini bukti kita tidak tegas memerangi pelacuran. Kita banyak cakap, tetapi tidak ada tindakan, dan pelacuran terus membiak.

Maka ada baiknya pelacur-pelacur haram itu dilesenkan – sama seperti permit judi – boleh juga kerajaan memungut cukai.

Malah, silap-silap gaya kita boleh dicatat dalam Guinness World Records sebagai negara Islam pertama menghalalkan pelacuran!

Wednesday, August 1, 2012

Nasib BN PRU13 ibarat ‘tongkat retak’

 Ketua Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohd Fadhli Hassan
Ketua Penerangan Pas Kelantan, 
Dr Mohd Fadhli Hassan
 
KOTA BHARU - Nasib Barisan Nasional (BN) pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) boleh diibaratkan ‘tongkat retak’ menunggu masa untuk patah.

Ketua Penerangan Pas Kelantan, Dr Mohd Fadhli Hassan berkata, situasi itu berkemungkinan berlaku berikutan pengunduran Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing dari BN di saat-saat akhir menjelang pilihan raya.

Beliau berkata, peletakan  jawatan dua orang kuat BN di Sabah itu menggambarkan kepada rakyat bahawa parti berkenaan menghadapi krisis dalaman.

“Jelas menunjukkan BN ada masalah dalaman sesama pemimpin mereka sebab orang kuat parti ini pun boleh keluar parti. Situasi ini memberikan petanda yang kuat dapat meruntuhkan BN, seperti ‘tongkat yang retak’ dan akan patah sekali gus BN akan terhumban jauh,” katanya semalam.

Sabtu lalu, Lajim mengumumkan peletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta-merta dan mengisytiharkan gerakan Pakatan Perubahan Sabah (PPS).

Peletakan jawatan itu turut diikuti oleh Timbalan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Wilfred Bumburing.

Dalam pada itu, Mohd Fadhli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi berkata, isu tersebut mampu meningkatkan sokongan dan keyakinan rakyat khususnya di Sabah dan Sarawak terhadap Pakatan Rakyat (PR).

“Sekarang ini pun kita melihat rakyat sudah memberi sokongan dan keyakinan terhadap PR dan begitu juga rata-rata rakyat di Sabah dan Sarawak turut berbuat demikian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Fadhli menyifatkan tuduhan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zakarshi yang mendakwa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan wang kepada Lajim sebagai satu penghinaan.

Beliau berkata, dakwaan itu merendahkan martabat Lajim dan sebagai orang kenamaan yang berpengaruh, kewangan bukan pengukuran untuk Lajim mengambil keputusan keluar parti.

“Lajim bukan orang biasa sebab dia pegang jawatan besar yang mana kewangan bukan perkiraan untuk dia (Lajim) letak jawatan. Dakwaan itu sangat tidak patut dan boleh disifatkan satu penghinaan yang melampau kepada Lajim,” katanya.

Friday, July 27, 2012

Semalam Punya Kajian Najib mampu tersenyum.. Tapi Jika Hari ini punya kajian najib boleh 'stroke'

Lagi kajian MPN: Kedah akan kekal di tangan Pas
 
BANGI - Jika penemuan kajian Universiti Utara Malaysia (UUM) membabitkan 10,800 responden mendapati majoriti pengundi Kedah memilih Barisan Nasional (BN) menerajuinya semula, seorang lagi anggota Majlis Profesor Negara (MPN) berpendapat Pakatan Rakyat (PR) khususnya Pas boleh mengekalkan negeri utara Semenanjung itu.Prof Dr Mansor Mohd Noor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendedahkan penemuan kajiannya hari ini - Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan akan kekal di tangan PR.
Pun begitu katanya, Selangor, negeri paling kaya di Malaysia, akan jatuh ke tangan BN sebagaimana disebutkan dalam laporan kelmarin.Anggota panel forum mengenai PRU13 ini berkata, penemuan pihaknya  diperoleh menerusi kajian berkala yang dikendalikan beliau antara April dan Mei lalu."Kami menjalankan kajian dari bulan ke bulan, melibatkan kumpulan berfokus, kajian panel," kata beliau ketika ditemui selepas membentangkan hasil kajiannya di sini, hari ini.


Turut menjadi panel forum yang diadakan sempena Program Semarak Kasih MPN Bersama Anak Yatim di sini petang ini ialah Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Syed Idid.Mansor yang juga Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Terengganu, Sabah, Sarawak, Labuan dan Putrajaya akan kekal di bawah BN.Penemuannya juga menunjukkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan kekal dikuasai PR.Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Sarawak tidak melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri.

Dalam laporannya kelmarin, Prof Dr Rohana Yusof berkata, rakyat negeri itu juga yakin dengan cara kepimpinan yang di bawah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menerajui negara.Menurutnya, ini kerana corak pemerintahan yang dibawa oleh Perdana Menteri secara tidak langsung meningkatkan tahap ekonomi di negeri itu, berbanding Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.“Kajian itu menunjukkan 65 peratus kepimpinan Najib mampu meningkatkan tahap ekonomi negara berbanding 44 peratus yang dilakukan oleh Azizan untuk negeri itu.“Malah 67 peratus juga menyukai corak kepimpinan Perdana Menteri berbanding dengan menteri besar yang hanya 41 peratus. Ini menunjukkan rakyat kini mula memihak kepada Kerajaan Persekutuan, “ katanya.Beliau berkata demikian dalam sesi perbincangan Meja Bulat anjuran MPN yang bertajuk ‘PRU13: Malaysia Pilih Siapa?’.

Perbincangan pusingan pertama ini membawa tajuk ‘Prestasi dan Potensi BN di 4 Negeri, Siapa Jadi Pilihan?’.Rohana yang juga berkata, kajian ini dilakukan di 36 Dewan Undangan Negeri turut mendapati 59 peratus rakyat Kedah mendakwa bahawa Kerajaan Negeri gagal mengotakan janji yang dibuat oleh mereka.
MPN mempunyai keanggotaan kira-kira 1,700 orang. 
Ketika ditanya mengapa hasil kajian beliau berbeza dengan yang dikendalikan oleh Rohana, Mansor menjelaskan, perbezaan seumpama itu bukan sesuatu yang luar biasa.Katanya, mengambil kira aspek permasalahan dan objektif kajian, perbezaan hasil kajian bukan sesuatu yang luar biasa."Kajian saya kendalikan kajian panel, melibatkan kumpulan fokus... ia berbeza daripada kajian Prof Syed, sebagai contoh, yang mana beliau menggunakan tujaun dan matlamat, dan juga method kajian yang berbeza," katanya.

Jelas beliau, sebagaimana diketahui kajian Rohana dikendalikan ada Oktober dan November lalu manakala "hasil kajian saya ini pada April dan Mei lalu.""Malah, hasil kajian saya juga pernah menunjukkan Johor akan jatuh... hasil kajian tahun lalu. Tetapi pada hari ini keadaan berbeza, pengundia menunjukkan pendirian berbeza," kata beliau sambil menambah, sama ada pengundi sudah membuat keputusan muktamad, sukar untuk ditentukan."Tempoh kempen lima hari semasa kempen adalah masa yang penting bagi pengundi membuat keputusan. Jadi, kajian pada lima hari semasa akan memberi gambaran siapa seseorang pengundi akan menyokong," katanya lagi.~sh

Wednesday, July 18, 2012

FGVH & PKNK : Hangpa baca Sinar dan dengaq Penjelasan MB.. lepas tu baru buat keputusan apa dia..???

MB Kedah: Beli saham Felda Global tidak canggah dasar PR
NURUL FATIHAH SULAINI
19 Julai 2012
MB Kedah: Beli saham Felda Global tidak canggah dasar PR
ALOR SETAR - Pembelian saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) oleh anak syarikat Kerajaan Negeri tidak bermakna berlaku percanggahan perjuangan antara Pas Kedah dengan rakan lain dalam Pakatan Rakyat (PR).

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan apa yang berlaku adalah disebabkan masalah teknikal dan tidak menyentuh mengenai dasar parti.

Beliau berkata, keputusan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) membeli saham FGVH tidak sekali-kali menunjukkan wujud percanggahan Kerajaan Negeri ditadbir Pas dengan PR.

Sehubungan itu, Azizan menyerahkan kepada PKNK untuk mempertimbangkan dan membuat keputusan selanjutnya termasuk menjual semula saham berkenaan.


“Jangan ada pihak lain lagi mengatakan kita tidak bersama PR. Ia masalah teknikal kerana sebelum ini Amanah Saham Kedah yang wakili Permodalan Kedah Berhad (PKB) datang jumpa nak beli saham FGVH, tapi kita tahan kerana tidak mahu timbul kontroversi.

“Memang sudah menjadi amalan biasa bagi PKNK. Bila saham keluar kita boleh beli tapi kali ini kita tolak kerana isunya sangat sensitif. Kita harap kekeliruan berlaku di kalangan ahli serta penyokong mengatakan kita tidak bersama PR. Ia masalah teknikal kerana sebelum ini Amanah Saham Kedah yang wakili Permodalan Kedah Berhad (PKB) datang jumpa nak beli saham FGVH, tapi kita tahan kerana tidak mahu timbul kontroversi.

“Memang sudah menjadi amalan biasa bagi PKNK. Bila saham keluar kita boleh beli tapi kali ini kita tolak kerana isunya sangat sensitif. Kita harap kekeliruan berlaku di kalangan ahli serta dapat diatasi,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di Wisma Darul Aman, semalam.

Dalam pada itu, beliau difahamkan berdasarkan prospektus dikeluarkan FGVH pada 21 Januari lalu menunjukkan Felda sudah buat satu perjanjian dengan FGVH dan Felda Plantation untuk guna semua tanah Felda Plantation sebagai modal sahamnya.

“Tanah berkenaan dinyatakan dalam prospektus sedangkan tanah (Felda Plantation) adalah tanah milik Kerajaan Negeri. Kita tidak pernah maklumkan mengenainya dan tidak ada kebenaran diberikan untuk tujuan itu.

“Kerajaan Negeri pemilik sebenar tanah itu selagi tidak pindah nama dan Felda Plantation hanya diberi hak gunakan tanah berkenaan bukannya membuat perjanjian dengan pihak lain atas tanah itu. Kita minta FGVH menjelaskan perkara ini,” katanya.

Thursday, July 12, 2012

MB: Tindakan akan diambil jika terbukti langgar OSA

Datuk Seri Azizan Abdul Razak ALOR SETAR - Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang boleh dikenakan tindakan bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 jika didapati benar- benar melanggar akta berkenaan kerana mendedahkan butiran draf awal dasar perumahan baru Kedah.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berhasrat merujuk perkara itu kepada Exco Perumahan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah terlebih dahulu sama ada tindakan Keng Liang itu melanggar OSA.
“Saya perlu dapatkan laporan daripada Amiruddin dahulu. Jika dokumen yang didedahkan itu adalah dokumen rahsia Kerajaan Negeri, Keng Liang boleh dikenakan tindakan bawah OSA kerana melanggar akta itu,” katanya.

Menurutnya, walaupun pada awalnya kenyataan untuk mengambil tindakan OSA terhadap Keng Liang hanya gurauan, beliau tidak teraga-kagak mengambil tindakan jika terbukti ia  menyalahi OSA.

Azizan berkata, pihaknya akan mengumumkan pendirian sama ada perlu mengambil tindakan OSA terhadap Keng Liang, selewat-lewatnya minggu depan.
“Amiruddin dijangka pulang dari luar negara minggu depan, biarlah kami bincang sebelum buat keputusan. Buat masa ini, Kerajaan Negeri tidak akan bertindak selagi belum mendapat  gambaran sebenar daripada Amiruddin kerana beliau yang bertanggungjawab dalam merangka draf berkenaan,” katanya.

Keng Liang sebelum ini mendedahkan mengenai syarat baru draf dasar perumahan negeri berhubung kuota rumah mampu milik termasuk rumah kos rendah dinaikkan kepada 60  peratus serta sekatan terhadap pemilikan rumah oleh ‘orang luar’ di daerah Kuala Muda dan Kulim.

Ketika dihubungi, Keng Liang berkata, jika Azizan beranggapan beliau melanggar akta OSA, beliau bersedia berdepan tindakan termasuk laporan polis berhubung tindakannya itu.

“Ketika pertama kali saya mendapat maklumat mengenai draf itu, saya sudah pun meneliti dari aspek perundangan termasuk sama ada ianya melanggari peraturan atau sebaliknya.

“Difahamkan, itu bukan dokumen sulit kerajaan kerana sudah dibuat penjelasan kepada mereka yang terlibat dalam industri perumahan,” katanya.

Menurutnya, tindakannya mendedahkan draf perumahan baru itu adalah untuk membuka mata rakyat berhubung syarat baru perumahan yang bakal dikuatkuasakan.

“Ia membabitkan kebajikan dan kepentingan rakyat Kedah, sebab itu saya dedahkan supaya rakyat dapat memberi maklum balas sebelum ia dilaksanakan,” katanya.

Keng Liang berkata, beliau akan terus membangkitkan isu untuk kebaikan rakyat di negeri ini walaupun sebelum ini diugut diambil tindakan bawah OSA.

“Tindakan Azizan yang seolah mengugut saya apabila menyuarakan isu rakyat adalah tidak beretika," katanya.

Tuesday, July 10, 2012

CSL dah tobat dah nak debat dengan LGE...!!!

Soi Lek enggan debat lagi dengan Guan Eng
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
 
KUALA LUMPUR - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memutuskan untuk tidak berdebat lagi dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kerana mendakwa Lim menggunakan platform debat untuk berceramah politik dan berkempen.

Berdasarkan dua perdebatannya dengan Guan Eng, Soi Lek berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu bukan sahaja mengambil kesempatan membuat fitnah terhadap menteri-menteri MCA semasa berdebat malah tidak menjawab soalan yang menepati tajuk perdebatan mereka.
"Beliau (Guan Eng) tidak mengutarakan strategi memanfaatkan rakyat, beliau hanya tahu membuat fitnah, berkempen, dan tidak menjawab soalan dengan sepenuhnya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA di Wisma MCA, semalam.

Turut hadir Naib Presiden MCA iaitu Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Datuk Seri

Chor Chee Heung dan Senator Gan Ping Sieu dan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong.

Selain itu, Soi Lek mencabar Kerajaan Negeri Selangor untuk menjawab isu bekalan air berikutan ramai penduduk di negeri itu mengadu mengenai masalah air di Pusat Khidmat Aduan MCA Selangor. - Bernama

Thursday, June 21, 2012

Geng PESARA KERAJAAN pulak buat tuntutan kat NAJIB...!!

Selesai segera tuntutan pesara

Harun bersama Gurdial Singh (kanan) dan Hashim semasa sidang media
Harun bersama Gurdial Singh (kanan) dan Hashim semasa sidang media.
 
ALOR SETAR - Kerajaan diminta menyelesaikan segera dua tuntutan Persatuan Pesara-pesara Kerajaan Malaysia negeri Kedah mengenai penyelarasan kadar pencen.

Presidennya, Datuk Harun Mohd Hashim berkata, kadar pencen yang diterima pesara terdahulu sudah tidak relevan berbanding pesara baru memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurutnya, pencen penuh wajar diberikan kepada pesara yang berkhidmat kurang 25 tahun disebabkan masalah tertentu hingga terpaksa mengambil keputusan bersara awal.

“Hampir 10 peratus daripada pesara kerajaan di negeri ini berkhidmat kurang dari tempoh ditetapkan kerana menghadapi masalah kesihatan. Tempoh perkhidmatan tidak mencukupi kerana lambat diserap ke jawatan tetap.
“Jika pencen pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat 21 tahun menerima kenaikan, mengapa pesara kerajaan berkhidmat kurang 25 tahun tidak boleh mendapat pencen penuh,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, timbalannya Gurdial Singh a/l Kartar Singh dan setiausaha, Hashim Bostani.

Harun berkata, persatuan turut menuntut supaya kadar pencen diterima pesara sebelum ini daripada kategori skim yang sama diubah mengikut kadar terkini supaya dapat membela kebajikan semua pesara kerajaan.

“Individu yang sudah lebih 20 tahun bersara daripada perkhidmatan berhadapan dengan kesulitan hidup kerana pencen diterima rendah sedangkan harga barangan semakin meningkat.

“Kebanyakan pesara dulu menerima pencen kurang RM3,000 berbanding pesara sekarang yang menerima kadar lebih baik walaupun menjawat jawatan sama pada akhir perkhidmatan,” katanya.

Mereka bagaimanapun berterima kasih kerana tuntutan supaya meminda undang-undang pencen membolehkan balu/duda yang dikahwini dalam tempoh persaraan turut mendapat manfaat diluluskan.

Dalam pada itu, persatuan dalam proses menambah ahli baru dengan merangka pelbagai promosi turun padang ke setiap daerah mendekati pesara yang belum menjadi ahli.

“Walaupun jumlah sebenar pesara kerajaan di negeri ini mencecah hampir 30,000 namun hanya sekitar 2,000 yang mendaftar menjadi ahli persatuan kerana tidak mendapat maklumat menyeluruh mengenai peranannya.

Menurutnya, yuran ahli seumur hidup RM60 dan maklumat lanjut boleh diperolehi melalui laman web www.geocities.com/pesarakedah atau emel pesara_kedah@yahoo.com.