Tuesday, February 19, 2013

Mengapa kerajaan tak berani usik Cina Pengerang?

Oleh Ahmad Lutfi Othman

HAMPIR sepanjang perjalanan kami dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, 8 Februari lalu, diiringi hujan lebat. Dua hari kemudian, Ahad, semasa sarapan pagi bersama AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman dan rakan-rakan aktivis PAS Kulai, di bilik gerakan PRU13 Bukit Permai, hujan turun renyai-renyai.

Semasa wartawan kanan Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob, wartawan Johor, Salman Hussin, jurufoto Wan Zahari Wan Salleh, Mazlan, anak lelakinya dan saya bertolak ke Pengerang, hujan masih belum reda. Malah bertambah lebat apabila kami menghampiri pekan Sungai Rengit.

Anis Afida gadis berani

Sambil menunggu Pengerusi Gabungan NGO Pengerang, Anis Afida Mohd Azli, kami memesan makanan. Oleh kerana sajian pagi agak berat -- pertama, di Pulai bersama Onn Jaafar, Setiausaha Perhubungan PAS Johor dan kedua, dengan petugas muda yang sedia berkempen untuk Mazlan -- saya memilih mee bandung; sebenarnya juga tidak sesuai untuk penghidap diabetis dan pernah menjadi pembedahan pintasan jantung seperti saya!

Saya perhatikan bandar kecil ini tenang, damai dan menyenangkan. Jauh daripada kesibukan. Suasana hujung minggu agak sunyi, apatah lagi ia hari pertama Tahun Baru Cina. Saya cuba mencari topi atau payung untuk melindungi kepala yang mudah sakit apabila terkena hujan, tapi banyak kedai tutup.

Menghadap ke laut, walaupun dibatasi titisan hujan, saya perasan projek penambakan laut giat dijalankan. Entah kenapa kepiluan segera menerpa. Waktu itu saya belum dimaklumkan masalah sebenar yang mengasak penduduk Pengerang, sekadar beberapa isu asas seperti pengambilan tanah dan masalah alam sekitar ekoran projek Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC).

Namun naluri saya menangkap, ada kepedihan yang tersimpan. sekurang-kurangnya para nelayan terjejas mata pencarian.

Rupanya Anis Afida, aktivis gigih memperjuangkan hak penduduk di sini -- yang saya dengar namanya dari jauh -- masih muda, baru menamatkan pengajian di UTM, Skudai. Awal bicara dengan Anis, terserlah kematangan berbanding usianya, 24 tahun. Lancar dia menjelaskan mukadimah awal isu-isu kritikal yang perlu ditangani.


Penggerak berpotensi

Alhamdulillah, Pengerang yang tersorok paling bawah di bahagian kanan selatan tanahair, masih mampu membekalkan penggerak berpotensi, wanita pula. Saya bimbang lokasi seumpama itu ketandusan tenaga tempatan, khususnya daripada kalangan anak-anak muda, apatah lagi yang berminat dengan Parti Islam (PAS).

Bayangkan, kerusi Parlimen P157 Pengerang, yang mula terbentuk selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya, dimenangi Dato Seri Azlina Othman Said tanpa bertanding pada 2004 dan 2008.

Justeru, sekiranya Pakatan Rakyat belum bertapak kukuh di sini, saya dapat faham. Bagaimanapun, di celah-celah bangunan kedai di seberang jalan, ada bendera parti pembangkang berkibar.

Anis menunjuk jalan ke rumah Ah Chai atau nama sebenar, Chua Peng San, di Bukit Buloh, berdekatan Pekan Sungai Rengit, selepas melintasi sungai. Banyak bot nelayan tersadai di muara. Mungkin pandangan itu tiada lagi selepas penduduk dihalau secara terhormat.

Pertama kali berjumpa tapi ramah

Ah Chai memang ramah dan mesra sekali, membuatkan kami, warga Harakah, tidak kekok bila dijemput masuk ke rumahnya. Anis dan Mazlan nampak sudah lama mengenali dan akrab dengannya. Keluarga Ah Chai, terutama isterinya, juga gembira.

"Tahun ini raya tidak berseri, dan mungkin kali terakhir kami sambut Tahun Baru Cina di sini," kata Ah Chai, sambil mempelawa kami menjamah makanan ringan dan biskut, sebahagiannya dapat ditemui pada pagi Aidilfitri.

"Apa pun kita mesti tukar," tambahnya merujuk kewajipan menukar kerajaan dalam PRU13. "Dan saya semalam, waktu makan besar bersama keluarga, saya dah tukar tradisi itu dengan makan di luar bersama rakan-rakan Melayu saya,' ujar Ah Chai, ketawa.

Saya agak kurang senang apabila Ah Chai terpaksa meninggalkan rumah pada tengahari raya pertamanya, untuk membantu kami meninjau kawasan terjejas dengan projek bernilai RM170 bilion, termasuk projek Rapid Petronas, RM60 bilion. Seorang tetamu terpaksa berpatah balik selepas berselisih 100 meter dari rumah Ah Chai.

Mengikut Mazlan, Ah Chai cukup mahir dan masak dengan isu Pengerang, termasuk kedudukan kawasan penempatan yang terbabit dengan projek mega, yang diwarisi sejak 100 tahun lalu. Malah, dalam isu perpindahan kubur orang Islam, dia dikatakan antara yang mula prihatin.

Akan dipertahankan

Anis memberitahu saya, 37 peratus daripada jumlah pelaburan di bawah Program Transformasi Ekonomi Negara disumbangkan daripada pelaburan industri mintak dan gas di Pengerang. Wow! Tentu sekali, ia akan dipertahankan dengan apa jua kaedah, by hook or by crook.

Ia melibatkan saiz seluas 22,500 ekar dengan populasi 28,050 orang. Enam masjid, 11 surau, sembilan kuil, empat sekolah rendah, sebuah sekolah menengan, tiga sekolah Cina, 11 perkuburan Islam dan tujuh bukan Islam terbabit.

Saya difahamkan kawasan perairan yang terbabit memiliki habitat dugong yang merupakan spesis terancam di Malaysia. Udang karanya (lobster) adalah antara yang terbaik di negara ini. Saya perhatikan semasa sampai tadi, banyak restoran Cina di pekan kecil itu, petanda ramai pelancong dari luar.


Melihat saya bertongkat dan kadang-kadang nampak seperti menahan kesakitan, isteri Ah Chai mencadangkan ubat-ubat Cina sebagai rawatan. Bersungguh-sungguh dia menceritakan bagaimana cara menyediakannya. Saya terharu dengan keprihatinannya.

Ah Chai memandu arah kami ke Tanjung Pengelih. Ada pangkalan TLDM di situ. Sepanjang jalan dia tidak jemu-jemu menghubungkaitkan kampung-kampung yang kami lintasi dengan projek yang bakal dibangunkan.

Produk pelancongan terabai

Hujan renyai-renyai membataskan pergerakan saya. Rupanya Ah Chai mahu menunjukkan kepada kami kesan-kesan sejarah, yang berpotensi sebagai produk pelancongan, termasuk kubu tentera penjajah yang terbiar, berdekatan Pos Imigresen Tanjung Pengelih, salah satu pintu keluar ke Singapura.

Jalan menyusuri pantai itu mendedahkan kami dengan panorama menarik, walaupun terganggu dengan objek-objek pembangunan yang berceragah di kawasan perairan.

Tiba-tiba saya teringat komen tokoh perniagaan, Dato' Seri Abd Rahman Maidin, yang pernah menerajui Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, terlibat dengan konglomerat terkemuka dan mengasaskan Institut Peduli Rakyat.

Semasa kunjungannya ke pejabat Harakah beberapa bulan dahulu, beliau melontarkan kritikan keras terhadap konsep atau falsafah pembangunan yang diamalkan pihak berkuasa, sehingga banyak berlaku kes-kes rampasan tanah di seluruh negara.

Konsep pembangunan yang meruntuhkan

Rahman menentang cara mudah pembangunan yang menghalau orang Melayu keluar daripada kampung-kampung tradisi. Baginya, itu bukan pembangunan tetapi satu proses meruntuhkan dan memiskinkan kehidupan orang Melayu. Sepatutnya kawasan penempatan dikekalkan tetapi projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Ah Chai bercerita, Rahman selalu berkunjung ke Pengerang dan pernah bermalam di rumahnya. Saya sendiri berasa teruja untuk lebih lama merasai degup jantung masyarakat di sini ... dan tidak cukup sekadar meninjau dalam masa hanya sehari.

Sepanjang perjalanan, nama-nama kampung memikat hati saya, antaranya, kampung-kampung Sungai Kapal, Teluk Empang, Langkah Baik dan Sungai Buntu.

"Siapa lagi yang 'langkah baik' di sini kalau bukan pemimpin-pemimpin BN dan kroni mereka yang lapar projek dan rela menjual kepentingan orang kampung," tingkah saya, melintasi papan tanda jalan Kampung Langkah Baik.

"Dan yang 'buntu' tentulah masyarakat bawahan, yang dipaksa berpindah dan menjual tanah dengan harga murah," tambah saya, sambil ketawa kecil.

Eksploitasi melampau

Sesungguhnya majoriti pemimpin Umno, termasuk di peringkat bahagian dan cawangan, berdasarkan pengalaman saya membongkar beberapa kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah, tidak dapat lari daripada terjebak dengan manipulasi dan eksploitasi melampau terhadap rakyat yang jahil dan tidak berani bersuara.

Justeru, saya tidak menolak kemungkinan dakwaan bahawa dalam proses pemindahan kubur di Pengerang pun terselit elemen rasuah dan transaksi yang meragukan. Sudahlah pengebumian semula jenazah dibuat secara tergesa, dalam keadaan daif dan menimbulkan fitnah.

saya tidak dapat menyaksikan dari dekat situasi menyedihkan di kawasan perkuburan baru di Kampung Punggai disebabkan laluan becak dan berselut. Apa pun, ia tidak menghalang saya daripada mengesan proses penambakan yang tidak mengambil kira faktor perubahan cuaca.

Namun begitu, elit penguasa yang hanya memikirkan keuntungan untuk diri dan suku-sakat, serta menyamar di sebalik projek pembangunan, termasuk di Pengerang, beruntung memandangkan kebanyakan penduduk Melayu masih bermentaliti "apa saja daripada kerajaan harus dipatuhi".

Saya tertanya-tanya, mengapa reaksi masyarakat Tionghua lebih lantang, berani dan bersedia menanggung risiko. Paling penting mereka seperti bersatu hati dan berpadu dalam mengatur gerakan penentangan.

Kubur mereka bukan saja tidak (berani) diusik malah semakin terpelihara dan terjaga.

Saya kira, bukan saja di Pengerang, malah di mana-mana pun, sekiranya kawasan penempatan atau kepentingan mereka terjejas, yang akhirnya terpaksa juga berpindah, pampasan yang diterima jauh lebih tinggi.

Petang Ahad itu, selesai menziarahi kubur yang dipindahkan, dan ditunjukkan kawasan lapang yang cukup luas, berdekatan rumah agam Azalina, yang sebenarnya bagi penduduk, lebih sesuai dibangunkan, walaupun berdepan Laut China Selatan, saya agak resah dan gelisah memikirkan jalur pemikiran bangsa sendiri.

Anjurkan pemberontakan

Bukanlah kita mahu menganjurkan pemberontakan atau penentangan membabi-buta terhadap projek pembangunan, serta berkeras tidak mahu berpindah tanpa alasan kukuh.

Pertahankan hak dan berani berhujah menyanggah daleh bodoh yang tidak masuk akal. Jangan hinakan diri sendiri dengan meletakkan "harga yang cukup murah". Cukuplah selama ini aset dan kepentingan kita diperdagangkan.

Terngiang-ngiang lagi kata-kata seorang tua yang menyapa kami ketika menziarahi kawasan perkuburan yang telah dipindahkan. "Apa boleh kita buat, ikut ajalah kehendak orang berkuasa," begitulah lebih kurang maksudnya.

Ketika kami bertolak balik ke Kulai, hujan mencurah dengan lebat. Saya masih teringat anak mata Ah Chai yang merah mengiringi kepulangan kami. Dia nampak sebak dan terharu. Ya, Pengerang sememangnya sudah lama menangis.

"Terima kasih banyak," kata saya, ringkas sebelum pamit. "Saya sepatutnya mengucapkan terima kasih kerana Harakah sudi datang membuat liputan di sini," sambut Ah Chai.

Semasa Wan Nordin memandu perlahan dan berhati-hati keluar dari Sungai Rengit, saya berazam dalam hati: "Pengerang, tunggu aku akan datang lagi."

No comments:

Post a Comment