Sunday, February 24, 2013

Pertahan Kedah pemangkin perubahan ke Putrajaya

ALOR SETAR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merasmikan sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Himpunan Penyokong PAS peringkat kebangsaan di sini, malam tadi. 

Karnival anjuran Dewan Himpunan Penyokong PAS itu mendapat sambutan hangat kalangan masyarakat Tionghua Kedah.

Kira-kira 2,000 kaum Cina sekitar Alor Setar menghadiri sambutan itu yang turut dimeriahkan dengan kehadiran treler Jelajah Negara Berkebajikan

Turut serta dalam majlis yang bermula jam 9.00 malam itu ialah Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Exco Kerajaan Negeri antaranya, Datuk Phahrolrazi Zawawi, Datuk Md Taulan Rasul, Datuk Dr Ismail Salleh dan Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.
Selain itu Pengerusi DHPP Pusat, Hu Phang Chow, Ketua Pemuda PAS Kedah, Ahmad Yahya dan pimpinan lain.

Dalam majlis tersebut, Ustaz Hadi diberi penghormatan untuk bersama-sama beberapa tetamu VIP bagi menggaul yee sang, selain menyaksikan persembahan kebuadayaan di akhir karnival itu.

Presiden PAS pada awal perasmian sempat berucap dalam bahasa Mandrin yang disambut dengan tepukan dari kaum Cina.

Beliau turut memberitahu atas sikap persefahaman dan kerjasama antara perlbagai kaum menjadikan PAS bersama-sama PKR dan DAP di dalam Pakatan Rakyat.

Ahli Parlimen Marang itu juga menjelaskan kaum Cina merupakan undi penentu pada pilihanraya nanti dan ia perlu digunakan sepenuhnya.

Malah beliau juga berharap Kedah dapat dipertahankan agar ia menjadi pemangkin kepada perubahan di Putrajaya.

Beliau juga sempat beramah mesra dengan pada hadirin di sini yang mahu mengenali Presiden PAS itu.

Di akhir program, seluruh pemimpin bergambar di atas pentas treler Jelajah Negara Kebajikan yang diletakkan di sebelah pentas utama program bagi tujuan pameran.

Treler tersebut telah menjelajah Kedah bermula di Jerai sejak 21 Februari selepas dilancarkan Presiden PAS di Kuala Lumpur pada hari yang sama.



[WartaUtara]

No comments:

Post a Comment