Saturday, February 23, 2013

Exco Kedah - Penjelasan Hutang di Kulim Hi-Tech

Sebahagian besar hutang ialah untuk KHTP dan perkhidmatan air

Alor Setar - Sebahagian besar hutang kerajaan negeri Kedah terhadap Pusat sejak Mac 2008 ialah untuk tujuan pembesaran Taman Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan pengurusan bekalan air terawat untuk rakyat.

Ahli majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah berkata, hutang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu pada 2 Mac 2008 ialah sebanyak RM2,095,556,334.17. Pertambahan hutang selepas itu sehingga kini adalah sebanyak RM500 juta.

“Kira-kira RM260 juta adalah hutang berkaitan KHTP, antaranya untuk membesarkan KHTP fasa 4, setelah tiga fasa sedia ada tidak dapat menampung permintaan tinggi pelaburan masuk, khususnya dari negara luar.

“Dalam masa lima tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat jumlah pelaburan masuk ke KHTP adalah sebanyak RM10.8 billion manakala kalau nak dibandingkan lima tahun pertama pelaburan masuk di zaman BN cuma RM4.7 billion, sudah tentu memerlukan suntikan dana lebih besar,” ujarnya.

Berhubung hutang berkaitan pengurusan air pula, masih terdapat keraguan sama ada ia benar-benar bersifat hutang negeri kepada Persekutuan atau sepatutnya ia merupakan geran Persekutuan kepada negeri yang tidak perlu dibayar balik.

Menurut Amiruddin, kalau mengikut status Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) telah dimulakan pada 1974, pembiayaan program BALB ialah 80 peratus pinjaman dan 20 peratus geran kerajaan Persekutuan. Namun, pada 31Mei 2000 jemaah menteri telah bersetuju pertukaran dasar pembiayaan program kepada 100 peratus geran oleh Kerajaan Persekutuan.

“Jadi kita sedang berunding dengan Pusat supaya status sebahagian hutang untuk urusan perkhidmatan air diubah kepada geran, jika ia berlaku bermakna jumlah hutang negeri kepada Pusat tidaklah seperti yang disebutkan itu,” jelas Amiruddin.

Bagaimanapun, katanya, hutang-hutang berkaitan air akan diambilalih sepenuhnya oleh PAAB sekiranya pihak kerajaan negeri bersetuju untuk menyerahkan asset air kepada kerajaan Persekutuan.

Mengulas kenyataan Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang mengenai hutang pembinaan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang dianggap ‘membebankan’ kerajaan negeri, Amiruddin menasihatkan Tan supaya menaruh kepercayaan terhadap pihak bank yang meluluskan pinjaman tersebut.

“Keng Liang jangan susah hati, sebelum institusi kewangan beri pinjaman mereka sudah kaji segenap aspek terutama kemampuan pembayaran balik, jika tidak pinjaman tidak akan diluluskan.

“Dalam isu pinjaman KUIN, kerajaan yakin pinjaman dapat dijelaskan. Kita dah pun masukkan dalam peruntukan bajet 2013 dan bajet itu diluluskan tahun lepas. Sebagai contoh hutang bangunan tambahan Blog E Wisma Darul Aman yang menjadi beban tinggalan BN sebaik kita mengambil alih kerajaan tetapi kita dapat jelaskan mengikut jadual sebanyak RM25 juta setahun sehingga selesai semuanya penghujung 2012,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment