Berjuta ahli UMNO menyertai pembangkang dalam peti undi
Sekarang tektik UMNO untuk mendapatkan ‘mileage’ politik sangat rendah tarafnya dan memalukan. Akhir-akhir ini satu ‘trend’ lama yang diperbaharui sedang berlaku, iaitu menunjukkan dalam berita dan buletin utama TV3 tentang pengisytiharan ahli-ahli PAS menyertai UMNO. Hampir setiap malam ia dilakukan oleh media perdana negara. Apabila saya melihat isu ini dilakonkan melalui TV3 dan saluran TV media perdana yang lain saya teringat semasa UMNO melakukan perang psikologi terhadap Parti Melayu Semangat 46 dahulu.
Semasa itu setiap malam kita menyaksikan kemasukkan ahli-ahli Semangat 46 dalam UMNO. Parti S46 hanya mempunyai 350,000 ahli tetapi kalau dikira jumlah ahli S46 keluar parti yang disiarkan oleh TV3 itu melebihi 1 juta orang. Tektik ini tektik lama tetapi masih digunapakai oleh UMNO yang begitu terdesak dengan gerakan rakyat seluruh negara untuk menyaksikan perubahan dalam kepimpinan negara.
Saya masih teringat cerita penyampai berita TV yang saya kenali semasa itu. Pada zaman itu pembaca berita selalunya merupakan seorang wartawan berita dalam masa yang sama. Oleh itu mereka tahu hal keadaan sebenarnya. Pembaca berita ini telah menelefon memberi tahu saya yang beliau akan membaca berita mengenai kemasukan 150 orang ahli Parti S46 ke dalam UMNO sedangkan sebenarnya hanya 10 orang sahaja yang berbuat demikian. “Semuanya bohong bro!” katanya.
Saya pun menjawab sambil berseloroh, “Tak apalah. Tapi kalau boleh semasa kau baca berita bohong itu, kau kenyit-kenyitlah mata kau tu. Orang yang menontonnya akan fahamlah yang kau baca itu berita bohong." Dia tidak menjawab hanya ketawa berdekah-dekah sahaja.
Sesungguhnya inilah cara ‘desperado’ UMNO selama ini. Tetapi mereka tidak menyedari satu perkara yang saya selalu menulis tentangnya. Dalam pilihanraya kali ini berjuta ahli-ahli UMNO akan keluar parti semasa berada di dalam peti undi nanti. Ia telah berlaku dalam pilihanraya yang lalu dalam mana lebih dari sejuta ahli-ahli UMNO telah memangkah simbol Pakatan Rakyat, dan ia akan berlaku dengan lebih hebat sekali. UMNO tahu ini akan berlaku lagi kali ini.
Itulah sebabnya Dr Mahathir meminta setiap pemimpin-pemimpin bahagian seluruh negara berikrar di hadapan beliau yang mereka tidak akan melakukan sabotaj terhadap UMNO itu. Dr Mahathir tahu perkara ini akan berlaku dan beliau faham dengan sedalam-dalamnya isu ini kerana beliau merupakan pensabotaj UMNO yang paling terkenal. Mahathir merupakan pensabotaj UMNO yang paling hebat kerana perkara itu dilakukannya dalam pilihanraya yang lalu.
Kalau Mahathir, seorang yang telah diangkat begitu tinggi oleh partinya sanggup mensabotaj UMNO itu, apa yang boleh menahan ahli-ahli biasa yang tidak mendapat apa-apa kepentingan untuk melakukan sabotaj terhadap UMNO itu? Kalau bapa sudah kencing berdiri, apa yang boleh menahan anak-anak tidak kencing dan berak sambil berlari?
Isu ini sebenarnya isu besar. Contohnya di Negri Sembilan sahajalah. Pengerusi Perhubungannya tidak mendapat sokongan dari kebanyakan atau hampir keseluruhan Ketua-Ketua Bahagian dalam Negeri itu. Mohammad Hasan sememangnya tidak boleh menjaga UMNO NS itu, tetapi entah kenapa beliau masih berada di sana. Saya tidak tahu apakah jampi serapah yang beliau lakukan kerana beliau masih mengetuai UMNO di negeri adat itu.
Tetapi jika diketepikan Mohammad Hasan siapa pula yang hendak mengambil alih tempat beliau? Itu pun merupakan satu persoalan besar juga. Di NS semua pemimpin yang berkebolehan tidak mendapat tempat kerana permainan Ketua Perhubungan yang takut pada bayang-bayang. Isa Samad, semasa menjadi Menteri Besar, hanya mengumpulkan rakan-rakan guru sekolah beliau sahaja untuk menjadi EXCO kerana mereka pandai menggeli pundi-pundi beliau (Isa).
Puluhan orang yang berkebolehan diketepikannya kerana takut kepada bayang-bayang. Semua yang berkebolehan mati begitu sahaja. Isa pun seperti Dr Mahathir juga, takut kepada orang yang beliau anggap akan menjatuhkan beliau. Itu sebab di semua peringkat dalam UMNO itu tidak ada lagi kepimpinan.
Akhirnya Dr Mahathir sendiri mengakui yang UMNO sudah busuk sampai ke ususnya, tetapi sejak kebelakangan ini beliau masih menyokong parti yang beliau anggap sudah busuk sampai ke situ. Itu sebabnya Dr Mahathir tidak boleh dijadikan ikutan kerana beliau seperti Ibrahim Ali, akan menyelekoh dengan tiba-tiba dalam hal politik ini. Mungkin itulah sebabnya Dr Mahathir dengan Ibrahim Ali, itu mempunyai ‘chemistry’ yang baik dan secocok serta saling menyandar di antara satu dengan yang lain.
Setelah Isa digantikan oleh Mohammad Hasan, orang ramai ingat akan berlaku peningkatan mentaliti dalam UMNO itu kerana semasa Mohammad mula-mula menjadi MB ramai orang Negeri Sembilan beranggapan yang beliau itu adalah pemimpin yang turun dari langit ketujuh. Tetapi akhirnya keadaan di negeri itu lebih teruk dari apa yang UMNO alami semasa Isa menjadi Menteri Besar dahulu. Lagi rendah kredibiliti wakil rakyat di negeri itu, mereka itu jugalah yang sedang dipertahankan oleh Mohammad. Kerana apa? Kerana rasa rendah diri beliau dan takut kepada bayang-bayang sendiri.
Sekarang ini tinggallah pemimpin-peimpin yang pucat-pucat, seperti orang yang bercacing ‘kerawit’, untuk memimpin negeri itu. Itu sebabnya orang Melayu di Negeri Sembilan lebih mengenali Taufek, ADUN tunggal PAS, di sana dan ramai orang-orang Melayu UMNO akan berpindah randah di dalam peti undi nanti.
Lama juga saya berada dalam parti itu dahulu dan saya tahu apa yang sedang berlaku. Mungkin saya tidak tahu apa yang berlaku di kalangan pemimpin-pemimpinnya tetapi saya dapat merasakan yang ahli-ahli biasa dalam UMNO itu sudah lumpuh semangat nya dan tidak berdaya untuk mempertahankan arus perubahan di kalangan rakyat yang ramai. Siapa yang hendak menidakkan pandangan saya ini, mereka boleh berbuat sekendak hati mereka. Tetapi hakikatnya UMNO sudah lumpuh kerana pimpinan UMNO telah membunuh benih-benih kepimpinan sebegitu lama bukan sahaja di NS tetapi di seluruh negara.
Sekarang UMNO hanya tinggal dari kalangan yang ‘buta mata hati’ tentang politik dan siasah. Tetapi oleh kerana semuanya dalam kategori yang sama mereka menganggap mereka yang menentang seperti saya ini sebagai pengkhianat kepada negara.
Sesungguhnya pengkhianat itu akan menganggap semua yang lain itu pengkhianat seperti mereka juga. Apakan daya nasi sudah menjadi bubur. Sampailah masanya UMNO itu duduk di petak pembangkang untuk mendapatkan masa bagi melakukan perubahan dalamannya.
Kalau orang besar-besar macam Dr Mahathir boleh beralih-alih perjuangannya kenapa pula orang biasa seperti kita ini takut untuk melakukan seperti apa yang beliau telah lakukan itu?
Dalam pilihanraya dulu beliau minta rakyat memilih calon, tetapi sekarang beliau meminta orang memilih parti pula. Dia ingat orang ramai ini siapa? Beliau mesti ingat pengundi-pengundi sekarang terdiri dari manusia yang berfikir, bukannnya haiwan belaan yang boleh dicucuk hidungnya.
No comments:
Post a Comment