20 Februari 2013
ALOR SETAR - Seramai 25 peserta akan menyertai perlumbaan kenderaan pacuan dua roda (2WD) 'Rally of Kedah' yang akan diadakan di bandar raya ini selama tiga hari, mulai 14 Mac depan.
Perlumbaan anjuran TrelQuest Motorsports Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) itu akan turut disertai pelumba dari Thailand dan Singapura.
Datuk Bandar MBAS Datuk Mat Noh Ahmad berkata dalam perlumbaan itu para peserta akan melalui litar sejauh 3.5 Km bermula di Stadium Darul Aman dan litar 'ban sungai' (jalan tepi sungai) berhampiran sawah padi di Bukit Raya dan Kampung Jelai, Pendang dekat sini.
Beliau berkata di litar 'ban sungai' dengan jarak antara 10 hingga 12 Km itu, peserta perlu cekap mengawal kenderaan untuk melalui jalan sempit di antara terusan dan sawah padi.
"Ini antara langkah kita mempromosikan Bandaraya Alor Setar dan kawasan sekitar. Peserta dan penonton tempatan dan luar negara dapat lihat keindahan sawah padi dan tempat-tempat bersejarah di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas gimik perasmian 'Rally of Kedah' di Menara MBAS di sini hari ini.
'Rally of Kedah' terbahagi kepada beberapa kategori iaitu kenderaan berkapasiti antara 1,800 hingga 2,000 cc, 1,600 hingga 1,800, 1,300 hingga 1,600cc, 1,000 hingga 1,300 dan bawah 1,000 cc. Mat Noh berkata pihaknya dan TrelQuest turut mengalu-alukan syarikat korporat untuk menaja perlumbaan rali edisi sulung di negeri ini.
Bersempena rali itu, pameran dan gerai jualan akan turut diadakan di perkarangan Stadium Darul Aman sepanjang perlumbaan itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment