Showing posts with label Kulim HiTech. Show all posts
Showing posts with label Kulim HiTech. Show all posts

Saturday, February 23, 2013

Exco Kedah - Penjelasan Hutang di Kulim Hi-Tech

Sebahagian besar hutang ialah untuk KHTP dan perkhidmatan air

Alor Setar - Sebahagian besar hutang kerajaan negeri Kedah terhadap Pusat sejak Mac 2008 ialah untuk tujuan pembesaran Taman Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan pengurusan bekalan air terawat untuk rakyat.

Ahli majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah berkata, hutang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu pada 2 Mac 2008 ialah sebanyak RM2,095,556,334.17. Pertambahan hutang selepas itu sehingga kini adalah sebanyak RM500 juta.

“Kira-kira RM260 juta adalah hutang berkaitan KHTP, antaranya untuk membesarkan KHTP fasa 4, setelah tiga fasa sedia ada tidak dapat menampung permintaan tinggi pelaburan masuk, khususnya dari negara luar.

“Dalam masa lima tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat jumlah pelaburan masuk ke KHTP adalah sebanyak RM10.8 billion manakala kalau nak dibandingkan lima tahun pertama pelaburan masuk di zaman BN cuma RM4.7 billion, sudah tentu memerlukan suntikan dana lebih besar,” ujarnya.

Berhubung hutang berkaitan pengurusan air pula, masih terdapat keraguan sama ada ia benar-benar bersifat hutang negeri kepada Persekutuan atau sepatutnya ia merupakan geran Persekutuan kepada negeri yang tidak perlu dibayar balik.

Menurut Amiruddin, kalau mengikut status Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) telah dimulakan pada 1974, pembiayaan program BALB ialah 80 peratus pinjaman dan 20 peratus geran kerajaan Persekutuan. Namun, pada 31Mei 2000 jemaah menteri telah bersetuju pertukaran dasar pembiayaan program kepada 100 peratus geran oleh Kerajaan Persekutuan.

“Jadi kita sedang berunding dengan Pusat supaya status sebahagian hutang untuk urusan perkhidmatan air diubah kepada geran, jika ia berlaku bermakna jumlah hutang negeri kepada Pusat tidaklah seperti yang disebutkan itu,” jelas Amiruddin.

Bagaimanapun, katanya, hutang-hutang berkaitan air akan diambilalih sepenuhnya oleh PAAB sekiranya pihak kerajaan negeri bersetuju untuk menyerahkan asset air kepada kerajaan Persekutuan.

Mengulas kenyataan Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang mengenai hutang pembinaan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang dianggap ‘membebankan’ kerajaan negeri, Amiruddin menasihatkan Tan supaya menaruh kepercayaan terhadap pihak bank yang meluluskan pinjaman tersebut.

“Keng Liang jangan susah hati, sebelum institusi kewangan beri pinjaman mereka sudah kaji segenap aspek terutama kemampuan pembayaran balik, jika tidak pinjaman tidak akan diluluskan.

“Dalam isu pinjaman KUIN, kerajaan yakin pinjaman dapat dijelaskan. Kita dah pun masukkan dalam peruntukan bajet 2013 dan bajet itu diluluskan tahun lepas. Sebagai contoh hutang bangunan tambahan Blog E Wisma Darul Aman yang menjadi beban tinggalan BN sebaik kita mengambil alih kerajaan tetapi kita dapat jelaskan mengikut jadual sebanyak RM25 juta setahun sehingga selesai semuanya penghujung 2012,” jelasnya.

Sunday, January 6, 2013

Baru Semalam ja Ketua Pemuda UMNO kata tak ada pelabur.. nie menatang apa dia tak tau..!!!??

Kampus baru AUCMS di Kulim

KULIM - Pembinaan kampus cawangan Allianze Universiti College Of Medical Sciences (AUCMS) di KHTP, Kulim,akan menawarkan peluang kepada lebih dua ribu pelajar untuk mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang perubatan.

Kampus terbaru itu bakal menempatkan pelajar yang mengikuti Program Ijazah Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan pengambilan pertama, Februari depan.

Menurut Presidennya, Datuk Dr Zainuddin Wazir, program ijazah perubatan akan dilaksanakan dalam kampus di Bangunan KHTP Business Center 2, diharap mampu memanfaatkan sektor industri di kawasan itu khususnya membabitkan teknologi berasaskan sains.

Selain pengajian dalam bidang perubatan, pelajar kampus berkenaan juga akan mengikuti pengajian dalam bidang sains berkaitan dengan keperluan industri di kawasan KHTP.


Banyak peluang pekerjaan akan ditawarkan bagi pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian di kawasan berkenaan dan pihak industri bakal mempunyai tenaga pekerja mahir dalam pelbagai bidang sains berkaitan.

Perjanjian Persefahaman (MoU) antara AUCMS dengan KHTP di Business Center,Kulim, disaksikan oleh Pengerusi JawatankuasaIndustri, Pelaburan, Perumahan, Kerjaraya, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, YB Dato'Amiruddin Hamzah.

Selain itu KHTP juga menandatangi perjanjian dengan tiga pelabur yang akan beroperasi di kawasan KHTP iaitu Aspion Sdn.Bhddan CTR Setia (M) Sdn.Bhd yang terbabit dalam pengeluaran produk peralatan perubatan. Sebuah lagi syarikat iaitu In-Fusion Solution Sdn.Bhd akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi menawarkan peluang kepada rwmaja untuk mengikuti pengajian dalam bidang vokasional.

Hadir bersama, YB Dr Ismail Salleh dan Presiden KTPC, Muhamad Sobri Osman.

Tuesday, January 1, 2013

Calon MB Kedah sudah "KAMCING GIGI" sebab PELABURAH kat Kulim High Tech masuk mencurah-curah..!!!

Lebih RM400 juta pelaburan masuk di penghujung 2012

http://www.wartakedah.net/images/April2011/2012.jpg

KULIM - Di saat tahun 2012 mahu melabuhkan tirai, Taman Berteknologi Tinggi atau Kulim Hi-Tech Park (KHTP) berjaya menarik pelaburan berskala besar di bidang industri perubatan yang bernilai lebih RM400 juta. Sebanyak dua buah syarikat terbabit dalam pelaburan tersebut, manakala dua buah institusi pengajian pula menyewa kemudahan KHTP untuk tujuan pembelajaran dan penyelidikan.

Aspion Sdn. Bhd. syarikat yang terbabit di bidang membekalkan peralatan perubatan akan membuat pelaburan berjumlah antara RM300-400 juta di atas tapak KHTP fasa 3 yang berkeluasan 51.74 ekar. Syarikat ini terkenal di seluruh dunia sebagai pengeluar sarung tangan yang digunakan dalam pembedahan, namun di KHTP mereka akan memberi tumpuan kepada penghasilan peralatan Peritoneal Dialysis di samping melakukan kerja penyelidikan dan pembangunan di bidang berkaitan.

Sebuah lagi syarikat pelabur ialah CTR Setia (M) Sdn Bhd yang akan melabur kira-kira RM60 juta di bidang penghasilan intravenous catheters yang juga berkaitan dengan peralatan perubatan. Mereka memajak tapak seluas 31.5 ekar juga di fasa 3 KHTP.

Sementara itu Allianze University College of Medicine and Sciene (AUCMS) telah menyewa kemudahan di Pusat Perniagaan 2 KHTP sebagai pusat pengajian pra klinikal di bidang sains perubatan. Program ini difrancaiskan oleh UKM dan mula menerima kemasukan pelajar pada Februari 2013.

Sebuah lagi institusi pengajian yang turut menyewa kemudahan ialah In-Fussion Solutions Sdn Bhd yang menjadikan Bangunan Pusat IT KHTP sebagai tempat operasi. Mereka akan memulakan Voc-Tec College dengan pengambilan pertama pelajar pada 2013 yang dihantar oleh Kementerian Pelajar Malaysia. Para pelajar ini akan mengikuti kursus teknikal dan vokasional selama empat tahun.

Perjanjian pajakan antara keempat buah organisasi ini dengan Kulim Technology Park Corporation (KTPC) ditandatangi dalam satu majlis ringkas yang dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Dato' IR Amiruddin Hamzah dan YB Dr Ismail Salleh. KTPC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Muhammad Sobri Osman manakala kesemua organisasi terbabit diwakili oleh pegawai tertinggi masing-masing.

Dengan kemasukan dua pelabur baru ini, KHTP kini mempunyai 33 pelabur dalam industri dari dalam dan luar negeri dengan nilai pelaburan keseluruhan mencecah RM30 billion. Ia membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 28 ribu pekerja.

Terakhir Dikemaskini (Selasa, 01 Januari 2013 16:46)

APAMACAM MUKHRIZ.. apa cerita lagi hang nok mohong RAKYAT KEDAH... dulu kata PELABUR tak ada nak masuk KEDAH...nie apa bendanya yang depa dok sain aka tandatangan nie...????

Saturday, December 22, 2012

[BONGKAR] Rupa-rupanya ada cerita tersirat antara UMNO & KULIM Hi-Tech..

ORANG MELAYU DIDUNGUKAN : Kisah Kejayaan Kulim dan NUR sebenarnya KEGAGALAN UMNO

Nawawi Mohamad, Malaysia Chronicle
 
ORANG MELAYU DIDUNGUKAN: Kisah Kejayaan Kulim dan NUR sebenarnya KEGAGALAN UMNO
Kulim Hi-Tech Park (KHTP), yang telah dibuka secara rasminya pada tahun 1996, merupakan hartanah komersial yang pertama menempatkan industry berteknologi tinggi di Malaysia. Taman ini dikhaskan untuk menempatkan perindustrian yang memerlukan bekalan kuasa tanpa gangguan. Terdapat banyak perindustrian beroprasi secara canggih yang tidak boleh menerima gangguan kuasa walaupun sekelip mata kerana ia mungkin mengakibatkan gangguan dalam proses pembuatan yang mahal. Jadi, apabila ada sebarang masalah dalam bekalan kuasa, syarikat-syarikat yang telah komited untuk menubuhkan kilang disitu berisiko kehilangan jutaan ringgit kerana ia akan memakan masa untuk memulihkan sistem yang kompleks dan memulakan pengeluaran semula.

Kulim, yang merupakan satu lagi 'ilham' bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, telah dilanda masalah sejak dari mula. Hanya beberapa syarikat sahaja yang telah mengambil tempat di 31 lot perindustrian untuk memberi pulangan ekonomi yang memuaskan kepada pemaju 5 loji janakuasa mini ini. 5 loji janakuasa yang diperlukan untuk memberikan kuasa kecemasan yang mencukupi tidak dibekalkan TNB tidak boleh berikan melalui grid talian kuasa utama. Dan 5 loji ini, walau pun tidak mampu membekalkan kuasa secara serentak, akan bersiap sedia 24 jam sehari. Oleh itu, ia adalah kos operasi menjadi sangat tinggi jika semua 5 sistem beroperasi tetapi tiada pulangan atau ianya tidak mencukupi kerana kuasa yang dijana akan menjadi sia-sia sahaja.

Jadi, selama bertahun-tahun, keadaan di Kulim adalah jenaka ayam dan telur, yang mana wujud dahulu? Tanpa loji janakuasa, tidak akan ada kilang pembuatan berteknologi tinggi. Namun tanpa kilang pembuatan berteknologi tinggi, 5 loji janakuasa tidak boleh dibina kerana kos akan menjadi terlalu mahal.
Kemudian, seperti kebiasaan di Malaysia, apabila terdapat peluang untuk menjana wang yang banyak, UMNO akan biasanya terlibat. Dan selalunya, wang akan lenyap begitu sahaja, meninggalkan gajah putih yang akan perlu dibayar berkali-kali oleh rakyat.

Ketamakan yang tidak kenal sempadan
Kulim telah menjadi mangsa ketamakan ‘panglima Umno’ yang tidak hanya mahu memonopoli industry janakuasa TNB, malah mahukan projek seperti Kulim dimana 5 loji janakuasa berjalan tanpa campur tangan TNB. Kulim bukan sahaja mampu menjanakuasa secara berasingan tetapi yang lebih penting akan menjadikan mereka berada dalam senarai orang yang terkaya dalam Majalah Forbes untuk beberapa kali dengan pertalian rapat dengan Mahathir.

Untuk memendekkan cerita panjang, akhirnya bukan 5 tetapi hanya satu loji janakuasa telah dibina dengan menghasilkan kira-kira 228 mega-Watt kuasa elektrik (berbanding 1,500 MW yang boleh dijana oleh loji jana kuasa biasa) . Kontrak itu telah diberikan kepada Northern Utility Resources Sdn Bhd (NUR). Ini bukanlah firma yang dikenali tetapi telah diberikonsesi selama 30 tahun mula tahun 1997. Namun, akhirnya mereka hanya membina satu loji janakuasa dan bukannya 5, tidak banyak syarikat berteknologi tinggi yang berminat untuk melabur di sana. Oleh itu para pelabur tidak mahu mengambil risiko jika berlaku gangguan bekalan elektrik.

Selepas beberapa ketika, setelah melakukan banyak tawar-menawar dan juga dengan tindakan samseng mereka yang menjadi kebiasaan UMNO, Mahathir berjaya menarik 25 buah syarikat, kebanyakannya syarikat 'kroni' dan GLC – untuk membuka perusahaan di sana. Seperti mengikut sahaja telunjuk, firma-firma ini bersetuju untuk ke sana bagi menyelamatkan keseluruhan projek 'Hi-Tech' Kulim ini dari menjadi gajah putih yang memalukan. Tetapi mereka telah dipaksa untuk melakukan pengorbanan besar sekiranya berlaku gangguan dalam bekalan kuasa. Namun begitu, NUR masih mengalami kerugian besar dengan hutang yang menjangkau RM1.5 bilion.

Bekas menteri

Apa yang berlaku selepas itu agak memeranjatkan tetapi juga amat menyedihkan kerana sememangnya begitulah cara kerja UMNO-BN bagi semua projek-projek mega yang gagal. Selepas ‘menyelamatkan’ Kulim, pentadbiran BN bertindak ‘menyelamatkan’ NUR pula!
Kerajaan BN pimpinan UMNO melakukan ini dengan menukar lesen NUR yang membenarkan ia untuk menjual kuasa kepada syarikat nasional. Walau bagaimanapun, firma itu gagal untuk menandatangani perjanjian penjualan kuasa dengan TNB walaupun telah berbincang lebih dari 2 tahun.

Sesetengah pihak mendakwa ini adalah kerja seorang pemimpin UMNO keras kepala yang mahu menguasai NUR dan cuba untuk menggunakan kerajaan untuk menyelamatkan NUR seperti yang telah dilakukan Kementerian Kewangan terhadap syarikat penerbangan MAS yang kerugian teruk. Bagi pemimpin UMNO ini, yang sudah semestinya sangat berpengaruh, ia adalah kes 'jika kau boleh buat, kenapa aku tak boleh?'

Berita dari blog UMNO yang berpaling tadah memberi bayangan bahawa NUR sekarang dikawal oleh seorang bekas menteri yang agak berkuasa dan sudah pasti dia orang UMNO! Seperti pengambil alihan berani Proton oleh DRB-Hicom tanpa menggunakan wang yang Nampak atau mempunyia apa-apa kepakaran dalam pembuatan kereta. Bekas menteri ini begitu pasti akan dijamin oleh kerajaan UMNO-BN.

Yang nyata, dia mahu terlibat dari mula kerana dia tahu bahawa kerajaan akan bermurah hati menjaminnya keluar dari masalah.

Kisah kejayaan Melayu atau MEROMPAK BANGSA SENDIRI DENGAN RAKUS?
 
Walaupun demikian, media UMNO dan laman bloggernya memutar belit cerita ini sebagai satu kejayaan utama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam program ETP dan NKEA ekonomi. Mereka mencanangkan kegagalan Kulim dan penjaminan NUR sebagai kisah kejayaan ekonomi orang Melayu. Dan kita harus berterima kasih kepada Najib yang 'berpandangan jauh' dan juga 'kecintaannya' kepada bangsa, tegas mereka.

Tetapi pada hakikatnya, ini hanya RM1.5 bilion lagi yang dibuang ke dalam longkang. Mungkin jika dibandingkan ia bukanlah sebesar skandal RM12.5 bilion PKFZ, tetapi ia cukup memeranjatkan apabila wang negara dibazirkan lagi dan sekaligus menambah hutang negara yang telah mencecah had 55%.

Jika inilah kisah kejayaan orang Melayu, mereka sepatutnya risau akan masa hadapan mereka dengan UMNO sendiri yang menjadi ketua perompak dan perampas.

Wednesday, November 21, 2012

KHTP catat pelaburan tertinggi tahun 2011

ALOR SETAR – Dalam menghadapi persaingan yang hebat dari segi pelaburan dengan pelbagai kawasan perindustrian di seluruh Malaysia, Kulim Hi-Tech Park (KHTP) berjaya mendapat pelaburan tertinggi di Semenanjung Malaysia iaitu sebanyak RM4.7 bilion pada tahun 2011.

Exco Industri & Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian & Industri Asas Tani, Bioteknologi, YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah berkata, jumlah pelaburan baru di KHTP tidak termasuk pengembangan seperti yang tertera di laporan Malaysia Investment Performance secara rasmi adalah berjumlah RM4.7 bilion.

Beliau menjelaskan dalam jawapan bertulis mengenai soalan yang diajukan oleh YB Dato’ Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (ADUN Guar Chempedak) di Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke 12 di Wisma Darul Aman.

“Ianya menjadikan KHTP merupakan kawasan perindustrian yang mendapat jumlah pelaburan yang tertinggi di Semenanjung Malaysia bagi jumlah pelaburan baru pada tahun 2011.


“Antara strategi kerajaan negeri mendapatkan pelaburan yang tinggi adalah menyediakan infrastruktur yang baik, mencukupi serta efisyen kepada pengilang-pengilang. Menjaga kepentingan dan keperluan pengilang-pengilang dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Katanya, pihaknya juga memastikan penyelenggaraan di KHTP dijalankan dengan baik dan berterusan. Mewujudkan program-program yang akan memberi nilai tambah kepada pengilang-pengilang di KHTP.

Penyelenggaraan prasarana dan kemudahan dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh Pihak Berkuasa Tempatan Taman Perindustrian KHTP seperti membaiki susur jalan Hi -Tech 1, menyelesaikan masalah banjir dengan membaiki parit dan longkang contohnya longkang berdekatan dengn Kilang Fuji.

“Selain itu, kita juga menaik taraf lampu isyarat dan sensor di jalan utama dan menurap jalan di kawasan industri fasa 1. KPTC juga meningkatkan kawalan keselamatan dengan memasang CCTV di Kawasan Industri Fasa 3.

“Isu penyelenggaraan prasarana di KHTP sudah dibincangkan dan diambil tindakan melalui mesyuarat bersama-sama pihak Kulim Industrial Tenants Association (KITA) dan agensi-agensi serta jabatan-jabatan teknikal berkaitan secara berkala mulai 2007 sehingga kini,” terangnya.

Tambahnya lagi, pelbagai tindakan telah dan akan diambil bagi mempertingkatkan tahap penyelengaraan prasarana dan kemudahan lain di KHTP.

Sunday, March 4, 2012

Kedah melalui KBioCorp Sdn Bhd membina Makmal Kultur Tisu di Kulim HiTech

KULIM – Hasrat Kedah untuk menjadikan negeri ini sebagai Belanda Timur dirancakkan lagi apabila kerajaan negeri di bawah anak syarikatnya iaitu Syarikat Kedah Biorecources Corporation (KBioCorp) Sdn Bhd membina Makmal Kultur Tisu.

Exco Agama, Pelajaran, Koperasi, YB Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, dengan pembinaan makmal ini membuktikan kerajaan negeri amat peka dengan perkembangan teknologi pertanian dan bioteknologi.

Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak di Majlis Perasmian Makmal Kultur Tisu di Kedah Biorecources Corporation Sdn Bhd (KBioCorp) Sdn Bhd, Kulim Hitech.

“Kita mengharapkan pusat pembiakan kultur tisu yang serba lengkap di kawasan Koridor Utara ini akan dapat membantu bagi menjadikan Kedah sebagai negeri pertanian sepertimana negara Belanda.

“Secara tidak langsung, kemudahan yang disediakan di sini akan meningkatkan pengeluaran anak benih yang bermutu tinggi kepada para petani . Justeru itu, KbioCorp akan menjadi peneraju pengeluaran benih tanaman kultur tisu yang terbaik di kawasan utara dan Malaysia amnya,” terangnya.

Menurutnya lagi, syarikat yang merupakan anak syarikat kepada Kulim Park Technology Corporation ini telah melangkah setapak lagi ke hadapan dengan menerokai bidang kultur tisu.

Selain itu, KbioCorp juga telah diberikan geran pendidikan oleh koridor Utara dalam bidang “Plant Science and Tissue Culture Node”.

“Pihak syarikat ini telah mengadakan kerjasama dengan beberapa pihak seperti USM,UPM, UKM dan beberapa agensi bagi perlaksanaan projek tersebut.

“Kerjasama turut dijalankan dengan jabatan pertanian negeri bagi mengagihkan anak-anak benih kepada para petani. Penghasilan anak benih seperti pisang dan herba diharapkan dapat meninggalkan produktiviti para petani,” katanya.

Menurut Dato’ Taulan, ini adalah pencapaian yang baik dan beliau yakin sekiranya biokteknologi ini diperkembangkan, sudah pasti hasil dan pendapatan para petani di negeri Kedah juga akan meningkat.

Kewujudan makmal serta kemudahan yang ada di sini diharapkan dapat digunakan untuk mengeluarkan pelbagai jenis tumbuhan seperti pisang, betik, nenas dan pelbagai herba yang mempunyai bahan aktif yang tinggi.

“Pihak pentadbir makmal turut memberikan tumpuan kepada teknik “suspension culture” dan penyelidikan teknologi molekular sebagai alat kawalan mutu “tissue culture”. Beberapa “molecular marker probe” telah berjaya diperoleh bagi menentukan mutu tanaman sebelum ia ditanam di ladang.

“Aplikasi teknologi molekular tidak terhad kepada “tissue culture” sahaja kerana kerja-kerja pemetaan gene, ujian kepelbagai genetik dan analisis kuantitatif juga dijalankan bagi membantu kerja-kerja pembiakan baka-baka benih kultur tisu,” terangnya.

Katanya lagi, berdasarkan pencapaian-pencapaian tersebut, beliau merasa bangga kerana KbioCorp telah mengambil inisiatif untuk meneruskan komitmennya di dalam bidang bioteknologi. Ini bukan sahaja akan memberikan keuntungan kepada KbioCorp dan industri keseluruhannya sahaja kerana penubuhan makmal ini selaras dengan dasar kerajaan untuk melihat dasar biotek negara direalisasikan.

Beliau berharap semoga penubuhan makmal biotek tersebut akan mencapai matlamat penubuhannya iaitu untuk menjadi sebagai peneraju dalam industri kultur tisu dalam melahirkan penemuan baru.

Selain itu, pembangunan Bio-Valley di Karangan yang merupakan sebahagian dari “Plant Science and Tissue Culture Node” akan menjadi contoh kepada para petani bagaimana untuk menggunakan teknologi dalam pertanian,” jelasnya.

Turut hadir, Pengerusi Kedah Biorecources Corporation Sdn Bhd, Yb Dato’ Ir Amiruddin Hamzah.