Showing posts with label Kulim. Show all posts
Showing posts with label Kulim. Show all posts

Thursday, May 3, 2012

Status pemilikan tanah jirat Cina Sungai Kob telah dipindah milik sejak 1926

Ditulis oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR SETAR – Tanah projek pembinaan jirat Cina di Sungai Kob, Kulim adalah tanah milik persendirian, seorang pemilik Cina yang telah membelinya pada 18 April 1926 dan tidak pernah dipindahmilik kepada orang Melayu.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah berkata, sebelum tertubuhnya Akta Tanah 1933, tanah rizab Melayu boleh dijual kepada sesiapa sahaja samada Melayu, Cina mahupun India.

Tanah tersebut disahkan sebagai Tanah Rizab Melayu dan diisytiharkan pada 4 April 1933, namun pemiliknya adalah Cina, yang berhak ke atas tanah tersebut.

“Asal tanah tersebut adalah tanah orang Melayu, tetapi sebelum Akta Tanah 1933 diwartakan, pemilik tanah telah menjualnya kepada orang Cina, jadi pemilik baru itu berkuasa ke atas tanah tersebut,” jelas beliau ketika dihubungi.

Tambah beliau, projek pembinaan jirat Cina di Sungai Kob, Kulim telah diluluskan pada 2007 dan bantahan projek turut dibangkitkan oleh penduduk setempat pada tahun tersebut.

Namun, ianya tidak mendapat maklum balas daripada kerajaan terdahulu yang memerintah negeri Kedah.
“Tanah seluas 190 ekar itu bukan saja baru dijual, dimuliki dah berpuluh-puluh tahun oleh orang persendirian.

“Projek pembinaan jirat Cina ini telah diluluskan dalam Jabatan Perancangan Bandar Negeri Kedah pada tahun 2007, semasa YB Dato’ Seri Mahawangsa Mahdzir Khalid jadi Menteri Besar,” ujar beliau ketika dihubungi.

Menurut beliau, ‘buffer zone’ antara rumah penduduk dengan jirat Cina tersebut hanya 20 ekar, tetapi setelah perbincangan diadakan antara Majlis Perbandaran Kulim, pemaju dan penduduk, ianya dilebarkan hingga 80 ekar.

“Penduduk pernah buat bantahan pada tahun 2007, tapi tiada jalan penyelesaian, jadi apabila Pakatan Rakyat memerintah, satu dialog diadakan antara Majlis Perbandaran Kulim, penduduk dan pemaju.

“Selepas kertas cadangan masuk dalam mesyuarat Exco untuk lebarkan ‘buffer zone’, pemaju telah bersetuju dengan syarat tersebut, daripada 20 ekar kepada 80 ekar,” jelas beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Dalam demonstrasi bantahan pembinaan jirat Cina yang diadakan di hadapan Wisma Darul Aman, peserta mendesak untuk berjumpa Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak bagi mengemukakan bantahan mereka.

Mungkin mereka berasa terkejut kerana YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan sudi berjumpa dengan mereka bagi berbincang hal tersebut.

Perjumpaan dengan wakil penduduk diketuai Wahi Saidin selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak membuahkan hasil yang positif.

Wahi berkata, pihaknya terharu dengan penerimaan YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan termasuk pandangan dan penjelasan berhubung perkara itu.

Saturday, March 24, 2012

Menjawab isu Jerat Cina di Kulim yang di dendang semula oleh UMNO..

Isu jirat Cina di Kulim jerat UMNO
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA (Harakah)


Tak habis-habis isu perkauman sempit. Pembangkang di Kedah buat onar lagi. Kali ini isu kelulusan tapak perkuburan orang-orang Cina bukan Muslim atau biasa dipanggil jirat Cina.

Segelintir penduduk yang diperalatkan oleh Umno mengadakan demonstrasi haram Jumaat lalu mengecam kerajaan negeri kerana kononnya telah meluluskan jirat Cina seluas 190 ekar di Sungai Kob, Daerah Kulim. Dalam bantahan tersebut mereka mendakwa bahawa tanah tersebut asalnya berstatus Tanah Simpanan Melayu dan kerajaan negeri telah mengkhianati Tanah Simpanan Melayu.

Bantahan juga bertumpu kepada kononnya ketidakprihatinan kerajaan negeri menjaga sensitiviti orang Melayu kerana membenarkan jirat Cina diadakan di kawasan Melayu. Semuanya berkisar mengenai perkauman.
Persoalan paling pokok ialah benarkah jirat Cina itu diluluskan oleh kerajaan Pakatan Rakyat? Jawapannya, tidak benar! Projek pembinaan jirat Cina di Sungai Kob, Kulim itu telah diluluskan pada 2007 di masa Menteri besarnya ialah Datuk Seri Mahdzir Khalid. Serentak dengan kelulusan tersebut, penduduk kampung sudah bangkit membantah. Sewaktu kerajaan negeri termanggu-manggu mencari penyelesaian tiba-tiba kerajaan BN tumbang di Kedah.

Maka macam biasa beban pun terpikul kepada kerajaan PR. Untuk tidak memberi kelulusan projek dari awal adalah lebih mudah dari membatalkan projek yang telah diluluskan. Maka kerajaan perlu memikirkan kaedah terbaik supaya kedua-dua pihak berpuas hati.

Projek yang diluluskan pada tahun 2007 itu adalah tanah milik persendirian. Asalnya tanah milik orang Melayu tapi bukan berstatus Tanah Simpanan Melayu seperti yang ditohmahkan oleh pembangkang kerana tanah Simpanan Melayu tidak boleh dijual kepada bukan Melayu. Orang Melayu berpusu-pusu menjual tanah kepada pihak lain tidak pernah memikirkan bahawa hak mereka akan hilang selepas itu kerana yang penting bagi mereka ketika itu ialah wang tunai. Apabila tanah sudah berpindahmilik, terpulanglah kepada tuan tanah tersebut untuk melakukan apa-apa projek di atas tanahnya. Bekas pemilik tanah tidak berhak mengajar apa yang boleh dan boleh mereka lakukan di atas bekas tanahnya. ‘Kehilangan’ tanah orang Melayu itu berlaku di zaman kerajaan negeri diperintah oleh Umno yang mengaku menjadi pembela orang Melayu.

Langkah pertama yang dilakukan oleh kerajaan negeri dalam mencari penyelesaian ialah Majlis Perbandaran Kulim menganjurkan dailog melibatkan pemaju dan penduduk. Rumusan terbaik dari dailog tersebut ialah perlu ada zon penampan (buffer zone) lebih lebar di antara tempat perkuburan dan perkampungan yang terdekat.

Jika di zaman BN zon penampan cuma melibatkan tanah seluas 20 ekar, tetapi hasil perbincangan semua bersetuju zon penampan dilebarkan sehingga melibatkan keluasan 80 ekar. Cadangan terbaru itu diluluskan oleh kerajaan negeri. Zon penampan mempunyai tembok dan ditanam pokok-pokok besar. Jaraknya hampir satu kilometer. Kira-kira tidak sampai 10 keluarga yang tinggal berhampiran sempadan zon penampan tidak akan nampak tapak perkuburan tersebut.

Pembangkang dengan nada perkauman mendakwa kerajaan PAS lebih lunak dengan pemaju apabila menambahkan lagi keluasan tapak jirat Cina. Memang betul keluasan projek ditambah dengan tujuan melebarkan lagi zon penampan bukan menambah keluasan tapak perkuburan.

Sama macam isu Madrasah Salihiah, Kanchut, penduduk tempatan sudah faham tapi orang luar pula yang menyibuk. Penggerak demonstrasi haram itu juga dikatakan orang yang sama mengadu domba dalam isu Madrasah Salihiah. Mereka membawa kanak-kanak mengangkat sepanduk. Menurut ADUN Kulim, Lim Soo Nee (PKR), daripada sumber yang beliau perolehi, kanak-kanak yang terlibat dalam demonstrasi tersebut adalah anak-anak yatim yang dibawa oleh pembangkang.

“Orang-orang kampung yang datang ke situ bagi melihat apa yang terjadi, maka boleh nampakkan ramai yang datang untuk demonstrasi,” jelas Soo Nee. Buruk benar permainan pembangkang.

Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Mohd Zailan Hashim turut menyelar tindakan penganjur mengadakan demonstrasi tersebut. “Tak perlu orang Melayu tiba-tiba bangun dan demonstrasi kerana tanah mereka sudah pun terjual,” katanya.

Beliau menyarankan semua terlibat dalam demonstrasi memikirkan masalah tanah perkuburan Islam yang semakin serius. Menurutnya, antara isu di Taman Selasih, Kulim, ribuan penduduk Islam tiada tanah perkuburan. Betul juga. Asyik menyibuk jirat Cina, tanah kubur orang Islam sendiri pun belum selesai.

Dari aspek politik, isu yang dimainkan Umno ini sangat menguntungkan PR di Kedah. Berdasarkan komposisi kaum, kira-kira separuh kerusi DUN di Kedah ‘ditentukan’ oleh pengundi bukan Melayu, khususnya orang Cina. Umno pernah anjur demonstrasi bantah kandang babi di Pokok Sena dan Gurun. Mereka bantah pusat hiburan untuk bukan Muslim di bulan Ramadhan. Sekarang berdemo bantah jirat Cina. Dari hidup sampai mati, semua Umno mau kacau maa...

Thursday, March 22, 2012

Banjir di Taman Tunku Putra: Tohmahan TV3 tidak berasas!

KULIM, 22 Mac 2012 – Tiada sebarang aduan sama ada bertulis mahu pun secara lisan yang dikemukakan kepada Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Merbau Pulas berkenaan masalah yang melanda penduduk Taman Tunku Putra, Kilang Lama baru-baru ini.

Seperti yang disiarkan oleh media perdana, TV3, yang mendakwa kononnya ADUN Merbau Pulas, YB Dato’ Siti Ashah Ghazali bersikap lepas tangan dengan permasalahan banjir kilat yang melanda sebahagian penduduk taman perumahan berkenaan adalah tidak berasas sama sekali.

“Saya tidak dimaklumkan langsung berkenaan masalah berkenaan. Tiada sebarang surat atau pun wakil penduduk Taman Tunku Putra yang datang berjumpa membincangkan hal tersebut.

“PKWR juga tidak menerima aduan berkenaan. Bagi saya dakwaan yang dilemparkan kepada saya adalah tidak berasas kerana ianya di luar pengetahuan saya,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, Setiausaha Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), Mohd Arof Darus ketika dihubungi memaklumkan, pihak MPKK menerima surat aduan dari Persatuan Penduduk, Taman Tunku Putra berkenaan masalah tersebut pada 4 Disember 2011 yang lalu dan kerja membaiki, memperbesar serta membersih longkang telah pun dilakukan.

“Masalah ini sebenarnya sudah lama, sejak tahun 70an lagi tetapi apabila berlaku kemajuan pesat, bangunan dan taman-taman perumahan dibina, apabila berlaku hujan lebat, air akan mengalir ke situ kerana kawasannya lebih rendah dari tempat lain.

“Walau bagaimana pun, pihak MPKK telah mengambil tanggungjawab di atas aduan mereka dan kita telah pun membuka tender untuk penyelenggaran longkang-longkang, naik taraf parit dan sebagainya sebagai usaha mengurangkan masalah berkenaan,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, berita yang disiarkan oleh TV3 baru-baru ini bukanlah kejadian yang sebenar. Liputan banjir yang disiarkan adalah kejadian yang berlaku dahulu dan bukannya sekarang. Beliau juga menganggap berita yang disiarkan kurang tepat serta mempunyai motif politik.

Banjir kilat yang melanda sebahagian rumah di kawasan perumahan berkenaan sebenarnya telah berlaku sejak 2001 lagi dan sekarang ini ianya menjadi agak serius kerana wujudnya taman-taman perumahan seperti Taman Senangin, Taman Haruan dan pertumbuhan pesat Kulim Hi-Tech. Walau bagaimana pun hanya sekitar 9 hingga 10 buah rumah sahaja yang terlibat, bukannya keseluruhan kawasan perumahan seperti yang digambarkan.

Sunday, March 4, 2012

Kedah melalui KBioCorp Sdn Bhd membina Makmal Kultur Tisu di Kulim HiTech

KULIM – Hasrat Kedah untuk menjadikan negeri ini sebagai Belanda Timur dirancakkan lagi apabila kerajaan negeri di bawah anak syarikatnya iaitu Syarikat Kedah Biorecources Corporation (KBioCorp) Sdn Bhd membina Makmal Kultur Tisu.

Exco Agama, Pelajaran, Koperasi, YB Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, dengan pembinaan makmal ini membuktikan kerajaan negeri amat peka dengan perkembangan teknologi pertanian dan bioteknologi.

Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak di Majlis Perasmian Makmal Kultur Tisu di Kedah Biorecources Corporation Sdn Bhd (KBioCorp) Sdn Bhd, Kulim Hitech.

“Kita mengharapkan pusat pembiakan kultur tisu yang serba lengkap di kawasan Koridor Utara ini akan dapat membantu bagi menjadikan Kedah sebagai negeri pertanian sepertimana negara Belanda.

“Secara tidak langsung, kemudahan yang disediakan di sini akan meningkatkan pengeluaran anak benih yang bermutu tinggi kepada para petani . Justeru itu, KbioCorp akan menjadi peneraju pengeluaran benih tanaman kultur tisu yang terbaik di kawasan utara dan Malaysia amnya,” terangnya.

Menurutnya lagi, syarikat yang merupakan anak syarikat kepada Kulim Park Technology Corporation ini telah melangkah setapak lagi ke hadapan dengan menerokai bidang kultur tisu.

Selain itu, KbioCorp juga telah diberikan geran pendidikan oleh koridor Utara dalam bidang “Plant Science and Tissue Culture Node”.

“Pihak syarikat ini telah mengadakan kerjasama dengan beberapa pihak seperti USM,UPM, UKM dan beberapa agensi bagi perlaksanaan projek tersebut.

“Kerjasama turut dijalankan dengan jabatan pertanian negeri bagi mengagihkan anak-anak benih kepada para petani. Penghasilan anak benih seperti pisang dan herba diharapkan dapat meninggalkan produktiviti para petani,” katanya.

Menurut Dato’ Taulan, ini adalah pencapaian yang baik dan beliau yakin sekiranya biokteknologi ini diperkembangkan, sudah pasti hasil dan pendapatan para petani di negeri Kedah juga akan meningkat.

Kewujudan makmal serta kemudahan yang ada di sini diharapkan dapat digunakan untuk mengeluarkan pelbagai jenis tumbuhan seperti pisang, betik, nenas dan pelbagai herba yang mempunyai bahan aktif yang tinggi.

“Pihak pentadbir makmal turut memberikan tumpuan kepada teknik “suspension culture” dan penyelidikan teknologi molekular sebagai alat kawalan mutu “tissue culture”. Beberapa “molecular marker probe” telah berjaya diperoleh bagi menentukan mutu tanaman sebelum ia ditanam di ladang.

“Aplikasi teknologi molekular tidak terhad kepada “tissue culture” sahaja kerana kerja-kerja pemetaan gene, ujian kepelbagai genetik dan analisis kuantitatif juga dijalankan bagi membantu kerja-kerja pembiakan baka-baka benih kultur tisu,” terangnya.

Katanya lagi, berdasarkan pencapaian-pencapaian tersebut, beliau merasa bangga kerana KbioCorp telah mengambil inisiatif untuk meneruskan komitmennya di dalam bidang bioteknologi. Ini bukan sahaja akan memberikan keuntungan kepada KbioCorp dan industri keseluruhannya sahaja kerana penubuhan makmal ini selaras dengan dasar kerajaan untuk melihat dasar biotek negara direalisasikan.

Beliau berharap semoga penubuhan makmal biotek tersebut akan mencapai matlamat penubuhannya iaitu untuk menjadi sebagai peneraju dalam industri kultur tisu dalam melahirkan penemuan baru.

Selain itu, pembangunan Bio-Valley di Karangan yang merupakan sebahagian dari “Plant Science and Tissue Culture Node” akan menjadi contoh kepada para petani bagaimana untuk menggunakan teknologi dalam pertanian,” jelasnya.

Turut hadir, Pengerusi Kedah Biorecources Corporation Sdn Bhd, Yb Dato’ Ir Amiruddin Hamzah.

Wednesday, July 13, 2011

KULIM - Ragut, samun berleluasa

Ragut, samun berleluasa

KULIM - Seorang lelaki berusia 20an cemas apabila dia didatangi seorang lelaki bersenjatakan pistol sebaik keluar dari pejabatnya yang terletak di sebuah rumah kedai berhampiran pasar Kulim kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.

Menurutnya, kejadian itu berlaku terlalu cepat sehingga dia terpaksa akur kehendak suspek.

“Sebaik saja keluar dari pejabat, saya nampak suspek berjalan ke arah saya berseorangan dan kemudiannya mengacukan pistol ke perut saya. Suspek kemudiannya meminta menyerahkan beg galas yang ada pada saya.

“Bimbang keselamatan terancam, saya akur dengan kehendaknya,” katanya.

Dia berkata, suspek kemudiannya melarikan diri ke arah lorong gelap di belakang bangunan bank sebelum menaiki motosikal.

“Saya percaya suspek meletakkan motosikalnya di belakang bangunan itu sebelum melakukan samun.

“Saya dapat mengecam mukanya sekiranya polis berjaya menangkapnya ”katanya.

Dia yang mengalami kerugian lebih RM1,000 selain dokumen peribadi. Ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) yang ada di tempat kejadian kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Sementara itu, seorang pekerja salon yang ingin dikenali dengan nama Anita berkata, jenayah samun dan ragut sering berlaku di kawasan itu.

Menurutnya, rakan sekerjanya turut menjadi mangsa ragut ketika dalam perjalanan balik ke rumah kira-kira jam 7 petang.

“Sebelum ini pelanggan saya turut menjadi mangsa ragut. Ketika kejadian mangsa meletakkan beg di celah peha. Tiba-tiba datang seorang lelaki tidak dikenali masuk ke dalam premis itu lalu meragut begnya.

“Saya meminta polis supaya membuat rondaan lebih kerap di sekitar kawasan ini kerana setiap minggu ada sahaja mangsa diragut dan disamun,” katanya.

Wednesday, June 22, 2011

MEMORANDUM UNTUK SEMUA PEJABAT AGAMA DALAM NEGERI KEDAH


NAK TENGOK DAH BERAPA LIKE KAT FACEBOOK KLIK SINI
:: MEMORANDUM ::

Memo Editor
12 bersekedudukan

MAHANG - Seramai 12 dicekup dan dua daripadanya merupakan rakyat tempatan dalam satu serbuan yang dijalankan Pejabat Agama Islam Daerah Kulim (PADK) kerana bersekedudukan di sebuah rumah di Estet Ladang Sungai Dingin kira-kira jam 12.50 pagi, kelmarin.

Ketua Unit Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, penduduk kampung di sekitar lokasi kejadian sudah lama membuat pemantauan sebelum memaklumkan perkara itu kepada PADK untuk diambil tindakan.

Menurutnya, semua lelaki terlibat merupakan pekerja estet manakala pasangan wanita pekerja industri.

“PADK menerima maklumat dan pergi ke lokasi bersama enam penguat kuasa membuat pemantauan. Setelah mengesahkan bahawa terdapat beberapa pasangan dalam rumah, PADK mengambil tindakan mengepung rumah itu. PADK kemudiannya memperkenalkan diri dan meminta kebenaran membuat pemeriksaan.

“PADK menemui lima lelaki dan lima wanita warga Indonesia serta sepasangan kekasih warga tempatan berada dalam rumah itu. Ada di antaranya berada dalam bilik bersama pasangan masing-masing. Dari siasatan dijalankan PADK mendapati ke semua yang berada dalam rumah tidak mempunyai hubungan mahram, ” katanya.

Menurutnya, semua pasangan yang ditahan dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan.

Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali. Pasangan lelaki ditahan di lokap Balai Polis Kulim manakala pasangan wanita ditahan di Balai Polis Lunas.

“PADK kemudiannya membebaskan ke semua terlibat dengan ikat jamin dan mengarahkan mereka untuk hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan untuk dibicarakan.

“Sekiranya ingkar berbuat demikian, PADK akan mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka terlibat, “ katanya.

Azmi meminta kerjasama orang ramai untuk terus memberikan kerjasama dengan memberikan maklumat kepada PADK sekiranya ternampak sebarang perlakuan maksiat.

“Sehingga kini PADK membuat rondaan pencegahan maksiat setiap malam untuk memastikan Kulim bebas dari sebarang perlakuan mungkar, “ katanya.

Saturday, May 21, 2011

KULIM - ‘Jangan jadikan diri sasaran jenayah’

KULIM - Kesedaran tentang cara menangani masalah jenayah dalam kalangan masyarakat hari ini semakin berkurangan. Ini terbukti apabila indeks perlakuan jenayah meningkat setiap hari.

Bagi memastikan kadar perlakuan jenayah berkurangan, Ketua Balai Polis Kulim, Cif Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir mengedar risalah kepada pengunjung di sekitar pasar raya di Kulim.

Mohd Azlan berkata, sehingga kini masih ada dalam kalangan mangsa yang terlibat dalam perlakuan jenayah tidak membuat laporan polis. Perbuatan mereka ini akan menyukarkan polis membuat tindakan terhadap penjenayah.

“Antara perlakuan jenayah yang sering berlaku di Kulim adalah seperti samun, ragut, curi motosikal dan pecah cermin kereta. Semua ini dapat dibendung sekiranya orang ramai mengetahui cara pencegahannya dilakukan.

“Tujuan utama polis mengedarkan risalah tentang pentingnya teknik pencegahan jenayah adalah mendidik masyarakat hari ini supaya tidak cemas apabila berhadapan dengan situasi seperti itu.

“Selain itu, risalah yang diedarkan turut mendidik orang ramai supaya peka terhadap penjenayah, kenderaan yang digunakan dan nombor pendaftaran kenderaan, “ katanya.

Menurutnya, ada dalam kalangan wanita yang sering mengenakan barang kemas yang keterlaluan sehingga mengakibatkan diri mereka menjadi sasaran penjenayah.

“Apabila ini berlaku, mangsa mungkin akan diragut atau disamun. Kita jangan sesekali menjadikan diri kita sebagai sasaran jenayah, ” katanya.