Tuesday, October 30, 2012

Tajul nafi projek 99East di Langkawi punca kerajaan Kedah rugi


SUNGAI PETANI - Bekas Pengerusi Eksekutif Kedah Corporation Berhad (KCB) Datuk Tajul Urus Mat Zain menafikan dakwaan bahawa projek 99East di Langkawi menyebabkan kerajaan negeri Kedah terpaksa menanggung kerugian.

Beliau berkata isu rugi tidak sepatutnya timbul kerana mengikut perjanjian, projek usahasama antara KCB dan sebuah syarikat dari Singapura, Terra Monda Development (TMD) itu, KCB hanya perlu menyelesaikan masalah tanah manakala semua bentuk pelaburan dan pembangunan akan dilaksanakan oleh TMD.

Projek 99East bernilai RM1.2 bilion dan dibangunkan di kawasan seluas 144 hektar di Bukit Malut bermula 2007 dijangka mampu memberi pulangan RM200 juta kepada KCB, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tajul Urus yang juga Penyelaras Parlimen Merbok berkata projek itu mempunyai empat fasa dan dijangka siap menjelang 2016 yang membabitkan pembinaan sebuah kelab golf bertaraf antarabangsa, istana hinggap untuk Sultan Kedah, pembinaan hotel dan kediaman.

Oleh yang demikian, katanya kerugian yang ditanggung oleh kerajaan negeri ditadbir Pas ketika ini sebenarnya bukanlah disebabkan projek 99East, sebaliknya didakwa berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri melaksanakan projek terbaharu di bawah KCB.

"Isu ini timbul ekoran kegagalan KCB, bukan dalam projek yang dibuat sewaktu saya jadi Pengerusi Eksekutif sebaliknya selepas mereka (kerajaan negeri) gagal melaksanakan projek pelaburan (pembalakan) di Papua New Guinea," katanya.

Mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak bahawa KCB menjanjikan tanah yang bukan miliknya, katanya mengikut perjanjian, TMD akan membayar pampasan ke atas tanah persendirian termasuk di kawasan penempatan setinggan.

Baru-baru ini Azizan mendakwa empat projek yang dijalankan ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional telah gagal sehingga menyebabkan kerajaan negeri menanggung beban hutang yang banyak.

Projek yang dimaksudkan itu ialah projek 99East Langkawi, ternakan udang di Kerpan, Yayasan Islam Negeri Kedah dan Projek Jerai International Park.- Bernama

1 comment:

  1. "Beliau berkata isu rugi tidak sepatutnya timbul kerana mengikut perjanjian, projek usahasama antara KCB dan sebuah syarikat dari Singapura, Terra Monda Development (TMD) itu, KCB hanya perlu menyelesaikan masalah tanah manakala semua bentuk pelaburan dan pembangunan akan dilaksanakan oleh TMD."

    Menurut kaedah ini, KCB akan memohon tanah dari Kerajaan Negeri secara percuma. Dengan sebab itu, Kerajaan Negeri akan kehilangan lebih RM21 juta dari hasil premium tanah dan deberikan kepada KCB.

    "Projek 99East bernilai RM1.2 bilion dan dibangunkan di kawasan seluas 144 hektar di Bukit Malut bermula 2007 dijangka mampu memberi pulangan RM200 juta kepada KCB, katanya kepada pemberita di sini hari ini."

    KCB akan mendapat untung RM200 juta yang semuanya akan di'faraid' sesama pemimpin UMNO/BN Kedah. Jadi tanah di Langkawi seluas 144 hektar tergadai kepada syarikat 99East yang 70% dipegang oleh TMD (syarikat asing). Macam tu ka, Dato'?

    Pembangunan ini gagal akibat Kerajaan Negeri tidak sanggup menggadai tanah di Langkawi kepada pihak asing dan kerugian hasil negeri dari premium tanah sebanyak RM21 juta. Oleh itu, Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat mengenakan syarat yang premium tanah sebanyak RM21 juta perlu dibayar dulu sebelum projek ini dapat dibangunkan. KCB tidak ada dana dan TMD tidak sanggup mengeluarkan dana itu. Jadi projek tidak dapat diteruskan. Inilah cara UMNO/BN Kedah menggadaikan negeri kepada pihak asing untuk keuntungan peribadi.

    ReplyDelete