Tuesday, October 30, 2012

Aduhai Nonaku Azizah... Tidak Payahlah Bertandinglah...

Wan Azizah Tidak Payahlah Bertanding

Tampaknya Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Dr Wan Azizah Wan Ismail berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Kali ini dia akan bertanding di kerusi Dun. Dipetik dari satu laporan menurutnya beliau masih belum tentukan Dun mana, sama ada Selangor atau pun Pulau Pinang yang akan ditandingi. Katanya juga, parti akan menentukan kawasan mana untuk dia bertanding.

Wan Azizah: Boleh jadi penasihat.
Sekali tenguk kenyataan itu serius, tetapi saya tidak mengira Wan Azizah sendiri serius untuk bertanding. Bagi saya tidak perlu beliau berbuat begitu. Cukuplah suaminya Anwar dan anaknya Nurul Izzah saja mengambil bahagian sementara beliau lebih afdal menjadi penasihat dari rumah.

Walaupun kronisme dalam politik perkara biasa, tetapi dalam konteks hari ini dan suasana kini tidak elok kalau suami isteri dan anak bertanding. Apakah Anwar atau keluarganya ingin mencatat rekod di mana tiga beranak berada dalam dewan dan paerlimen serentak? Mahu mengatasi keluarga Lim Kit Siang di mana dia, anak dan menantu berada dalam dewan? 

Atau Karpal Singh di mana dia dan anaknya Deo berada dalam parlimen? Hanya kalau itu tujuan Wan Azizah bertanding tidak wajar untuk bekas MP Permatang Pauh itu ikut sama bertanding. Saya jamin kalau 'Nonaku Azizah' bertanding dia boleh menang. Namun atas kapasitinya dan melihat kepada pencapaiannya tidak sesuai kalau beliau bertanding.

Saya harap ura-ura Azizah akan turun gelanggang sekali lagi tidak akan menjadi kenyataan. Anwar diminta waras di dalam hal ini. Jika Azizah diharap meneruskan perjuangan atas andaian Anwar terpaksa berundur atas sebab-sebab tertentu, bukankah Nurul Izzah sudah ada sebagai galang gantinya.

Dunia tidak mahu melihat akan berlaku perebutan jawatan dalam sebuah parti di antara anak dengan ibu. Dalam politik serba boleh berlaku kerana setiap individu atau tokoh itu akan ditentukan oleh penyokong dan bukan pertimbangan peribadi. Sekiranya Wan Azizah digembur untuk menjadi pemimpin masa akan datang pasti dia akan bertembung dengan Nurul Izzah yang nampak sedang mempersiapkan diri.

Lagipun penyertaan Wan Azizah akan menjadi ejekkan dan persendaan oleh pihak lawan kelak. Lebih merumitkan lagi ia akan dijadikan precedent oleh mana-mana pihak untuk berbuat demikian. Kalau ini berlaku dan orang lain juga ingin meletakkan isteri, anak, dan menantu serentak tidak boleh dibantah sebab presiden dan penasihat umum Keadilan juga berbuat demikian.

Politik memang tidak waras tetapi orang yang waras boleh mewaraskan politik. [wm.kl.12:55 t/hari 30/01/12]

Mohd Sayuti Omar, 

No comments:

Post a Comment