Saturday, October 27, 2012

UMNO, MCA dan Gerakan sama-sama 'berlidah biawak'

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Segalanya bermula dengan persepakatan MCA dan Gerakan Kedah menyerang kerajaan negeri Pakatan dengan menggunakan isu perkauman. Hampir tiga tahun mereka mengasak dengan isu yang sama iaitu kuota perumahan 50-50, 'kegagalan' membina semula kandang pemotongan babi yang telah diruntuhkan berhampiran kampung Melayu dan dakwaan kononnya PAS memaksa papan iklan menggunakan tulisan jawi.

Saya tidak berhasrat untuk menjelaskan lagi kedua isu tersebut setelah berkali-kali menjelaskan dalam ruangan ini. Untuk isu ketiga, jawapannya sangat mudah iaitu tiada arahan memaksa tulisan jawi di papan iklan oleh pihak berkuasa tempatan. Mereka hanya digalakkan lalu peniaga lebih selesa menggunakan tulisan jawi memandangkan masyarakat Muslim adalah majoriti di negeri ini. Tetapi biasalah BN, fitnah seolah-olah menjadi rukun yang wajib dilakukan oleh parti mereka.

Terbaru ada pihak berkuasa tempatan yang mengambil langkah mengenakan peraturan terhadap aktiviti pengiklanan. Syaratnya sangat mudah, jika model iklan yang dipaparkan itu Muslim ia wajib menutup aurat. Jika modelnya bukan Muslim ia mestilah berpakaian sopan. Foto seorang wanita bukan Muslim yang memakai choengsam sudah dianggap sopan. Yang tidak sopan ialah wanita yang mendedahkan pangkal dada, paha atau memakai bikini.


Namun semua parti komponen BN menjadikan isu perkauman sebagai penyambung hayat mereka. MCA dan Gerakan pun memalu gendang di kalangan masyarakat bukan Muslim di Kedah bahawa peraturan melarang iklan separuh bogel adalah peraturan yang melampau.

Kenyataan pemimpin MCA dan Gerakan itu disiarkan secara besar-besaran dalam semua media Cina. Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Teh Kok Soo memberi penjelasan panjang lebar kepada semua media tersebut untuk menangkis serangan, namun yang tersiar hanya beberapa baris. Media Cina juga mutakhir ini mungkin sudah diberi kata dua oleh Umno sehingga mereka hilang kebebasan bersuara. Transformasi dalam demokrasi yang kononnya dilaungkan Najib rupanya membawa media Cina ke era komunisme.

Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS Kedah, William Khor menjawab kalau hudud dilaksanakan pun ia sangat baik kerana berjaya banteras jenayah. "Kalau saya kena 'potong' pun saya tetap akan sokong PAS," katanya. Jawapan sebegitu tentulah tak diperlukan oleh bukan Muslim, cuma pedas menyindir sebahagian orang Melayu yang menolak hudud.

Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik tidak berpuas hati dengan kenyataan racis MCA dan Gerakan lalu mengadakan sidang media menjelaskan isu sebenar. Rupanya kenyataan beliau tidak diputarbelit oleh media Cina tetapi Utusan Malaysia pula yang mengambil peranan memutarbelit isu itu dari persepsi perkauman Melayu Islam.

DAP kononnya dituduh akan menentang apa-apa peraturan yang berunsur keIslaman yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, termasuk peraturan iklan tidak sopan. 'PAS perlu restu DAP' dijadikan tajuk utama Utusan Malaysia sebagai tindakan provokasi perkauman terhadap orang Melayu.

Lee Guan Aik lantas menyelar tindakan akhbar pemfitnah itu menyiarkan berita yang bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan beliau.

"Berita tersebut adalah berniat jahat bagi melaga-lagakan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah, mahupun di Malaysia.

“Pada 14 Oktober 2012, saya ada buat sidang media bagi mengulas pelaksanaan garis panduan papan iklan yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

“Dalam kenyataan tersebut, saya langsung tidak menyatakan DAP menentang undang-undang berunsurkan Islam jika mahu dilaksanakan di sini (Kedah), tetapi saya berkata bahawa apa-apa sahaja undang-undang yang perlu dilaksanakan memerlukan persetujuan ketiga-tiga parti (Pakatan Rakyat).

“Ianya perlu dibincang bagi mendapat pandangan semua pihak dahulu, baru boleh dilaksanakan, bukan saya kata PAS perlu restu DAP baru boleh laksana undang-undang berunsurkan Islam, ini bertujuan bagi melaga-lagakan kami (Pakatan Rakyat),” jelas beliau ketika dihubungi," ujarnya.

Begitulah MCA, Gerakan dan DAP; mereka dari satu badan (BN) tapi lidah yang terjelir masing-masing pincang bercabang. Macam lidak biawak.

No comments:

Post a Comment