Politik BN bergantung kepada talihayat PNG
Kes Papua New Guinea menjadi satu-satunya modal BN Kedah menghadapi PRU13. Semua pimpinan yang ternama -seperti Dato' Bashah, Mukhriz dan Bekas Menteri Besar- dan sedang berusaha mencari tempat - seperti Badrulhisham dan Kheng Liang- memberi tumpuan sepenuhnya membuat serangan. Matlamat semua pemimpin kecil dan besar dalam BN ialah mencalarkan imej dan integriti Ustaz Azizan dan kerajaan PR.
Saya telah menjumlahkan kehilangan modal pengurusan dan pelaburan dalam laporan audit, jumlahnya RM6.4 juta. BN berulang kali menjumlahkannya menjadi lebih RM13 juta. Saya memeriksa sekali lagi dengan Jawatankuasa Penilaian yang telah pergi ke PNG dan London untuk menghantikan pelaburan yang sangat berisiko itu. Jawapan mereka ialah angka yang dibangkitkan oleh BN itu ialah jumlah yang terkumpul sejak zaman BN memerintah Kedah dan orang mereka menguruskan KCB.
Jumlah itu turut disumbangkan oleh projek 99 East di Langkawi. Jika ditolak 'kehilangan' dalam kes PNG, kerugian teraudit yang dijana oleh KCB di zaman BN sekitar RM7 juta. Itu tidak termasuk kehilangan yang dapat dihentikan dalam projek 99 East bila PMBKed mengarahkan perjanjian KCB dengan Terra Monda dikaji semula.
Untuk rekod, KCB terpaksa menanggung premium tanah berjumlah RM36 juta, dan tanah seluas 360 ekar itu akan diserahkan kepada 99 East sebagai balasan ditawarkan 20% pegangan dalam 99 East. Mujur bin nasib baik kebodohan BN dulu disedari, dan projek dihentikan sementara, menyelamatkan Kedah daripada kehilangan tanah berharga dan wang berpuluh juta.
Bekas MB- Mahdzir Khalid
Hari ini bekas Menteri Besar mensasau dalam akhbar kerana 99East ditangguh oleh Kerajaan PR. Projek itu tetap ada walau apapun kata kerajaan sekarang, dia membebel. Kalau dijodohkan dengan projek NFC, jawapannya itu seperti dia berkata...lembu tetap ada walaupun RM49 juta dilesapkan ke dinding kondo.
Katanya lagi Ustaz Azizan hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara KCB dan MAS Incorporated (PNG) Ltd. Masakan Ustaz Azizan tak tahu apa kandungan perjanjian dan apa jenis perniagaan itu. Kheng Liang dan Badrulhisham juga berkongsi idea pandir itu. Adakah orang yang menyaksikan sesuatu majlis menandatangani perjanjian perlu dan wajib tahu apa yang dua pihak lain ( KCB dan MAS) persetujui.
Dalam hal meneliti dan mengkaji apa-apa perjanjian bagi pihak sebuah Kerajaan Negeri adalah tanggungjawa Penasihat Undang-undang Negeri (LA). Hakikatnya, sebelum atau selepas ia dipersetujui, ia tidak langsung dibawa untuk LA menunaikan tanggungjawabnya.
Bukankah Ustaz Azizan sudah menjelaskan bahawa semua urusan KCB dalam kes PNG tidak dimaklumkan kpd ALP?
Badrulhisham Mengintai Peluang
Badrul sedang mengintai kerusi untuk bertanding. Dia sedang berkira- kira menggulingkan Adun Pedu, bekas bosnya. Bagaimana? Menyerang PNG bermakna membuka ruang supaya kes- kes lama bosnya dibongkar seluas mungkin. Setakat ini sudah empat kes projek sakit didedahkan. Laporan ke SPRM akan dibuat oleh pemuda esok. Kes 99 East, kes Dewan Mentaloon dan Kes Udang Kerpan berlaku di zaman Adun Pedu menjadi MB. Hanya kes RM11 juta dengan Long Island berlaku di zaman Syed Razak.
Badrul membuat sidang akhbar di pejabat MCA, komponen paling ceroi tapi berani dalam BN Kedah sekarang. Presiden MCA menghina Islam, UMNO seluruh dunia diam membisu. Badrul tidak menggunakan pejabat UMNO untuk menumbangkan seorang tokoh UMNO yang bermasalah. Dia akan menduduki kerusi itu. Kuala Nerang tidak selamat untuk Badrul kerana Syed Sobri sudah lama mengkancing gigi menunggunya.
Badrul menyebut MB patut tahu sebab dia mengarahkan Dato' Puat ke London menguruskan pinjaman. Saya rasa mahu ketawa, kenapa Badrul boleh tersalah dengar atau tersalah baca atau sengaja tersalah cakap tentang pemergian Jawatankuasa Penilaian dan pinjaman itu. ( saya seperti mahu bertanya hang pokak ka?).
Dato' Puat tidak ke London untu membuat pinjamantetapi membatalkan pinjaman atas saranan Ustaz Azizan selepas mengetahui tentangnya. Pinjaman bersendiket itu atas nama MAS Incorporated dan cagarannya ialah projek yang dimiliki 70% sahamnya oleh KCB melalui satu perjanjian.
Badrul boleh mengira walaupun tidak menjejak menara gading. Dia tahu RM6.4 juta tercatat dalam laporan audit, tapi dia memilih untuk menyebut RM13 juta dalam sidang akhbarnya. Dia mahu bekas bosnya merasai pedih calar 7 juta yang tidak dapat dijelaskan! Pedih itu membawa rebah bersekali kerusi Pedu. Tok Det mungkin ke Parlimen? Tengoklah nanti.
Ada satu kes lain dengan KCB sewaktu Tok Det menjadi MB yang belum didedahkan. Badrulhisham patut tahu hal ini. Semua staff KCB mengetahuinya. Dalam projek Trans Eastern Kedah Interland Highway (TEKIH) dari Durian Burung ke Baling, terdapat beberapa jajaran jalan baru yang menempuh kawasan hutan berbalak. Nilainya berjuta juga. Semua kawasan itu diserahkan oleh MB kepada KCB. Tajul Urus dan menantunya yang bertugas di KCB menguruskannya. KCB tidak menerima sebarang hasil dari pada kawasan balak itu. Di hujung cerita, sebuah site office kontraktor jalan dibakar bersama sebuah kereta dan semua dokumen berkaitan kawasan balak yang sudah menjadi jalan itu. Siapa yang boleh menjelaskan kejadian ini?
Tan Kheng Liang - Kesumat Perkauman
Dia membawa agenda Parti Gerakan. Mereka hanya ada kerusi Derga sekarang. Dia berhajat membunuh UMNO satu koloni. Gerakan berhajat bertanding lebih banyak kerusi dan dia mengidamkan satu untuk dirinya. Dia tahu semua isu yang dibangkitkan sebelum ini bahananya akan pergi kepada UMNO. Melemahkan UMNO akan memudahkan urusan menuntut lebih banyak kerusi.
Dia menghina Islam melalui twitternya. UMNO diam! Haris Che Mat berpeluang mengisi muka depan akhbar menasihati Kheng Liang. Tanpa sedar Haris mengurut dan menepuk-nepuk belakang pemuda Gerakan yang menghina Islam. UMNO akan menanggung akibat penghinaan itu nanti.
Kheng Liang membangkitkan isu perumahan. Sepanjang sejarah, hanya PAS sahaja yang berani membuat polisi yang dilihat menjamin masa depan melayu dalam sektor perumahan. Komposisi kaum berasaskan penempatan akan disusun semula melalui polisi ini. Polisi yang tidak berani disentuh oleh BN kerana takut kehilangan undi cina berubah sedikit menjelmakan keadilan untuk semua kaum, melayu bumiputra dan bukan bumiputra. Menyerang polisi ini sebenarnya melondehkan seluar UMNO dan akan membangkitkan sokongan melayu kepada PAS dan PR.
Menekan isu PNG akan meransang kurap dan songkla pemimpin UMNO sewaktu memimpin kerajaan didedahkan. Dia mahu pemimpin parti melayu yang mengetuai BN ditalanjangkan. Dia juga tahu mengira, dia lawyer! Dia juga memakai angka 13 juta. Dia lawyer, kesilapan angka sebesar ini dalam kes mahkamah boleh menyebabkan kalah walaupun hujah lain dia kukuh. Kalau dia jujur dan bertanggungjawab dari awal, dia patut membangkitkan banyak penyelewengan kerajaan BN sebelum 2008. Sahlah dia ada niat lain!
Kheng Liang jarang meneliti fakta dalam mengangkat isu. Dia sering tersasar membuat tuduhan. Contohnya dalam isu garis panduan baru papan iklan MBAS. Lama seblum garis panduan itu diumumkan, banyak syarikat sudah memahami kehendak pasaran di Kedah. Banyak syarikat sudah memaparkan imej model wanita bertudung. Terpampang sebesar gergasi iklan syarikat telekomuikasi di bangunan PKNK dengan imej wanita bertudung, tiada siapapun yang berasa sensitif sama sekali. Malah penduduk beragama Islam merasa bangga pula. Dalam hal ini Kheng Liang melawan arus untuk mencuri perhatian akhbar. Dia sebetulnya menjauhkan pengundi melayu daripada BN.
Kheng Liang menuduhkan projek Aman Central dibuat tanpa tender terbuka, bertentang dengan manifesto. Kheng Liang mungkin tak tahu, projek itu projek swasta. Kalau ada syarikat membawa modal sendiri RM500 juta untuk membangunkan semula projek yang terbengkalai selama 33 tahun di tengah bandaraya Alor Setar, dan kerajaan mengarahkan projek itu dibuat tender terbuka, tidakkah mereka wajar menuduh kerajaan ini gila? Dalam kes Aman Central yang tak mampu diselesaikan selama 33 tahun di bawah 5 Menteri Besar BN, saya rasa terjahan Kheng Liang itu yang gila!
Sepanjang sejarah Gerakan mengepalai Kerajaan BN di Pulau Pinang, satu demi satu penyelewengan dalam isu tanah dibuka oleh DAP selepas 2008. Isu dalam PDC, isu perumahan, isu penempatan orang-orang Melayu, isu Tanjong Tokong, isu Balik Pulau, dan banyak lagi. Gerakan melingkupkan politik baru Malaysia disebalik pintu perkauman dan penindasan.
Kecelaruan Parti Gerakan membawa Presidennya tewas di dua kerusi yang ditandingi. Gerakan tinggal nyawa-nyawa ikan dalam politik Malaysia. Ia bakal dihantar ke taman peringatan. Sila toleh sejenak ke belakang, apa yang Gerakan buat hingga ditolak rakyat, khususnya masyarakat cina di Malaysia. Kerusi Derga itu hanya terlepas ke tangan Gerakan di Kedah kerana tiga penjuru. Kheng Liang patut baiki rumah sendiri sebelum menunjukkan bocor di rumah orang. Kalau rumah kau daripada kaca, jangan membaling batu ke rumah orang lain.
Kheng Liang akan membuat sidang akhbar setiap selasa, memancing respon MB pada hari rabu selepas mesyuarat Exco. Hanya hari rabu lalu dia menerima bungkusan yang kena dengan seleranya. Mungkin ada sedikit lagi saki baki buah dan daun cermai untuk dihinggut. Aiiyaaa...Hinggutlah!
Muhammad Sanusi Md Nor
No comments:
Post a Comment