Tuesday, October 23, 2012

WARKAH TERBUKA KEPADA PEMIMPIN DARI RAKYAT YANG "LEMAIH PERUT"

WARKAH TERBUKA KEPADA PEMIMPIN

Kemajlis Yang Dihormati
Dato’ Seri / Dato’ (termasuk wanita)
Ustaz / Ustazah / Tuan / Puan

Para pemimpin yang dihormati – Semoga anda kalian dijaga oleh Allah dan masih mengharapkan redha Allah SWT.

Assalamualaikum warahmatullah wa barakatuh

Saya layangkan warkah terbuka ini dengan harapan Tuan/Puan (maaf takut panjang sangat kalau guna gelaran lain) berada dalam keadaan sehat wal afiat serta diberikan kekuatan oleh Allah untuk menjalankan amanah “kepimpinan” dengan rasa yang insaf bahawa amanah itu akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT. Saya layangkan warkah ini dengan kesedaran yang penuh bahawa Tuan/Puan semua adalah golongan terpilih dikalangan jutaan para pendokong, Tuan/Puan Allah sempatkan untuk memengang teraju “kepimpinan”, ertinya Tuan/Puan telah mempunyai laluan “Smart Tag” untuk ke syurga Allah sekiranya amanah “kepimpinan” itu Tuan/Puan tunaikan dengan jayanya. Sekiranya tidak! Saya sebagai ahli bawahan dan rakyat marhaen ingin ingatkan Tuan/Puan bahawa masa masih ada untuk tujuan Islah.

Tujuan surat ini dilayangkan kepada Tuan/Puan untuk memberitahu kepada Tuan/Puan bahawa kami orang bawahan ini berasa “lemaih perut” (perasaan ini dikongsi bersama dengan rakan2 yang bersembang di kedai2 kopi pagi ini) apabila tengok lenggok gaya sebahagian Tuan/Puan, kami juga naik “lemaih perut” apabila membaca dan cuba memahami “apa sebenaqnya” kehendak Tuan/Puan dalam memberi kenyataan. Kadang-kadang kami rasa bertambah keliru apabila baca kenyataan Tuan/Puan berbanding dengan dengan arahan dari pemimpin kecil di bawah yang suruh kami buat perkara sebaliknya.


Tuan/Puan, Kami sebagai rakyat bawahan bukan mengharapkan kilauan bintang, angka gaji yang lumayan dan keistimewaan yang sama dengan Tuan/Puan, kami semua faham Tuan/Puan layak untuk mendapat semua itu kerana Tuan/Puan adalah “pemimpin”, lalu yang kami harapkan dari Tuan/Puan adalah “pimpinan / bimbingan”, Tuan/Puan kami nobatkan sebagai “pemimpin”, bukan “pemerintah”. Pimpinlah kami dengan bimbingan dan pimpinan yang betul. Jangan perintah kami “semata”, beza antara membimbing dan memimpin dengan memerintah itu luas. Kalau memimpin sudah tentulah unsur “qudwah dan uswah” (Tuan/Puan lebih faham, tak perlu syarah panjang2), adapun kalau “perintah”, Tuan/Puan hanya perlu untuk memerintah sesuatu dan “ hangpa semua jangan Tanya apa, pasai aku lebih tau”. Sekali lagi rayuan saya bagi pihak geng “lemaih perut”, pimpinlah kami! Wahai ‘PEMIMPIN”.

Akhirnya, rakyat marhaen ini ingin ingatkan Tuan/Puan tentang ibrah dari peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Selepas semua perjanjian dipersetujui dan ditandatangani, baginda ar Rasul telah “memerintah” para sahabat untuk bertahallul kerana mereka terpaksa membatalkan hasrat melaksanakan ibadah Umrah, kebanyakan sahabat buat “dek” saja, ar Rasul berasa kecewa dan baginda pun masuk ke dalam khemahnya, ketika itulah salah seorang isteri baginda memberi pandangan, “alangkah baiknya kalau ar Rasul sendiri “memimpin dan membimbing” dengan baginda sendiri mencukurkan rambut untuk bertahallul. Baginda menerima “pandangan” dari isteri baginda (yang hanyalah seorang wanita suri rumah tangga). Baginda keluar dari khemahnya, dan memanggil tukang cukur untuk membotakkan kepada mulia baginda ar Rasul. Para sahabat terkedu sebaik melihat qudwah “pemimpin” yang sekarang datang dengan watak “memimpin” bukan “memerintah”. Wahai PEMIMPIN ! kami lebih suka untuk dipimpin bukan untuk diperintah yang akhirnya kami takut2 Tuan/Puan sendiri tidak melaksanakan “perintah” Tuan/Puan.

Saya akan coretkan lebih panjang lagi “lemaih perut” masyarakat kalau ada manfaatnya untuk ummat. Kami geng “lemaih perut” tidak akan membiarkan pemimpin terkontang kanting kalau PEMIMPIN itu MEMIMPIN.

Selamat menjalankan tugas
MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN
KEDAH SEJAHTERA : RAKYAT DIBELA, AMANAH DIJAGA
7 Zulhijjah 1433 H / 11:15 pagi
Lembah Barakah, Derang Permai, Kedah Sejahtera
https://www.facebook.com/ridzwan.abubakar/posts/398201586917246

No comments:

Post a Comment