Monday, October 22, 2012

Kerajaan Negeri Kedah sumbang rumah

Alhamdulillah, dapat rumah lebih selesa

BALING - Hasrat sebuah keluarga di Kampung Guar Reban untuk menikmati kediaman yang lebih selesa tercapai setelah menerima sumbangan rumah daripada Kerajaan Negeri Kedah.

Keluarga yang menetap di sebuah rumah bersaiz reban ayam sebelum ini bersyukur kerana tidak perlu lagi hidup dalam keadaan berhimpit.

Shahrizan Yusof, 32 tahun bersama isteri, Noraishah Ramli, 26 tahun dan empat anak mereka berusia dua hingga lima tahun menetap di situ sejak setahun lalu.

Disebabkan factor usia, Shahrizan tidak berjaya mendapat sebarang rumah bantuan bagi menggantikan rumah lamanya itu.

Shahrizan yang hanya bekerja kampung itu lega setelah dimaklumkan akan menerima sumbangan kediaman yang akan didirikan bersebelahan rumah lamanya itu.


“Alhamdulillah, hasrat untuk memiliki rumah selesa telah tercapai. Saya hanya kasihankan anak-anak yang terpaksa berhimpit sebelum ini. Semakin lama, anak-anaknya semakin membesar dan bagaimana mereka ingin terus hidup dalam keadaan rumah yang hanya sebesar reban ayam,” katanya.

Beliau memberitahu, dia menggunakan kayu hutan untuk membina rumah itu selepas mengambil keputusan untuk keluar dari rumah sewanya sebelum ini.

“Saya tak mampu nak jelaskan sewa rumah. Jadi, saya dan keluarga pun terpaksa berpindah mencari kediaman baru. Disebabkan itu, saya terpaksa bina rumah kecil ini untuk berteduh,” ujarnya.

Majlis penyerahan rumah baru itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, YB. Dr. Ismail Salleh.

YB. Dr. Ismail berkata, jumlah keseluruhan peruntukan bagi pembinaan rumah ialah sebanyak RM1,030,200 yang melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu, Kupang, Kuala Ketil dan Sik. Jumlah rumah yang dibina ialah sebanyak 32 buah.

“Manakala rumah yang dibaiki di tiga DUN iaitu Bayu, Kupang dan Kuala Ketil ialah sebanyak 41 buah dengan kos sebanyak RM294,600,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Baling, YB. Taib Azamuddin.

No comments:

Post a Comment