23 Oktober 2012
Peguam Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Sharif
SIK - Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Jalan Gulau, Sik pada kelajuan 30 kilometer sejam disifatkan tidak relevan kerana alat itu dipasang berhampiran laluan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Gulau.
Pemasangannya seolah-olah menjadi perangkap automatik di mana alat berkenaan tetap berfungsi seperti biasa walaupun bukan lagi waktu kemuncak sesi persekolahan.
Berdasarkan perancangan asal pemasangannya di longitud 100.816212 dan latitud 6.0022178, alat itu berada antara persimpangan Jalan Belantik dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Gulau.
Jalan berkenaan juga digunakan penduduk untuk ke Naka, Nami dan Alor Setar.
Tinjauan Sinar Harian juga mendapati tidak terdapat papan tanda had laju 30 kilometer sejam dan pemasangan AES di sepanjang Jalan Gulau-Nami itu.
Peguam Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Sharif berkata, pemasangan AES pada kawasan itu perlu dikaji kerana ia akan mendatangkan kesusahan kepada masyarakat.
Katanya, pemasangan di kawasan sekolah tidak tepat kerana ia rakam kesalahan dalam masa 24 jam sedangkan kawasan itu hanya ada pelajar sekolah dalam tempoh masa tertentu.
"Kase bukan menentang apa dilakukan kerajaan, sebaliknya kita desak kerajaan menambah baik kekurangan pelaksanaannya.
"Bagi kes ini, sepatutnya ada pengecualian sebagaimana kenderaan berat dilarang memasuki jalan utama ketika waktu puncak, begitulah keadaan ini," katanya, semalam.
Menurutnya, rakaman automatik selama 24 jam itu akan membebankan rakyat sedangkan ia tidak praktikal di kawasan sekolah.
Sementara itu, penduduk, Md Alif Md Isa, 40, dari Kampung Gulau berkata, pemasangan AES di kawasan itu bukan hanya menyusahkan penduduk setempat, tetapi melibatkan orang luar yang melaluinya.
“Pemanduan 30 kilometer sejam terlalu perlahan. Jika terdapat kamera di sini, pasti ramai kena saman.
“Kebanyakan pemandu memperlahankan kenderaan apabila waktu persekolahan sahaja, selepas itu akan memandu seperti biasa,” katanya.
Menurutnya, jika perlaksanaan itu diteruskan, ia akan menyulitkan masyarakat setempat.
Bagi peniaga tempatan, Adam Yusof, 40, dia juga tidak bersetuju sekiranya AES dilaksanakan di kawasan sekolah itu.
Menurutnya, pemanduan tidak melebihi 30 kilometer sejam memang baik, tetapi hanya sebilangan kecil memandu tidak melebihi had laju itu.
“Kebanyakan pemandu memandu antara 40 hingga 60 kilometer sejam,” katanya.
Katanya, pemasangan papan tanda had laju adalah wajar dan bersesuaian kerana terdapat sekolah di kawasan ini.
No comments:
Post a Comment