Saturday, January 26, 2013

Jenayah Oh Jenayah.. Benarkah Negara Kita Selamat..???

Pembunuhan, penculikan dan rompakan di mana-mana. Benarkah negara kita selamat?

Setidak-tidaknya dua kes yang amat menyedihkan berlaku di negara ini yang melibatkan kematian. Kes yang pertama ialah kes kematian William Yau seorang kanak-kanak yang berumur enam tahun yang dilarikan oleh orang yang tidak dikenali di Putra Heights minggu lepas. Mayatnya dijumpai di Pelabuhan Kelang dan dikenal pasti oleh ibunya sendiri Goh Ying Ying semalam sebagai anaknya yang telah hilang diculik sejak seminggu yang lalu.

Kes yang kedua ialah kematian C Sugumar yang dikatakan dipukul oleh beberapa orang anggota Polis semasa C Sugumar tangannya masih digari. Yang lebih menyedihkan ialah C Sugumar telah ditaburkan dengan serbok kunyit di muka yang ini menyebabkan C Sugumar menghadapi masalah jantung dan akhirnya meninggal dunia. Kejadian ini berlaku di Serdang dan dengan kejadian ini ramai yang bertanya samada negara kita ini benar-benar sebuah negara yang aman dan damai.

Setiap hari ada sahaja berita manusia dibunuh dan mayatnya dijumpai merata-rata samada di dalam semak atau di dalam longkang serta di kebun-kebun kelapa sawit dan dimana-mana. Bangkai kucing pun susah untuk ditemui tetapi mayat manusia bergelimpangan di mana-mana seolah manusia ini lebih rendah dari haiwan seperti kucing dan anjing. Jumlah kematian manusia dibunuh dalam tempoh dua tiga tahun ini sahaja mungkin melebihi jumlah kematian di dalam peperangan Iran Iraq dahulu walaupun peperangan itu melibatkan penggunaan senjata berat dan berbagai-bagai alat peperangan yang canggih-canggih. .

Saya berserta dengan semua pihak yang lain meminta kerajaan menubuhkan IPCMC untuk melakukan penyiasatan terhadap perlakuan anggota-anggota Polis yang terlibat dalam kes C Sugumar ini kerana jika Polis menjadi penyebab kepada jenayah yang berlaku kita tidak tahu dimana kah rakyat hendak mendapatkan perlindungan jika mereka berada dalam keadaan bahaya. Kita tidak boleh berdiam diri kerana musibah yang berlaku keatas orang lain itu tidak semestinya tidak akan berlaku kepada diri dan keluarga kita sendiri.

Sesebuah negara hanya boleh dianggap aman damai jika rakyat mudah berjalan dan bergerak tanpa rasa takut dan risau tentang keselamatanm diri kita dan keluarga kita. Hishamuddin Hussein berusaha untuk meningkatkan persepsi keselamatan negara dan persepsi pihak penguatkuasa seperti Polis dan lain-lain tetapi bagaimana persepsi buruk ini dapat diperbaiki jika kematian rakyat berlaku dimana-mana di seluruh negara akibat jenayah yang berlaku dikalangan rakyat itu sendiri.

Kematian ini tidak termasuk kematian yang berlaku dijalanraya akibat kemalangan di lebuhraya dan jalan-jalan persekutuan. Kadar kematian dijalanraya adalah 18 orang sehari dan ini merupakan satu fenomena yang tidak dapat di terima oleh sesiapa yang tinggal dalam sebuah negara dalam mana pimpinannya beriya-iya mengatakan negara kita adalah sebuah negara aman dan selamat didiami.

Kematian dalam peperangan di antara rakyat Iraq dan tentera Amerika pun tidak sampai sepuluh ribu sejak tahun 2003 dahulu. Tetapi kematian di jalanraya kita jauh mengatasi jumlah kematian yang berlaku di dalam peperangan di Iraq itu. Di negara kita ini ada sahaja keluarga yang menghadapi musibah kematian dan kemalangan di kalangan ahli-ahli keluarga mereka.

Kita tidak dapat ‘comprehend’ bagaimana kehidupan kita sentiasa dalam ketakutan dan kebimbangan setiap hari dan waktu? Sampai bila kita hendak merasa takut untuk meminta anak kita pergi ke kedai membeli barang dapur dalam keadaan tertekan dan bimbang tentang keselamatan anak-anak kita itu? Bagaimana kah rasa seorang ibu atau bapa yang menunggu kepulangan anak gadisnya yang balik kerja dan tidak tahu samada anak kita itu akan kembali ke rumah dalam keadaan selamat.

Sampai bila kita sentiasa dalam kekhuatiran samada isteri dan ahli keluarga kita selamat tinggal di rumah semasa kita keluar mencari rezki dan bekerja setiap hari. Ramai yang mengalami tekanan ini. Ramai yang mengalami keadaan gembira bersama anak-anak sebelah pagi itu bertukar menjadi malang selepas petang hari.

Rakyat sentiasa dalam kesusahan kerana takut rumah mereka akan dipecah dan dirompak oleh perompak dan penyamun yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja sekarang ini. Rompakan kolar biru ini kita dengar berlaku di mana-mana di seluruh negara. Itu belum lagi di campurkan dengan kesusahan hati kita kerana rompakan terhadap harta rakyat yang tidak henti-henti dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab terhadap negara dan rakyat yang dipimpin mereka.

Di mana-mana ada rompakan. Di mana mana ada samunan terhadap harta orang lain. Manusia yang berpakaian kemas dengan pejabat besar serta mempunyai pengawal peribadi , pemandu dan berpengaruh dalam masyarakat itu juga terlibat dalam rompakan. Bagi perompak berkolar biru mereka merompak rumah-rumah kediaman dan melakukan ragut tas tangan wanita di pasar raya tetapi penyamun dan perompak kolar putih menyamun secara sistematik terhadap harta rakyat yang berada di dalam tanggungjawab mereka melalui pembahagian kontrak dan sebagainya. Jumlahnya bukan seribu dua, tetapi dalam beratus juta malahan ada yang sampai ketahap billion ringgit.

Pendeknya kita sekarang sedang hidup dalam masyarakat perompak dan penyamun. Mereka yang tidak berwang dan berharta pun dirompak nyawa mereka. Bukan sedikit jumlah mereka yang dibunuh oleh perompak apabila mereka dapati rumah yang mereka pecah dan rompak itu tidak mempunyai apa-apa. Hasilnya mereka membunuh tuan rumah itu kerana kecewa tidak mendapat habuan rompakan itu.

Lain-lain perkataan yang berduit dan berharta mereka dirompak harta mereka tetapi bagi mereka yang tidak mempunyai apa-apa akan dirompak nyawa mereka pula. Keadaan ini sama-samalah kita telah dan hayati setiap waktu agar kita boleh melakukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan yang terlalu buruk ini.

Alangkah enaknya hidup jika kita boleh berada dalam negara-negara yang tidak mempunyai isu keselamatan peribadi ini? Kalau kita berjalan di Switzerland misalnya kita akan lihat tiada polis negara itu berkeliaran di mana-mana. Begitu juga dinegara-negara Timur Tengah dan Asia Barat. Di Dubai misalnya amat susah kita hendak ketemu dengan polis di tepi jalan dan di pusat membeli belah dan pusat peranginan.

Negara-negara yang saya sebutkan itu adalah negara yang selamat untuk kehidupan yang sebenarnya. Tetapi kalau kita kaji dengan teliti semua jenayah yang berlaku ini bermula dengan jenayah yang dilakukan oleh kepimpinan negara. Jika negara kita dipimpin oleh mereka yang rasuah dan menjadikan merompak dan menyamun itu sebagai budaya, ia akan menjadi cara hidup rakyat biasa di bawah ini.

Itulah sebabnya rakyat sekarang memilih untuk menyebelahi sesiapa yang mempunyai usaha untuk melaksanakan cara hidup yang sederhana dan di harap Pakatan Rakyat dapat melakukannya tidak lama lagi.

Kepada pimpinan Pakatan Rakyat hanya kita perlukan mereka untuk mengelak dari menyamun dan merompak seperti yang dilakukan oleh pimpinan sesat yang sedang berkuasa pada hari ini. Jadilah pemimpin yang sebenarnya dan jangan sekali menjadi seperti yang dilakukan oleh mereka yang berkuasa sekarang ini.

Tunjukkanlah perbezaan selepas pilihanraya nanti. Semoga dengan kepimpinan yang bersih akan seterusnya membersihkan budaya kehidupan rakyat biasa di negara ini.

No comments:

Post a Comment