ALOR SETAR - Sepanjang lima tahun pemerintahan, Kerajaan Negeri telah menunaikan sebanyak 82 peratus daripada janji manifesto semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 dan lebih membanggakan, beberapa pencapaian cemerlang turut direkodkan walaupun ianya tiada dalam manifesto.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Usahawan dan Pembangunan Insan, YB. Abdul Ghani Ahmad berkata, antaranya ialah melancarkan Skim Kafalah, pembinaan Kampus Induk Kolej Universiti insaniah di Kuala Ketil, peningkatan hasil balak serta mewujudkan Tabung Tunku Mahmud sebagai tabung bantuan pendidikan di Kedah.
“Kita juga turut memberi perhatian terhadap kenaikan elaun imam, siak dan bilal di negeri ini. Kita turut menjalankan kajian untuk menaikkan elaun imam dan ia dibiayai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Majlis Agama Islam Negeri Kedah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Temubual Meja Bulat Antarapos yang bertajuk “Pengalaman Lima Tahun Pakatan di Kedah’ yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, di sini.
Antara ahli panel yang turut terlibat dalam temubual itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, YB. Dato’ Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail dan Pensyarah Pengajian Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Shukri Shuib. Manakala pengerusi majlis ialah penceramah bebas, Aziz Desa.
YB. Ghani memberitahu, dari segi bekalan air di negeri ini, ia sudah dikorporatkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA).
“Selepas bekalan air diletakkan di bawah SADA, kita terpaksa melihat dari segi lokasi dan juga mentanen. Dari segi perjanjian, kita mengenakan tarif air dari RM1 hingga RM1.05,” katanya.
Bagi sektor perkilangan, ujarnya, untuk bayaran tarif air, ia terikat dari segi pertambahan cas air daripada SADA.
“Melalui perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan pelabur di Kulim Hi-Teck Park, kita tidak menaikkan cas air kepada mereka,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri juga turut mengamalkan sifar rasuah dalam pentadbiran dalam usaha menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri maju.
“Kita ingin melihat rakyat dalam hidup dalam keadaan aman dan sejahtera di bawah kepimpinan Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak,” katanya.
YB. Ghani memberitahu, Skim Kafalah yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri turut menerima sambutan baik daripada rakyat di negeri ini.
“Pemberian Skim Kafalah adalah bertujuan untuk membantu rakyat yang menghadapi masalah terutama ketika berlaku kematian,” ujarnya.
Menurutnya, penubuhan Institut Latihan Belia Sejahtera (ILBAS) di Paya Pahlawan, Jitra adalah bertujuan untuk membangunkan modal insan yang berakhlak mulia serta mempunyai semangat yang tinggi dalam membentuk diri menjadi insan yang berilmu pengetahuan.
“Pengambilan semula Plaza Tunku Yaakob oleh Kerajaan Negeri adalah bertujuan untuk membangunkan semula kompleks berkenaan yang terbengkalai sejak sekian lama. Ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan projek yang boleh memberi kebaikan kepada ekonomi negeri Kedah,” katanya.
Di samping itu, sektor pelancongan juga turut diberikan perhatian terutama Pulau Langkawi dalam usaha memacu sektor pelancongan di negeri ini.
“Sektor pelancongan tetap diberikan perhatian dan banyak prasarana yang turut dibangunkan dalam usaha menarik pelancong untuk datang ke negeri ini,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment