KUALA KETIL – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berpuas hati dengan perkembangan Kolej Universiti Insaniah (KUIN).
Titah baginda, KUIN yang hanya bermula dari sebuah pusat pengajian yang bertapak di rumah kedai di kawasan perindustrian Mergong di tahun 1995, KUIN telah membangun dengan cepat sekali, dan kini berjaya bertapak di sebuah kampus tetap, yang mana kampus ini telah dibekalkan dengan kelengkapan yang serba canggih.
“Dari segi bidang ilmuan dan kurikulum yang ditawarkan, INSANIAH telah berjaya melangkah lebih jauh, kini ianya telah menjadi institusi pengajian tinggi yang menyediakan program profesional seperti perubatan, kejuruteraan, multimedia, hospitality, kaunseling, perbankan dan kewangan Islam dan sebagainya, yang semuanya dilaksanakan secara Islamik, melalui proses Islamisasi ilmu melalui gabungan konstruktif, kreatif, inovatif dan komprehensif antara ilmu dunia dan ilmu akhirat,” titah baginda.
Baginda juga yakin bahawa pelajar akan menggunakan peluang berada di INSANIAH ini, untuk menuntut dan mendalami kedua-dua ilmu dunia dan akhirat.
“Saudara dan saudari bukan sahaja akan menjadi profesional yang kompeten dan berkebolehan dalam menjalankan urusan duniawi, bahkan akan menjadi profesional yang akan membawa kemajuan dan perkembangan yang lebih dinamik dan lebih berimbang kepada agama, kemanusiaan dan dunia.
“Beta juga berharap saudara dan saudari akan menggunakan segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi ini, pada jalan yang diredhai dan diberkati oleh Allah SWT jua hendaknya,” titah baginda.
Baginda turut melahirkan ucapan tahniah kepada pihak pengurusan yang telah berjaya membangunkan INSANIAH dengan gigih dan cemerlang.
“Beta menghargai sokongan semua pihak dalam merealisasikan kejayaan ini.
“Beta dan Raja Permaisuri Agong juga berdoa semoga seluruh warga INSANIAH ini dilindungi Allah SWT daripada sebarang musibah, diberikan kekuatan serta keberkatan untuk terus menjadi tonggak pembangunan agama, bangsa dan negara, semoga Allah jadikan kita semua orang yang bersyukur dan bertakwa, serta berjaya di dunia dan akhirat,” titah banginda.
Baginda bertitah pada Istiadat Konvokesyen Khas dan Perasmian Kampus Induk Kolej Universiti Insaniah, di sini.
No comments:
Post a Comment