Monday, January 28, 2013

Umat Islam disaran pegang teguh ajaran Islam

WARTAWAN SINAR HARIAN 28 Januari 2013


KUALA NERANG - Umat Islam disaran berpegang teguh kepada ajaran Islam dan bersatu padu agar masyarakat Islam kembali kuat pada zaman serba mencabar ini.

Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah berkata, beliau percaya selagi umat Islam berpegang pada amalan yang dijunjung Rasulullah SAW, selagi itu umat Islam akan berganding bahu dalam memajukan masyarakat.

“Kita wajar menghayati pengorbanan Rasulullah dan bersemangat kental untuk berjihad ke arah Islam.

“Tidak wajar kita berundur dari perjuangan masyarakat Islam di bumi ini dalam apa jua perkara,” katanya ketika menyempurnakan majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Kedah di Masjid Felda Bukit Tembaga, di sini, bertemakan Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah.

Hadir sama, Toh Puan Temenggong Kedah, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff serta Exco Agama, Pelajaran dan Koperasi, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Tunku Sallehuddin berkata, masyarakat Islam perlu kembali kuat dan berpegang teguh pada ajaran Islam dalam memastikan umatnya terus mengecap kegemilangan.

“Jangan terpengaruh dengan hawa nafsu yang tidak diredai, hendaklah sentiasa tanamkan sifat jihad untuk kepentingan Islam dalam mempertahankan maruah agama,” katanya.

No comments:

Post a Comment