Oleh Lanh
TAHUN 2012 akan melabuhkan tirainya, kini jendela 2013 dibuka. Sesuai dengan tahun baru, tentulah ramai bersemangat baru. Kebanyakan daripada kita berharap melalui tahun baru dari sudut positif. Jika ada hal kurang enak, tanganinya dengan baik, bijak pandai Melayu ada mengungkapkan; buang yang keruh ambil yang jernih.
Bagi memulakan tahun baru ini, izinkan saya berbicara mengenai bidang yang saya tahu selok beloknya iaitu dunia kewartawanan. Saya terpanggil membicarakan hal ini selepas pelbagai pihak mempertikai kesahihan laporan akhbar lebih-lebih lagi pada ketika sebuah akhbar harian nasional kerap benar disaman dan kalah dalam kes dihadapkan terhadapnya.
Antara kata-kata kesat dilemparkan yang menghiris hati ini adalah seperti: Akhbar bukan boleh dipercayai sangat, mereka penipu. Laporan akhbar bukannya betul. Daripada membazirkan masa membaca akhbar, lebih baik baca Quran, dapat juga pahala. Wartawan buat laporan betul tetapi editor seleweng fakta. Ya, dalam akhbar dua perkara saja betul – keputusan nombor ekor dan jadual waktu sembahyang.
Sebagai seorang yang terbabit dalam bidang ini saya benar-benar rasa terpukul. Apa sudah jadi dengan bidang kewartawanan sehingga sesetengah anggota masyarakat memandang hina kepada wartawan dan dunia kewartawanan? Benarkah dengan menceburi bidang ini, seseorang itu tidak boleh menjadikannya sebagai saham arau ladang kebaikan untuk dituai di akhirat nanti? Apakah dengan menceburi bidang ini tidak melayakkan seseorang itu menepati konsep ‘kerja itu sebagai suatu ibadah’ yang sering diuar-uarkan.
Selain kerjaya wartawan dipertikaikan, kecenderungan atau kesukaan seseorang membaca akhbar juga dikecam. Ada kalanya pembaca akhbar dilontarkan kata-kata seperti; buat apa menambah koleksi dosa dengan membaca berita fitnah, melihat gambar-gambar tak senonoh dan bersubahat dengan tauke judi (akhbar menyiarkan keputusan empat nombor ekor).
Jadi sudah timbul tanggapan di kalangan masyarakat bukan saja kerja sebagai wartawan itu sesuatu yang tidak mendatangkan pahala sebaliknya dosa tetapi juga perbuatan membaca akhbar sebagai satu kesalahan, jadi lebih baiklah tak payah baca akhbar!
Perkembangan ini begitu merungsingkan wartawan jujur yang mahukan bidang mencari makan ini ladang bagi mereka mengumpul pahala. Demikian juga pembaca jujur, mereka mahu menambah koleksi pahala dan bukan dosa melalui kegemaran membaca termasuklah dengan membaca akhbar.
Betulkah kita tidak boleh menambah koleksi pahala dengan bekerja sebagai seorang wartawan? Saya cuba mencari jawapannya termasuklah melalui pembacaan. Seorang cendekiawan memberikan harapan dengan menulis begini: Seorang wartawan Islam perlu sedar dia adalah seorang pelapor yang merakamkan kejadian sebenar seperti lensa kamera; mereka sentiasa merasai diri dalam pemerhatian Allah SWT.
Wartawan Islam dibatasi dengan hukum-hukum syariat halal-haram. Seorang wartawan Islam itu sekali gus seorang pendakwah. Lembut lidah pendakwah dalam menyampaikan risalah Allah, lembutlah bahasa wartawan. Tinggi hemah ulama, tinggilah hemah wartawan. Tajam pandangan ulama,, tajamlah pandangan wartawan. Keras ulama mencegah kemungkaran, begitulah sikap wartawan. Wartawan juga perlu menjawab segala kebohongan yang dilemparkan terhadap Islam.
Berikut adalah sebahagian daripada etika kewartawanan Islam yang boleh dijadikan panduan:
1. Betulkan niat iaitu bekerja semata-mata untuk mencari keredaan Allah.
2. Memulakan setiap kerja dengam Bismillah dan apabila selesai mengucap Alhamdulillah.
3. Berada di medan penulisan kerana melaksanakan kewajipan dan fardu kifayah.
4. Kekalkan pendirian menulis hanya atas dasar kejujuran. 5. Bercita-cita menegakkan yang makruf dan mencegah/ menentang kemungkaran.
6. Melaksanakan Islam dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia dengan mengambil kira hukum wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Membenci dan meninggalkan perkara yang haram dan makruh.
7. Menimba ilmu Islam melalui pengajian (berguru) di samping pembacaan dan pemerhatian.
Nah, terbukti sudah bahawa menjadi wartawan boleh menjadi ladang untuk kita menambah koleksi pahala. Demikian juga melalui pembacaan. Namun semuanya terletak di tangan kita, pilihlah akhbar yang menepati kehendak agama sama ada kita sebagai wartawan atau pembaca.
Sempena tahun baru ini yang bermakna umur kita semakin ‘singkat’ marilah kita menambah koleksi pahala sebagai insan Islamik (pengamal ajaran Islam sepenuhnya); termasuklah bagi mereka yang bergelar wartawan dan mereka yang kegemarannya membaca!
No comments:
Post a Comment