Monday, December 31, 2012

Amanat Haji Hadi: beri TGHA satu jam secara langsung di TV1, TV3 dan Astro

oleh Aspan Alias


Isu Amanat Haji Hadi yang dibising-bisingkan oleh UMNO sekarang sepatutnya boleh diselesaikan jika ada sikap bertanggungjawab pihak yang berkuasa dan berlaku adil dan demokratik menghadapi isu yang diperbesarkan oleh UMNO itu.. Amanat yang sudah berusia 31 tahun itu kini menjadi isu mainan pihak UMNO sekarang kerana pilihanraya semata-mata. UMNO sedang mencari isu walau sekecil mana pun untuk merentap PAS dari mendapat sokongan rakyat. UMNO masih mempunyai keyakinan yang orang Melayu dan rakyat kita masih bodoh dan tolol.

Isu terhadap PAS sedang dicari oleh UMNO ibarat mencari kutu di dalam rambut. Walaupun sekecil mana sekali pun ia akan tetap diraut untuk memperlekehkan PAS. Tok Guru Haji Hadi telah menyahut cabaran itu dan meminta semua orang mendengarnya dan meminta semua orang membuat penilaian terhadap apa yang beliau akan perkatakan. TGHA meminta supaya beliau di berikan liputan melalui TV1 dan TV3 secara langsung dan selepas beliau memberikan penerangan nanti biarlah rakyat membuat penilaian terhadap isu itu.

Tetapi yang tidak eloknya, pihak berkuasa tidak mahu memberikan peluang itu kerana takutkan pemimpin PAS itu dapat mendekati rakyat melalui saluran-saluran TV perdana itu. Jika benar UMNO jujur dan ikhlas permintaan TGHA itu tidak sepatutnya ditolak tetapi sebaliknya pihak kerajaan tidak mahu melayan permintaan TGHA itu. Maklum sajalah, negara kita ini demokrasinya ada acuan tersendiri seperti yang lazim disebut oleh pimpinan UMNO seperti Dr Mahathir Mohammad dahulu.

Inilah dia acuannya. Pembangkang disekat untuk bercakap dan mendekati rakyat melalui saluran media perdana kerana UMNO tahu jika pembangkang dibenarkan bercakap melalui saluran TV perdana nescaya rakyat akan mempunyai persepsi yang lain terhadap UMNO dan BN itu.

Kepada Mufti politik khususnya Mufti Perak elok menjaga tugas dan tanggungjawab tugas yang diamanahkan kepada beliau. Jika beliau berminat untuk berpolitik, letak sahaja jawatan itu dan terjun dalam politik sepenuh masa. Jangan pula hendaknya mana-mana Mufti yang mempunyai kecenderungan politik masuk campur sebelum TGHA memberikan ucapan penerangan secara ‘live’ kepada rakyat jelata. Apa yang diperlukan oleh TGHA hanyalah satu jam masa untuk bercakap kepada umum secara langsung kerana BN tidak habis-habis membangkitkan isu ini setiap kali pilihanraya berlaku.

Jika UMNO menjadikan isu ini secara terbuka maka berwajib bagi TGHA untuk memberikan penerangan secara terbuka. Pihak kerajaan pula berwajib untuk memberikan masa selama yang di pinta oleh TGHA dan beliau bercakap secara langsung untuk mengelakkan berita ini diputarbelitkan oleh UMNO. UMNO bergitu mahir melakukan putar belit media ini kerana mereka telah melakukannya selama berdekad-dekad terhadap mana-mana parti pembangkang. UMNO tidak merasa bersalah mendapat sokongan dengan tipu helah dari kuasa yang ada dan tidak merasa bersalah mendapat kuasa secara yang tidak ‘legitimate’.

Pihak kerajaan mesti ‘gentleman’ kerana sifat itulah yang boleh meningkatkan kembali kewibawaan UMNO sedikit sebanyak yang telah lumat selama ini. Biar kita selesaikan isu ini ‘once and for all’. Jika tidak diberikan masa satu jam secara langsung, elok TGHA dan PAS tidak melayan terus isu yang diperbesarkan oleh UMNO ini.

Jika kerajaan bersetuju ia adalah kesempatan yang baik untuk PAS dan TGHA untuk membetulkan sesiapa yang telah terserong oleh dakyah UMNO itu. Baru sekarang UMNO memainkan isu yang sudah berusia 32 tahun itu. Kita tahulah UMNO terdesak tetapi tidak pula saya menjangka yang perasaan terdesak itu sampai ke tahap ini. Rupa-rupanya ketakutan UMNO kehilangan kuasa ini ibarat hendak memisahkan kulit dengan daging.

Selepas itu biar rakyat yang menilainya.

No comments:

Post a Comment