Wednesday, December 26, 2012

Apa kesudahan nasib dan cerita Stadium yang RUNTUH di Trengganu..???

Tragedi stadium runtuh terus jadi igauan
Oleh Syed Azman Syed Ahmad

Terlalu banyak telah diperkatakan tentang isu keruntuhan yang menimpa Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Projek ’gajah putih’ kerajaan negeri Terengganu ini telah menelan kos hampir RM300 juta dan ia tidak dapat digunakan sehingga kini setelah hampir empat tahun struktur bumbungnya runtuh walaupun pelbagai laporan dan kajian telah dilaksanakan bagi mencari punca-punca kepada keruntuhan yang berlaku ini.


Pada Jun 2009, satu Jawatankuasa Khas Penyiasatan telah ditubuhkan oleh Kementerian Kerjaraya (JKR) untuk menyiasat punca berlakunya keruntuhan bumbung stadium ini.

Hasil dari penyiasatan yang telah dijalankan ini telah di taklimatkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bawah Parlimen Malaysia.

Pada awal tahun 2012, kerajaan negeri juga turut  membelanjakan lebih RM2 juta bagi membayar firma perunding yang dilantik iaitu Tetuan Khairi Consultant bagi menyediakan laporan kajian akhir dan dikemukakan kepada pihak kerajaan negeri Terengganu.

Namun stadium bernilai hampir RM300 juta yang sepatutnya menjadi lambang kegemilangan sukan Terengganu ini terus di biarkan tanpa diurus dengan baik sehingga sekarang, mengakibatkan pelbaga kerosakan dan kecacatan yang amat ketara telah berlaku.

Yang terkini, didedahkan di pelbagai portal berita bagaimana keadaan padang bola stadium yang kini seolah-olah menjadi 'hutan mini’ dan 'zoo’ dengan di biarkan padang dan rumputnya tanpa terurus dengan baik.

Sebagai imbasan, pada awal Januari 2012, baru di sedari telah berlaku kecurian pelbagai peralatan pendawaian elektrik, sistem elektronik dan kelengkapan lain termasuk set jana kuasa stadium sejak dari tahun 2010 selepas sebahagian daripada bumbungnya runtuh setahun sebelumnya.

Kehilangan sistem pendawaian dan pelbagai peralatan ini di anggarkan lebih RM50 juta walaupun pada masa yang sama pihak kerajaan negeri membayar sebuah syarikat kawalan dan keselamatan lebih RM 1 juta setiap tahun bagi menjaga stadium tersebut.
(Rakyat Terengganu melihat stadium mereka yang runtuh belum dibaik pulih setelah sekian lama berlalu)

Kejadian yang amat memalukan ini adalah merupakan malang berganda bagi seluruh rakyat Terengganu kerana usaha membaiki dan membuka semula stadium ini bagi pembangunan sukan negeri telah terbuang hampir empat tahun.

Pelbagai kemudahan sampingan, termasuk gelangang bowling bertaraf dunia turut diceroboh dengan keadaannya berselerak selepas silingnya dipecahkan pencuri kabel, manakala bilik menempatkan sistem kawalan berada dalam keadaan bersepah.

Sehingga kini timbul terlalu banyak persoalan yang tdak di jawab sehingga sekarang;


1) Siapakah yang bertanggungjawab keatas perkiraan struktur kejuruteraan bumbung stadium tersenut?

2) Siapakah yang bertanggungjawab mengawasi pembinaan dan keselamatan bumbung stadium tersebut?

3) Apakah bentuk perjanjian kontrak antara syarikat Korea, Suwon yang membina dan mereka-bentuk bumbung stadium dengan pihak kerajaan Terengganu?


Namun persoalan besar yang sehingga kini  menjadi tanda-tanya adalah, walaupun pelbagai laporan telah dibuat kepada pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak polis, namum sehingga kini tiada satu pun  pendakwaan terhadap ’jerung-jerung besar’  yang telah dibuat keatas keruntuhan bumbung serta kecurian peralatan stadium yang dianggarkan bernilai lebih RM50 juta itu.

Yang didakwa hanyalah seorang 'bilis kecil’ yang menjadi 'kambing hitam’ akibat bertindak sebagai konsultan bagi projek tersebut.

Dan persoalan yang terbaru adalah apabila pihak kerajaan negeri telah mengumumkan bahawa kos bagi pembaikian bumbung stadium tersebut akan menelan belanja RM120 juta.

Persoalannya, kos ini adalah amat besar dan amat tidak munasabah. Kenapa harus berbelanja sampai RM120 juta, sedangkan menurut kajian pihak konsultan, kos pembaikian bumbung hanya sekitar RM 30 juta sahaja? Dan siapakah yang akan menanggung segala kos yang amat besar ini?

Apakah 3 ’kontraktor kroni’ utama iaitu Syarikat Bina Struktur, Syarikat Emarcon dan Syarikat Genggam Mercu Sdn. Bhd.  yang diberi kontrak bagi melaksanakan pembinaan stadium ini akan menanggung segala kos ini?

Atau apakah pihak kerajaan Terengganu sendiri yang akan menanggung segala kos pembaikian ini?

Terlalu banyak persoalan yang timbul dalam tragedi runtuhnya Stadium Sultan Mizan ini. Skandal ini terus menjadi perbualan dan tanda tanya kebanyakan rakyat Terengganu sendiri.

Rakyat negeri ’Darul Iman’ ini terus terpaksa menanggung pelbagai bebanan akibat salah urus pimpinan Umno/BN.

Kini rakyat menanggung  masalah stadium yang runtuh, kolam renang yang bocor, stesen bas yang runtuh bumbungnya serta projek-projek pembaziran seperti Zoo di Kemaman, subsidi ’atap biru’, penberian air zam-zam dan buah kurma, yang kesemuanya melibatkan pembaziran dan kerugian ratusan juta ringgit.

Ya, mahu kemanakah skandal yang memalukan ini mahu di bawa? Apakah ianya akan hanya tinggal satu kenangan yang terus menjadi ’titik hitam’ dalam sejarah pentadbiran Umno/BN di negeri Terengganu Darul Iman?
Dan apakah rakyat kini telah bersedia menghukum kebobrokan pentadbiran Umno/BN di Terengganu ini?



*Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS yang juga Adun Batu Burok, Terengganu.
Email: syedazmans@yahoo.co.uk   twitter;syedazman

No comments:

Post a Comment