Thursday, December 27, 2012

Sekolah Agama Rakyat tidak pernah diabaikan oleh kerajaan negeri


ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah tidak pernah menafikan hak Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang berada di bawah Hal Ehwal Sekolah Agama (HESA) seperti yang dinyatakan oleh TV3 baru-baru ini. Malah, kerajaan negeri kini lebih prihatin dan mengambil berat berbanding pemerintah sebelum ini.

Pengerusi HESA, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, dakwaan TV3 bahawa kerajaan negeri Kedah mengabaikan sekolah-sekolah SAR adalah suatu pembohongan dan tidak benar.

“Kerajaan negeri kini adalah pemerintah yang berusaha bersungguh-sungguh membantu sekolah-sekolah agama dan sebelum dapat memerintah Kedah pun sudah berusaha ke arah itu.

“Selepas pentadbiran Kedah berubah, sekolah-sekolah SAR telah disatukan di bawah HESA. HESA ditubuhkan pada April 2008 dan terdapat 71 buah sekolah dibawahnya. Sekolah-sekolah ini sudah mendapat kira-kira RM4 juta selama empat tahun kerajaan negeri kini memerintah Kedah,” ujar beliau ketika ditemui.

Tambahnya, dakwaan bahawa Sekolah Agama Taufikiah atau Pondok Pakya tidak mendapat satu sen pun daripada kerajaan negeri adalah suatu penipuan kerana sekolah tersebut pada tahun ini sahaja menerima bantuan guru yang digaji oleh Majlis Agama Negeri Kedah berjumlah RM196,748.88.

Selain itu, tahun lepas, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan untuk memberi bantuan RM100 kepada setiap pelajar sekolah. Namun, janji itu tidak ditepati kerana seramai 5,048 pelajar dari 28 sekolah di bawah HESA di Kedah dinafikan hak mereka oleh Kerajaan Pusat.

“Akhirnya, atas rasa tanggungjawab, kerajaan negeri menghulurkan sebanyak RM100 kepada semua pelajar yang dianaktirikan oleh kerajaan pusat ini dan jumlah keseluruhannya adalah RM504,800.

“Dengan bantuan dan sumbangan yang diberikan oleh kerajaan negeri terhadap HESA, maka ianya dapat memotivasikan guru-guru hesa untuk meningkat kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah SAR,” katanya.

Katanya lagi, selain itu, kini sudah banyak sekolah yang ingin mendaftar dengan HESA. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana berusaha tingkatkan kualiti sekolah-sekolah SAR.

Menteri Besar sangat prihatin dan sering bertanya khabar berkenaan dengan HESA . Beliau seolah-olah menganggap sekolah-sekolah HESA seperti ‘anak emas’.

“Sebelum ini Maktab Mahmud mempunyai banyak masalah yang berkaitan dengan pentadbiran contohnya seperti status guru yang tidak tetap. Namun, kini kerajaan negeri telah memastikan kira-kira 100 guru ini menjadi tetap.

“Ini bukti keprihtinan kerajaan negeri terhadap sekolah-sekolah agama. Selain itu, kerajaan negeri kini sedang berusaha mewujudkan Maahad Tahfiz Sains dan ianya merupakan suatu sejarah di Kedah kerana ianya tidak pernah diwujudkan sebelum ini,” terangnya.

Ujarnya, sekolah-sekolah di bawah HESA adalah sebanyak 71 buah dan ianya dipecahkan kepada beberapa bahagian iaitu Sekolah Rendah Islam sebanyak 12 buah, Sekolah Menengah Islam (7 buah), Sekolah Integrasi (3 buah), Pondok Umumi (27 buah), Maahad Tahfiz (15 buah) dan Sekolah Pondok (6 buah).

Sekolah-sekolah HESA tidak mendapat bantuan daripada kerajaan pusat seperti Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

“Perancangan kita selepas ini adalah pada tahun hadapan kita akan wujudkan bangunan sendiri di Guar Chempedak. Kita telah membeli tanah di Pondok Haji Majid dan pada Januari tahun hadapan akan diletakkan batu asas.

“Kita pilih di sana kerana ianya berada di tengah-tengah Kedah dan berhampiran dengan pusat pelancongan Gunung Jerai serta terdapat banyak pondok-pondok di sana.

Ianya juga memudahlkan kita untuk menguatkan lagi institusi pondok di sana,” katanya.

Tambahnya, perancangan pihaknya yang seterusnya adalah untuk mengadakan kursus pentadbir pondok kali kedua pada tahun hadapan. Akhir sekali, pihaknya akan berusaha untuk lebih menguatkan lagi tarbiah di sekolah-sekolah HESA.

Berkenaan dengan bantuan yang dijanjikan oleh kerajaan pusat terhadap institusi pondok pula, beliau menyifatkan ianya hanya sebagai janji sahaja.

“Jika ianya benar sekalipun, sememangnya ianya adalah tanggungjawab pemerintah dan bantuan tersebut diberikan hanya kepada sekolah tertentu yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan sahaja.

“Masih banyak sekolah yang masih belum mendapat haknya. Kenapa selepas 50 tahun merdeka baru nak tubuhkan Yayasan Pembangunan Pondok,” soalnya.

Sementara itu, peruntukan kerajaan negeri terhadap sekolah-sekolah HESA adalah pada tahun 2008 sebanyak RM600 ribu, 2009 (RM650 ribu), 2010 (RM700 ribu), 2011 (RM300 ribu) dan 2012 (RM984,800).

No comments:

Post a Comment