Wednesday, December 26, 2012

Kos RM50 juta bukan satu masalah, yang penting daftar pemilih bersih


KUALA LUMPUR, 26 Dis – Cadangan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman supaya diadakan daftar pemilih setiap tiga tahun sekali menjelang pilihan raya umum (PRU) disambut baik oleh pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dengan mengatakan kos RM50 juta bukanlah satu masalah akan tetapi yang paling penting pilihan raya menjadi lebih berwibawa.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, cadangan Abdul Rashid itu diterima baik dan ia sememangnya merupakan tanggungjawab SPR.

“Ada tiga tugas hakiki SPR mengikut Perlembagaan, selain daripada membuat persempadanan kawasan pilihan raya dan menjalankan pilihan raya, tugas hakiki SPR juga ialah menjalankan proses pendaftaran dan memastikan daftar pemilih bersih.

“Oleh kerana itu adalah tugas hakikinya, kita bersikap terbuka terhadap apa-apa cadang yang boleh memastikan daftar pemilih itu bersih dan tidak pertikaikan, termasuklah cadangan yang diangkat Tan Sri (Abdul) Rashid memandangkan beliau mempunyai 27 tahun pengalaman di dalam SPR,” kata Saifuddin apabila dihubungi The Malaysian Insider.

Dalam soal mendaftarkan daftar pemilih, kata Saifuddin lagi, faktor kos itu tak seharusnya dijadikan halangan.


“Saya rasa jika angka RM50 juta itu harga untuk membersihkan daftar pemilih, saya merasakan itu harga yang munasabah,” kata Saifuddin lagi.

Dalam laporan Sinar Harian Online hari ini, bekas pengerusi SPR itu dilaporkan mencadangkan agar daftar pemilih disediakan setiap tiga tahun sekali menjelang pilihan raya umum (PRU) bagi menghilangkan kerisauan sesetengah pihak yang menganggap daftar pemilih sebagai tidak bersih.

“Jadi saya cadang begini. Lebih baik kita daftar tiga tahun selepas pilihan raya, kita daftar semula. Tapi kita perlukan RM50 juta,” katanya.

Menurut Abdul Rashid, jumlah RM50 juta bukan satu kadar yang besar bagi memastikan semua pihak berpuas hati terhadap perjalanan pilihan raya di Malaysia.

“Kacang sahaja bagi negara ini RM50 juta setahun, kita cakap soal bilion-bilion. Macam bancian, kita buat cara itu.

“Sebab itu saya kata, tiap-tiap tiga tahun selepas pilihan raya, supaya bilangan ini, orang yang tidak ada di situ, namanya ada tetapi tidak ada di situ, akan jadi minimum, paling kurang.

“Kalau dia pindah pun, orang masih kenal dia. Masalah sekarang ini, dia pindah, orang tak kenal dia. Sebab dia pindah, alamat dalam kad pengenalan dia, alamat rumah sewa. Sudah bertukar tangan dekat 50 orang mana orang nak kenal. Jadi ini masalah,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata perkara ini sudah lama dikemukakan PAS kepada SPR, dan ia harus dilaksanakan bagi memastikan pilihan raya itu bersih.

“Perkara ini dah lama dikemukakan oleh kami kepada SPR, dari Rashid jadi pengerusi lagi. Pendaftaran pemilih harus dibersihkan.

“Saya rasa bukan masalah duit, tetapi sesetengah pendaftaran pemilih ini dimasukkan tanpa ditapis pada masa yang lalu,” katanya.

Menurut Mustafa lagi, prosedur menguruskan daftar pemilih yang ada sekarang tidak diikuti seratus peratus oleh SPR.

“Kita mahu pendaftaran yang bersih, masalah kos bukan menjadi isu. Kalau kerajaan boleh belanja berbillion-billion untuk projek, kenapa ini tidak boleh?” kata Mustafanya.

Prosedur SPR menguruskan daftar pemilih juga dikritik Saifuddin.

Saifuddin juga memberi contoh Bangladesh sebagai sebuah negara yang menangguhkan pilihan raya bagi bertujuan membersihkan daftar pemilih.

“Seingat saya, ada satu negara yang menangguhkan pilihan raya untuk membersihkan pilihan raya, iaitu Bangladesh. Mereka mendapat kerjasama dari Kesatuan Eropah (EU) untuk membantu membersihkan daftar pemilih dan membangunkan satu daftar pemilih yang kredibel.

“Bila saya baca artikel itu, pengundi di Bangladesh bila dia menyemak namanya dan mengundi, gambarnya tertera di skrin komputer dan barulah boleh mengundi.

“Sudah tentu Malaysia lebih maju dari Bangladesh dalam banyak bidang, tetapi dalam pilihan raya, Bangladesh sanggup menangguhkan pilihan raya. Malaysia harus belajar dari pengalaman Bangladesh membersihkan daftar pemilih,” kata Saifuddin lagi.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Anthony Loke mempersoalkan mengapa Abdul Rashid tidak melaksanakan cadangannya semasa masih lagi bersama SPR.

“Kalau dia yang cakap, itu cuma cakap-cakap kosong sahaja. Sebab kita dah cakap perkara ini sudah sekian lama,” katanya.

PRU ke 13 perlu diadakan selewat-lewatnya selepas mandat Barisan Nasional (BN) tamat pada penghujung April 2013.

Oktober lalu di parlimen, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberitahu parlimen SPR akan melaksanakan cadangan yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) mengenai reformasi pilihan raya pada PRU akan datang.

Dari 32 cadangan yang dibuat oleh PSC, hanya enam sahaja yang tidak akan dilaksanakan kerana melibatkan kos tambahan, kata menteri di jabatan perdana menteri dalam respon kepada Ahli Parlimen Tanjong, Chow Kon Yeow.

“Setakat yang kita tahu, Dewan Rakyat telah meluluskan sepuluh tuntutan pada Disember 2011 dan 22 lagi pada April 2012.

“SPR telah memberitahu kita bahawa kesemua cadangan sedang dan akan dilaksanakan. Daripada 32, hanya enam sahaja yang tidak dilaksanakan kerana mengikut undang-undang dan kos yang tinggi,” kata Nazri lagi.

Bagaimanapun, Nazri berkata itu tidak bermakna SPR tidak akan melaksanakan enam cadangan tersebut pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment