oleh Aspan Alias
Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata BN akan merampas dua puluh kerusi Parlimen dari yang dipegang oleh Pakatan Rakyat sekarang ini dan terus memenangi pilihanraya dengan kekuatan 2/3. Telahan Ahmad Mazlan ini amat menggelikan hati banyak pihak.
Mereka hendak bertanya kepada Ahmad Maslan “di mana BN hendak cabutkan 20 kerusi itu?” Di sebaliknya pihak yang inginkan perubahan pula berkata Pakatan Rakyat lah yang akan dapat merampas setidak-tidaknya 20 kerusi dari BN. Masing-masing mempunyai perkiraan masing-masing, tetapi yang jelas UMNO serta BN sedang menghadapi zaman getirnya yang belum pernah di alaminya sejak merdeka.
Buat kali pertamanya pemimpin BN bercakap hendak merampas kembali kerusi dari Pakatan Rakyat, sedangkan sebelum ini untuk pembangkang mendapatkan kerusi dari BN adalah perkara yang sangat mustahil. Keadaan yang mereka alami sekarang ini merupakan fenomena yang sedang menghantui BN khususnya UMNO kerana jika orang Melayu berubah seperti yang kita jangkakan kali ini UMNO akan kehilangan banyak kerusi bukan sahaja di Semenanjung malahan di Sabah sendiri parti itu sedang dalam kemurungan.
Bagi orang Melayu untuk berhijrah menyokong PAS merupakan keberangkalian yang sangat besar. Kegagalan UMNO untuk memperkuatkan kedudukannya sudah menjadi perkara yang sangat susah untuk di lakukan sekarang ini. PAS yang umurnya tidak berapa tahun sahaja muda dari UMNO yang asal dahulu telah melalui segala pahit maung politik dan sekarang parti itu sudah menjadi parti matang dan berpengalaman luas untuk menghadapi rakyat di seluruh negara.
PAS begitu lama terhimpit oleh kuasa BN dan bukan sedikit pemimpin-pemimpin mereka terperosok dalam tahanan politik dalam sejarah kemerdekaan negara. Tahap ‘resilience’ nya begitu tinggi sehinggakan PAS kini menjadi satu parti yang sangat tersusun dalam segala pendekatannya dengan rakyat. Elemen amal yang ada di dalam PAS tidak mungkin dapat di tandingi oleh BN dalam gerak kerja dalam PAS dan parti Islam itu telah berjaya mendekati hati dan jiwa rakyat Melayu Islam dan juga bangsa-bangsa bukan Melayu dan bukan Islam.
PAS begitu berjaya menunjukkan yang kesederhanaan seperti yang di tuntut agama itu sememangnya mampu di aplikasi oleh PAS dan ini berkehendakkan pengalaman yang luas. PAS akhirnya berjaya untuk meyakinkan rakyat beragama Islam dan bukan Islam yang semua yang kita lakukan itu mesti ada elemen keagamaannya. Itulah yang di katakan addin itu. PAS telah menunjukkan sifat rendah diri dan sanggup menghadapi segala tekanan dari pihak berkuasa UMNO sejak dulu sehingga ke hari ini.
Perjalanan parti itu adalah satu perjalanan yang begitu jauh dan mencabar kerana tekanan pihak pemerintah sebegitu lama. Kini PAS telah melepasi segala masalah-masalah lama kerana penerimaan rakyat terutamanya dikalangan orang yang berpelajaran dan berpendidikan tinggi amat jelas kelihatan. Di komuniti akedemik juga begitu ramai yang memberikan sokongan kepada PAS kecuali dari ‘professor-professor’ yang agak kangkong yang memerlukan UMNO sebagai tempat sandaran mereka untuk mengekalkan kedudukan glamour mereka.
Pengaruh PAS telah menular di mana-mana dan penularan pengaruh PAS ini telah menghantui UMNO kerana PAS lah parti yang akan menundukkan UMNO kerana parti itu juga akan berhadapan dengan UMNO dalam kawasan-kawasan yang majoriti Melayu Islam. Itulah sebabnya UMNO telah mula memainkan dan mendendangkan lagu agama di mana-mana walaupun dendangan lagu agama mereka sangat sumbang di dengar tetapi mereka sedang berusaha untuk menandingi PAS dalam hal ke agamaan ini.
Kita patut beritahu Ahmad Maslan yang penting jika UMNO ini sedar ialah untuk menentukan kerusi yang mereka (UMNO) pegang sekarang kekal di tangan mereka. Kerusi-kerusi di tangan mereka (UMNO) pun sedang menghadapi masalah besar untuk dipertahankan. Oleh itu saya tidak nampak di mana letaknya harapan untuk UMNO merampas 20 kerusi dalam pilihanraya kali ini dan terus sahaja mendapat kekuatan 2/3 dalam Dewan Parlimen selepas pilihanraya ini.
Tetapi Ahmad Maslan sememangnya ada hak untuk berangan dan tidak ada siapa yang boleh menahan beliau dari berangan. Berangan itu percuma….tidak payah bayar atau ambil lesen. Beliau boleh berangan sekehendak hati beliau. Beliau boleh berangan dari buka mata sehingga matanya pejam di tengah malam nanti.
Beliau akan sedar yang 66 kerusi yang dipegang UMNO di Semenanjung ini akan kehilangan beberapa banyak lagi. Di Sabah ada 13 kerusi lagi yang di tandingi UMNO. Satu persoalan yang pasti ialah di Sabah itu lebih dari setengah kerusi genggaman UMNO akan jatuh. Oleh itu saya tidak nampak UMNO akan menambah kerusi kali ini. Tetapi yang pasti Ahmad Maslan akan terdiam selepas pilihanraya kali ini.
http://aspanaliasnet.blogspot.com/2012/12/kali-ini-ahmad-maslan-pula-melawak.html
No comments:
Post a Comment