Monday, December 31, 2012

2013 tahun penamat pemerintahan BN


Rakyat Malaysia, khususnya pendokong Pakatan Rakyat menyambut tahun baru 2013, dengan iltizam untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional dari tampuk pemerintahan.

Semangat yang tinggi di kalangan pendokong Pakatan Rakyat ditonjolkan dengan begitu ketara sepanjang 2012, aktif menganjurkan program dan perhimpunan.

Semua program dan perhimpunan yang dianjurkan mendapat sambutan hebat dari kalangan rakyat, dengan satu tekad dan matlamat untuk memperkasakan gerakan menawan Putrajaya.

Selepas kejayaan penganjuran Bersih yang menggunakan tema kuning, PAS mencipta Himpunan Hijau, gerakan menyelamatkan rakyat dari Lynas juga bertemakan warna hijau.

Manakala gerakan anak-anak Felda mencipta gelombang Oren untuk menyelamatkan tanah dan peneroka Felda dari penindasan serta kezaliman Umno-BN.

Bagi melengkapkan gerakan untuk menumbangkan BN, rakyat Kelantan mencipta gelombang merah bagi menuntut bayaran royalti Petroleum yang dirompak BN bertahun-tahun lamanya.

Kesemua gerakan ini, yang dicetuskan sepanjang tahun, mendapat dokongan padu dari rakyat pelbagai kaum dan agama.

Tidak ada yang terkecuali. Dari Perlis hingga ke Johor, ke Sabah dan Sarawak, malah sehinggakan rakyat di luar negara, begitu berani mengadakan perhimpunan bagi menyatakan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat, sekali gus menolak BN.

Fenomena inilah sebenarnya yang amat ditakuti BN. Apa jua propaganda, apa jua usaha untuk mengekang kebangkitan rakyat, berterusan gagal.

Kebangkitan rakyat ini cukup memberi kesan, sehinggakan Perdana Menteri bersikap 'acuh tidak acuh', 'sekejap yakin sekejap tidak' untuk membubarkan Parlimen, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13.

Apa pun dolak-dalik PM yang juga Presiden Umno, walaupun kuasa membubarkan Parlimen hak mutlak PM, namun, satu hakikat yang tidak boleh dielak, 8 Mac 2013 ini, mahu tidak mahu, usia kerajaan BN akan tamat.

Selepas tempoh itu, Suruhanjaya Pilihan Raya ada 60 hari untuk melaksanakan PRU. Ini bermakna, jangka hayat kerajaan BN, hanya tinggal 5 bulan sahaja.

Dalam tempoh sekarang ini, sehingga beberapa bulan akan datang, merupakan tempoh yang amat kritikal buat BN, iaitu suatu keadaan yang menentukan antara 'hidup dengan mati.'

Pada saat ini, Pakatan Rakyat berada di landasan kesepaduan yang terbaik untuk berhadapan dengan BN. Pakatan Rakyat sudah menjadi alternatif yang diterima rakyat, untuk menjadi kerajaan.

Rakyat Malaysia, yang cerdik dan matang, sudah melihat negara-negara jiran dan seluruh dunia, di mana kepercayaan diberikan kepada golongan 'pembangkang' untuk menjadi kerajaan.

Satu demi satu kerajaan ditumbangkan. Digantikan dengan kerajaan baru, tanpa rasa ragu, tanpa rasa takut oleh rakyat yang berani mencetus perubahan.

Kita percaya 'trend' inilah yang akan melanda negara kita. Iaitu, rakyat tidak ragu lagi untuk menurunkan Umno-BN dari tampuk kuasa, untuk digantikan dengan Pakatan Rakyat.

Fahaman bahawa hanya Umno-BN sahaja yang mampu memerintah sudah terkubur. Walaupun BN menjajanya, walaupun BN mencanang slogan itu siang dan malam, mereka tidak sesekali dapat mengubah komitmen rakyat untuk menolak mereka.

2013 adalah tahun untuk menumbangkan BN. 2013 adalah tahun untuk menamatkan hegemoni mereka. Dan pada tahun 2013 ini, rakyat akan mendapat kerajaan baru, iaitu Pakatan Rakyat.

Hidup Pakatan Rakyat, hancur BN!

Editorial Harakah

No comments:

Post a Comment