Kerajaan Kedah: Kerosakan projek Ladang Hutan di Pedu tidak seteruk dilaporkan Utusan
Oleh Nomy Nozwir
KUALA LUMPUR, 25 Dis — Kerajaan negeri Kedah mahu melaksanakan projek perladangan hutan di Tasik Pedu, dan kerosakannya tidak seteruk yang dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia.
“Pembangunan ladang hutan adalah projek yang dilakukan dikawasan hutan miskin. Kawasan yang dipilih adalah terdiri daripada kawasan hutan simpan yang dikelaskan sebagai kawasan hutan pengeluaran.
“Mana ada rosak teruk (kawasan pembalakan), Utusan ni pembohong, memutarbelit fakta,” kata Muhammad Sanusi Md Noor, setiausaha politik Menteri Besar Kedah ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Menurut Muhammad Sanusi lagi, kerajaan negeri masih belum menerima apa-apa surat dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk arahan berhenti projek pembalakan tersebut serta merta seperti dilaporkan oleh akhbar berbahasa Melayu, Utusan Malaysia semalam.
“Kita tak dapat apa-apa surat dari kementerian, tak ada pun,” katanya.
Menurut Muhammad, kerajaan negeri tidak menafikan berlakunya aktiviti pembalakan yang melibatkan tiga dari empat kompartment semuanya iaitu iaitu 48A, 48B dan 50B yang melibatkan kira-kira 600 ekar tetapi semua kegiatan pembalakan melalui jawatankuasa teknikal pembalakan serta diluluskan oleh Jabatan Perhutanan.
“Jabatan Perhutanan terikat dengan pelbagai Akta Parlimen, sebagai kriteria untuk memberi kelulusan.
“Ini bukan cerita pembalakan haram seperti yang berlaku di beberapa buah negeri yang ditadbir BN.
“Tidak ada pula masa itu media-media utama menyewa helikopter mengambil foto dari udara lalu melaporkan BN rakus gondolkan bukit,” kata Sanusi lagi.
Menurut laporan Utusan Malaysia semalam, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengarahkan semua aktiviti pembangunan dan pembalakan di Gunung Inas serta Pedu di Kedah yang dipersoalkan banyak pihak dihentikan serta-merta.
Menterinya, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, pihaknya sudah memaklumkan arahan itu kepada Jabatan Perhutanan Kedah untuk dikuatkuasakan dan menyampaikannya kepada Kerajaan PAS Kedah.
Semua aktiviti penebangan hutan di kawasan Gunung Inas dan Pedu diarah dihentikan serta-merta sehingga laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang baharu siap.
Ketika ini siasatan terperinci sedang dilakukan.
Berdasarkan siasatan awal terdapat kawasan tadahan air dibalak dan digondolkan tetapi sebarang tindakan selepas ini berpandu kepada hasil siasatan,” kata Douglas dipetik dari Utusan Malaysia.
Utusan Malaysia juga melaporkan kertas siasatan isu balak ini dihantar ke Peguam Negara bagi tujuan pendakwaan.
Sumber Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan kepada akhbar itu, terdapat banyak pelanggaran syarat alam sekitar di sebalik keputusan Kerajaan PAS Kedah membenarkan kedua-dua kawasan yang diwartakan sebagai tadahan air itu dibangunkan.
Paling utama katanya, ketiadaan laporan EIA dalam projek pembangunan di Gunung Inas sedangkan perkara itu merupakan prasyarat utama sebelum sebarang keputusan membangunkan kawasan sensitif atas apa alasan sekalipun diluluskan.
“Ketika ini kita sedang melengkapkan siasatan sebelum dihantar kepada Pejabat Peguam Negara bagi tujuan pendakwaan dalam masa terdekat kerana JAS dapati terdapat pelanggaran syarat yang serius dalam kedua-dua projek pembangunan di Gunung Inas dan Pedu ini,” menurut sumber JAS itu.
No comments:
Post a Comment