Orang Melayu yang menyertai DAP adalah pengkhianat bangsa. Ini fitnah. DAP mahu menghancurkan bangsa Melayu. Ini juga fitnah.
Selepas apa yang disebut sebagai tsunami politik pada pilihan raya umum 2008, sejarah Malaysia seolah-olah sedang ditulis semula. Apa tidaknya, zaman 1940 – 50-an dahulu, kita dihantui dengan sentimen perkauman, komunis, cauvinis dan agama – walau ada sedikit sebanyak kebenarannya, terlalu banyak pula berbalut fitnah. Kini, ia kembali seperti zaman-zaman gelap itu.
Sekarang, penghinaan UMNO-Barisan Nasional ke atas DAP hanya bertujuan mencipta persepsi buruk masyarakat kepada DAP, dengan impian untuk terus berkuasa. Tidak lebih dari itu. Kita tidak hairan, malah boleh maafkan, jika UMNO tidak tahu atau tidak memahami prinsip serta perjuangan DAP.
Tetapi kita tidak dapat memaafkan mereka kerana bukan sahaja mereka menyalahtafsirkan, malah sengaja memesongkan fakta tentang prinsip, perlembagaan dan perjuangan DAP. Sungguh pun memberi pandangan itu hak semua pihak tetapi hak tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan untuk menfitnah. Hak untuk mengkritik tidak sama dengan fitnah. Inilah yang sedang dilakukan oleh UMNO.
“ Utamakan rakyat Malaysia” adalah slogan DAP. Ini merupakan satu kaedah untuk mencapai matlamat perpaduan nasional dan kemakmuran ekonomi untuk semua. ‘Semua’ bermaksud seluruh rakyat Malaysia tidak terkecuali walau satu ras bangsa sekali pun. Ia adalah jati diri Bangsa Malaysia yang berasaskan prinsip keadilan, demokrasi, kebebasan, integriti dan harga diri (karamah insaniah ).
Kesemua perkara dalam prinsip perjuangan DAP adalah sah dan tidak langsung bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Malah DAP menjunjung tinggi dengan maksud, tidak langsung ingin menyentuh atau merubah pada mana-mana bahagian yang telah termaktub dalam Perlembagaan yang telah kita sepakati sejak merdeka lagi.
UMNO pun mengaku menjunjung Perlembagan. Memang kata-kata ini amat indah bunyinya, tetapi apa yang membezakan matlamat UMNO dengan matlamat DAP? Adalah menjadi satu fakta umum bahawa perjuangan UMNO hanya mengutamakan bangsa Melayu. Kita amat sedar dan menerimanya kerana pada awal dasar ini digubal (sekitar tahun 1940-an), sememangnya masuk akal, logik dan relevan, jika melihat keadaan masyarakat Melayu pada zaman itu. Ia sudah menjadi satu keperluan – kita terima.
Tetapi sedarkah UMNO, zaman telah berubah. Bangsa Melayu sudah bertambah bijak, semakin ramai berpendidikan, semakin ramai yang menjadi profesional dan pakar dalam pelbagai bidang. Agenda UMNO yang asalnya memperjuangkan Melayu ini juga akhirnya pada masa ini hanyalah slogan untuk membeli undi orang Melayu, tetapi realitinya Melayu menjadi mangsa kerakusan politik UMNO. Justeru, siapa dapat menafikannya?
Buktinya, semakin ramai orang Melayu menyertai PAS, PKR dan DAP. Malah dalam UMNO sendiri, ada antara mereka yang kecewa kerana menganggap UMNO sudah lari dari matlamat asalnya. Mungkin mereka ini sedang berfikir sama ada mahu kekal dengan UMNO atau mencari wadah baru yang benar-benar berjuang untuk keadilan, kemakmuran bersama serta kestabilan sebenar.
DAP sewaktu ulang tahun penubuhannya yang ke-40 telah meminda perlembagaannya dengan menukar ideologi sosialisme demokratik (yang berteraskan pemiliknegaraan sumber-sumber negara) kepada demokrasi sosial yang lebih terbuka kepada sistem pasaran bebas tanpa mengorbankan hak dan peluang rakyat yang berpendapatan rendah dan miskin untuk terlibat sama dalam arus perubahan. Lihat lah bagaimana DAP menyesuaikan prinsip perjuangannya dengan keperluan zaman dan kehendak masyarakat. DAP belajar dari pengalaman pahit dan manis, dan menyedari bahawa masyarakat lah yang mematangkan perjuangan DAP. Parti itu tidak malu untuk berubah, malah ia semakin bersedia untuk memikul amanah rakyat Malaysia dengan lebih bermaruah.
Dalam masyarakat demokrasi yang matang, sepatutnya UMNO mengajak DAP atau mana-mana komponen Pakatan Rakyat untuk berdialog atau berbahas untuk mencari penyelesaian terbaik bagi rakyat. Tetapi ramai pemimpin UMNO yang tidak faham atau pura-pura tidak tahu tentang amalan demokrasi ini.
Yang terus mereka lakukan ialah menyebarkan fitnah dan fakta-fakta palsu. Mereka momokkan DAP di depan khalayak Melayu, iaitu jika DAP memerintah, nasib bangsa dan bahasa Melayu serta agama Islam akan pupus. Ini hanya lah fitnah. Kerja keji ini dilakukan semata-mata kerana mereka takut orang Melayu sedar bahawa amalan demokrasi sebenar di semua peringkat serta amalan yang berteraskan keadilan, hak dan peluang saksama akan sama-sama menguntungkan orang Melayu dan kaum-kaum lain.
Ini juga tidak menghairankan kita kerana semua tahu bahawa kerja fitnah-memfitnah ini adalah budaya amalan UMNO sejak beberapa dekad lalu apabila segelintir pemimpin mereka mula sedar “untung” yang boleh dikaut jika orang Melayu “memejamkan mata” terhadap salah guna kuasa, penyelewengan dan kronisme.
Memang menyedihkan kerana UMNO pada asalnya bukan begitu. Bukan budaya asal UMNO untuk fitnah-memfitnah. Bukan budaya Melayu untuk berlagak sombong dan merampas hak orang lain. Tetapi sejak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, dan berjaya menjadikan segelintir pemimpin UMNO kaya-raya, mereka mula lupa daratan. Demi kuasa mereka mula membuat fitnah.
Jangan silap, budaya UMNO bukan bermakna budaya Melayu. Jangan sesekali menyamakan budaya buruk UMNO dengan bangsa Melayu. Budaya Melayu terkenal dengan adab dan sopannya. Dalam UMNO pun ada yang benci kepada budaya buruk itu. Sekali pun UMNO mendakwa ia parti yang mewakili kaum Melayu, bukan semua orang Melayu ahli UMNO. Ini fakta.
Oleh Muhammad Zir – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment