Usaha memujuk PAS bekerjasama dengan Umno dilihat berterusan apabila Datuk Nik Aziz Nik Mat mendakwa beliau didatangi wakil Umno sebanyak lima kali untuk tujuan itu dalam masa terdekat.

NONEMenurut ahli parlimen Pasir Puteh Muhammad Husain, Nik Aziz mendedahkan perkara itu ketika bertemu dengan anak-anak Kelantan di Lembah Klang di Dengkil petang semalam.

"Ya, betul, beliau sebut (ada) lima kali pertemuan. Ia berlaku dalam masa terdekat, (ia) mengenai isu kerjasama PAS dengan Umno," katanya yang hadir dalam majlis di dewan orang ramai di situ.

Menteri besar Kelantan itu bagaimanapun didakwa tidak memperincikan individu itu sebaliknya hanya menyebutnya sebagai "berpangkat datuk" dan "pesara kerajaan".

Muhammad juga berkata, Nik Aziz ada memberitahu, PAS ditawarkan tiga jawatan menteri sekiranya membentuk kerajaan perpaduan dengan parti Islam itu.

umno pasBagaimanapun menurut Muhammad, Nik Aziz menolak mentah-mentah pujukan itu kerana PAS sudah membuat perjanjian dengan DAP dan PKR.

Muhamad juga menjelaskan, mursyidul am PAS itu memberitahu, usaha itu berlaku sejak April lalu apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kembali menjaja isu kerjasama kedua-dua parti Melayu itu.

Difahamkan, majlis itu dihadiri kira-kira 500 orang. Turut serta Setiausa Agung PKR Saifuddin Nasution dan dua anggota parlimen, termasuk Abdul Aziz Abdul Kadir (Ketereh), Abdullah Sani (Kuala Langat).

Sementara itu, beberapa pihak yang hadir dalam majlis minum petang itu mengesahkan ucapan Nik Aziz itu dan ada daripada mereka yang difahamkan terkejut dengan pendedahan itu.