Oleh SHIRZAD LIFEBOAT
KEPADA minda ahli politik Umno, parti mereka boleh hancur akibat serangan daripada pembangkang. Pemikiran seperti ini adalah unik dan secara eksklusif cuma dipupuk dan tertanam dalam minda pemimpin dan ahli parti tersebut sahaja.
Berbanding dengan parti lain dalam sejarah negara masing-masing di seluruh dunia ini, deduksi dan rumusan serupa tidak pula dikongsi. Lebih lazim daripada tidak, kehancuran sesebuah parti politik adalah akibat ia tidak lagi mendapat sokongan rakyat kerana gagal menyelesaikan isu bersabit kehidupan rakyat dan beransur-ansur hilang populariti sebelum akhirnya berkubur.
Namun di Malaysia, Umno menjadikan segala-galanya unggul sehingga keadaan dan mungkin juga raison d’etre parti berkenaan tidak sama dengan mana-mana parti politik yang pernah wujud di dunia ini.
Justeru sejak dulu, kini dan mungkin selama-lamanya (dibaca selama mana parti itu wujud), persepsi am yang sentiasa menghantui pemimpinnya, walaupun hantu itu hanyalah hantu ciptaan dan rekaan minda mereka sendiri, ialah bahawa Umno akan hancur jika diserang oleh parti pembangkang.
Minggu lalu persepsi yang boleh dianggap tidak munasabah dan tidak keterlaluan jika dikatakan juga sebagai sesuatu yang bersifat kebudak-budakan ini sekali lagi kembali diulangi dan dimomok-momokkan kepada ahli-ahli Umno. Kali ini jurucakap parti yang menyandang misi ini ialah seorang anggota Majlis Tertinggi dan juga berjawatan Timbalan Menteri Pelajaran.
Ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kota Raja, Shah Alam, seolah-olah seperti tidak ada modal lain, Dr Mohd Puad Zarkashi menjadikan topik kemungkinan akan hancurnya parti yang beliau anggotai itu sebagai tema utama ucapannya.
Antara lain beliau menekan dan menyebarkan kepercayaan kononnya Umno boleh hancur sekiranya tidak dapat membendung serangan psikologi yang dilalukan oleh pembangkang.
Seperti yang dilaporkan oleh Bernama, ketika bercakap kepada pemberita selepas itu, Dr Puad berkata, "Dia (pembangkang) nak orang marah dengan Umno dan seterusnya melemahkan kuasa orang Melayu."
Bagi ahli-ahli dan pemimpin kecil-kecilan Umno, hal-hal remeh dan bahkan tidak mendatangkan faedah sama sekali kepada parti mereka adalah sesuatu yang tidak terlalu sukar untuk dihadam dan ditelan bulat-bulat ibarat penagih dadah menelan pil syabu.
Sejarah Umno yang lebih kontemporer memperlihatkan betapa trend memabukkan ahli-ahli serta pemimpin kecilan-kecilan parti dengan anekdot seperti ini sudah menjadi, adakalanya seperti satu antidot apabila pemimpin atasan merasakan keyakinan peringkat akar-umbi terhadap pucuk pimpinan dirasakan sedang hampir dilanda kegeringan keyakinan terhadap perjuangan dan matlamat parti.
Namun demikian, sebagaimana umum lebih memahami apa yang dilakukan oleh pembangkang selama ini, sama ada di dalam Parlimen, Dun dan juga menerusi pelbagai media yang boleh digunakan oleh mereka termasuk laman sosial seperti FB, ruang penulisan maya seperti blog dan aplikasi penyebaran berita seperti twitter adalah lebih menjurus kepada apa yang tidak dilakukan oleh kerajaan yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan dan apa yang dilakukan oleh kerajaan yang sepatutnya tidak dilakukan oleh kerajaan terhadap rakyat.
Oleh kerana sistem demokrasi sebagaimana difahami oleh rakyat ialah bahawa negara ini bukannya milik mutlak BN ataupun Umno melainkan parti tersebut hanya diberikan mandat sementara untuk menguruskan hal ehwal rakyat, dan bahawa hanya kebetulan sahaja Umno-BN memiliki kuasa politik, maka kepada minda yang lebih intelektual, kritikan yang dibuat ke atas kerajaan tidak boleh dianggap sebagai perbuatan kononnya pembangkang mahukan orang marah dengan Umno.
Kebijaksanaan dan petua politik mengatakan betapa keintelektualan politik tidak boleh dicampuradukkan dengan naluri emosi. Tidak ada sesiapa boleh menafikan betapa sebagai sebuah parti yang telah menerajui dan menjadi tonggak kepada pemerintahan negara ini sejak Merdeka, Umno pernah melahirkan pemimpin yang memiliki keintelektualan politik yang tinggi.
Pemimpin Umno dalam kategori ini mampu mengangkat dirinya sehingga ada ketikanya turut dihormati oleh pembangkang sekalipun. Ini kerana sekiranya parti yang dipimpinnya mengalami kemerosotan populariti, maka ia akan mencari punca dalaman dan memperbaikinya tanpa perlu menuding jari ke arah pembangkang.
Dan dalam menangani pembangkang pula, ia akan menghujahkan isu dan bukannya menuduh pembangkang menghasut rakyat membenci partinya.
Suka atau tidak, inilah kekuatan Umno pada suatu ketika dulu. Hari ini, Umno sudah menjadi sebuah parti yang begitu mudah diperkotak-katikkan oleh bukan sahaja rakyat tetapi oleh ahlinya sendiri kerana semakin ramai pemimpin berpendidikan formal yang tinggi tetapi tidak berwibawa, tidak memahami atau menjiwai falsafah politik dan menggunakan pendekatan emosional keterlaluan yang mudah sahaja dilihat bukan bertujuan menyelamatkan negara dan rakyat ini (sebaliknya memecahkan ukhwah antara kaum) kerana merasakan inilah satu-satu cara untuk menjadi juara dan mendapat perhatian pucuk pimpinan parti agar diberikan tempat yang lebih tinggi sama ada dalam hierarki parti ataupun kerajaan.
Dan inilah juga di antara sebab mengapa dalam masa satu dan dua dekad terakhir ini Umno tandus pemimpin pelapis yang benar-benar berkaliber dan bertanggungjawab terhadap setiap rakyat Malaysia.
Tidak ada gunanya Umno mendabik dada, sebagaimana yang disebut oleh Naib Presidennya, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengatakan kononnya Umno adalah untuk semua kaum tetapi dalam waktu yang sama ada pemimpin pelapisnya yang menggunakan pendekatan emosi melampau.
Misalnya, dalam blognya (entri 20 Disember 2010), Dr Puad menulis: "Hidup mati DAP adalah bergantung kepada putar belit mereka mempolitikkan isu 3R itu. DAPlah bapa salah guna 3R. Keutamaan DAP ialah undi kaum Cina. Bolehkah mereka mendapat undi Cina tanpa menyalahgunakan isu 3R itu? Undi Melayu hanyalah bonus yang diperolehi melalui ihsan PAS dan KeADILan."
Seseorang boleh sahaja berhujah tentang keutamaan MCA pula untuk mendapatkan undi kaum Cina dan undi Melayu hanyalah bonus yang diperolehi menerusi ihsan Umno dan parti komponen lain. Tetapi ini sudah macam kanak-kanak berkelahi pula.
Sebaliknya bagi seseorang yang daya keintelektualan politiknya lebih tinggi, seorang ahli politik tulen, ia akan membawa dirinya serendah itu tetapi mencari jalan sedaya upaya bagi meredakan sebarang ketegangan dan seterusnya penyelesaian terbaik.
Kini begitu nyata betapa kualiti pemimpin pelapis Umno semakin merosot. Justeru apakah kita boleh menyandarkan harapan kepada pemimpin seperti ini dan terus sanggup mengambil risiko membiarkan Umno terus berkuasa?

No comments:
Post a Comment