Friday, May 27, 2011

Harga minyak naik jika BN terus perintah

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan harga RON 95 kekal, menandakan BN goyang, Pakatan Rakyat kuat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, menjadi kelaziman kepada mana-mana pemimpin dunia yang tidak prihatin kepada rakyat akan tersentak bila hampir pilihan raya dalam negara mereka.

Katanya, pemimpin Umno BN sudah mula cakna rakyat kerana hendak mengambil hati pengundi, lebih-lebih lagi suasana pilihan raya akan datang bukan era 60-an dan 70-an.

Tambahnya, pengundi sudah berbeza dan semakin matang untuk memilih mana-mana kerajaan yang bertanggungjawab.

"Sekarang rakyat sudah membuat perbandingan kerajaan PR yang lebih berjiwa rakyat, jika dibandingkan dengan kerajaan BN yang semput nyawa rakyat," ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya lagi, ketika kerajaan BN sibuk memotong subsidi rakyat kerajaan PR terus dengan agenda kebajikan untuk rakyat walaupun jika hendak dibandingkan dengan sumber kewangan negeri yang terhad.

"Pemimpin BN terpaksa memendam rasa dan berlakon menjadi pemimpin yang prihatin untuk menambat hati rakyat dengan mengumumkan RON 95 tidak naik tetapi tidak memberi jaminan sampai bila tidak naik," ujarnya.

Tambahnya, PAS yakin minyak akan naik selepas pilihan raya nanti jika BN terus mendapat mandat.

"Sebab itu ada ura-ura PRU 13 akan diadakan dalam bulan Julai 2011 sebelum Ramadhan, ini bermakna selepas Raya Aidil Fitri maka akan berlaku pesta kenaikan harga barang," ujarnya lagi.

PAS, katanya masih menunggu apakah perancangan  jangka panjang untuk mengatasi kemelut yang ada supaya kualiti hidup rakyat terjamin.

Menurutnya, rakyat tertunggu pengumuman kerajaan untuk membatalkan projek yang tidak mendatangkan faedah kepada rakyat bawahan.

Baginya, BN mewujudkan "makmal" untuk menyusahkan rakyat dengan mengkaji bagaimana hendak menarik subsidi untuk rakyat.

Sepatutnya, kata beliau peranan makmal perlu menasihat kerajaan untuk menyenangkan rakyat.

"PAS yakin harga minyak akan naik melambung selepas Pilihan Raya Umum ke-13 jika BN memerintah kerana mereka hendak melepaskan geram kepada rakyat.

"Oleh itu, untuk pasti minyak tidak naik, BN mesti dihalau daripada Putrajaya di dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment