Tuesday, May 31, 2011

Bapa rayu orang ramai bantu cari anak hilang


Mohammad Yusoff Saidin bersama isterinya, Chik Embun Mustaffa menunjukkan gambar anak mereka, Mohd. Fikril Munir Mohd. Yusoff yang hilang sejak lima hari lalu di Kampung Pida 3, Padang Perahu, Jitra, Kedah, semalam.

JITRA 31 Mei - Seorang bapa dari Kampung Pida 3, Tunjang di sini memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan anak lelakinya, Mohd. Fikril Munir Mohd. Yusoff (gambar kecil), 25, yang hilang sejak lima hari lalu.

Mohd. Yusoff Saidin, 55, berkata, anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kerana lembam keluar dari rumahnya pada Rabu lalu secara bersendirian dengan menaiki basikal.

Katanya, ada penduduk memaklumkan ternampak Mohd. Fikri mengayuh basikal di Kampung Batu 17 di sini menghala ke Kampung Pida 3 kira-kira pukul 4 petang hari tersebut dipercayai mahu pulang ke rumah.

"Tetapi dia tidak pulang sehingga maghrib menyebabkan saya buat laporan polis pada keesokannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Kata Mohd. Yusoff, anak ketiga daripada sembilan beradik itu keluar menaiki basikal di sekeliling kampung pada setiap petang dan kebiasaannya akan pulang sebelum maghrib.

"Kali ini dia tidak pulang dan kami sekeluarga amat bimbangkan keselamatan dan kesihatannya kerana dia perlu mengambil ubat setiap hari untuk elak terkena sawan," ujarnya.

Menurutnya, dia tidak mengetahui baju yang dipakai Mohd. Fikril ketika kejadian kerana dia dan isteri keluar ke rumah saudara di Kuala Nerang, dekat sini.

"Dia hanya bawa wang RM1 dan saya sudah mencarinya di merata tempat namun gagal menemuinya," katanya.

Beliau merayu sesiapa yang terlihat Mohd. Fikril diminta menghantarnya ke balai polis berdekatan atau menghubungi Balai Polis Jitra di talian 04-9172222.

No comments:

Post a Comment