Friday, September 30, 2011

Pemilik kenderaan degil

PEKAN BARU – Tiada tempat letak kereta kosong dijadikan alasan pemilik sebuah kereta yang bertindak meletakkan kenderaannya di tempat letak motosikal di hadapan sebuah bank di Pekan Baru, dekat sini semalam.

Tindakan wanita itu bagaimanapun menyebabkan kakitangan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) mengeluarkan notis saman selain mengunci tayar kereta itu sebelum disedari pemilik yang baru sahaja selesai urusan di bank berkenaan.

Pemilik kereta, S Rogini, 25, berkata, sebaik datang untuk membuat urusan di bank, dia mendapati tiada tempat letak kereta yang kosong menyebabkan dia menggunakan ruang letak motosikal untuk meletak keretanya memandangkan urusan dilaksanakan hanya mengambil masa singkat.

Menurutnya, dia tidak menyangka apabila mendapati dikenakan notis atas kesalahan yang dibuat.

Bagaimanapun, setelah perbincangan dibuat, Rogini bersetuju membayar kompaun dikenakan selain berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

Sementara itu, Ketua Unit Letak Kereta Jabatan Sekretariat MPSPK, Mohd Yusof Youp berkata, kebanyakan pemilik kereta memberi alasan sama iaitu tiada tempat letak kereta tetapi sebenarnya tidak.

“Kalau nak diikutkan di kawasan ini ada satu ruang besar tempat letak kereta namun kedudukannya agak belakang menyebabkan pengguna malas untuk berjalan jauh, mereka lebih suka meletak kenderaan di tempat lebih dekat dengan destinasi yang ingin dituju.

“Contoh sekiranya mahu ke bank, pengguna mahu lebih mudah dan letak di depan bank, atas alasan nak cepat dan ambil masa singkat,” katanya ketika ditemui semasa Ops Tegar semalam.

Menurutnya, Ops Tegar yang bermula kelmarin itu melibatkan kawasan sekitar bandar Sungai Petani atas kesalahan meletak kereta di luar petak, meletak kereta di tempat salah dan melibatkan kes-kes tegar.

Katanya, kes tegar yang dimaksudkan ialah pemilik kenderaan yang menerima lebih dari 10 notis saman namun enggan membayar denda dikenakan sehingga melibatkan jumlahnya mencecah ratusan ringgit.

“Kelmarin, kita berjaya selesaikan sebanyak lapan kes melibatkan kes tegar sekitar kawasan Lagenda Heights di mana kesalahan tertinggi melibatkan seseorang individu menerima 22 saman tertunggak yang mencecah RM1,500, semalam juga kita mengeluarkan beberapa saman” katanya.

Menurutnya, MPSPK melakukan operasi berkenaan bukan mencari keuntungan tetapi untuk mendisiplinkan orang awam supaya bertanggungjawab dan adil kepada golongan yang akur dengan perintah lalu lintas.

2 comments:

  1. Yong sokong 110% tindakan pihak penguatkuasa mengunci tayar kereta dan mengkompoun pemandu yang degil dan malas berjalan sedikit. Kalau berulang juga Yong cadangkan pada penguatkuasa supaya jangan buka kunci sampai 12 jam. Kalau masih degil gak, kunci sampai 3 hari. Baru dia tahu susahnya kita yang jalan kaki nih. Kompoun2 nih tak berkesan bagi orang degil yob.

    ReplyDelete