Tuesday, September 27, 2011

Kedah tersingkir

Selangor mara, Kedah tersingkir


Pemain Selangor, Mohd. Amri Yahyah melakukan tandukan ke gawang Kuala Lumpur pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam. – Utusan/ Izham Jaafar


KUALA LUMPUR - Nasib berbeza dialami dua pasukan pilihan apabila Kedah gagal ke suku akhir Piala Malaysia setelah seri 1-1 dengan Perak di Stadium Darul Aman sementara `Misi 33’ Selangor kembali bernyawa selepas mengatasi Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Shah Alam, semalam.

Skuad Kenari yang terdesak memerlukan kemenangan tersentak apabila dua jaringan mereka dibatalkan oleh pengadil pada separuh masa pertama.

Kedah ketinggalan pada minit ke-53 hasil jaringan bekas penyerang skuad itu, Mohd. Shafiq Jamal sebelum Mohd. Faizal Abu Bakar menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.

Keputusan seri itu memberi laluan buat Sabah yang menang besar 4-1 ke atas Johor di Stadium Larkin bagi menempah pertemuan dengan T-Team pada suku akhir yang dijadualkan 4 dan 8 Oktober ini.

Red Giants berdepan situasi mencemaskan apabila ketinggalan 1-0 menerusi Muhd. Shahrom Abdul Kalam pada minit ke-37 sebelum bangkit pada babak kedua bermula dengan jaringan Mohd. Razman Roslan pada minit ke-65 dan Amri Yahyah melengkapkan kebangkitan dengan gol kemenangan melalui tandukan pada minit ke-75.

Juara bertahan, Kelantan menepati reputasi apabila muncul juara Kumpulan C dengan mengalahkan Felda United 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha.

T-Team muncul juara Kumpulan D selepas berpesta gol membelasah PDRM 6-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Johor FC menang 3-1 ke atas Sarawak di Stadium Pasir Gudang manakala PKNS menang tipis 1-0 dengan Sime Darby pada aksi yang tidak memberi sebarang makna kerana keempat-empat pasukan sudah tersingkir untuk ke suku akhir.


No comments:

Post a Comment