Tuesday, September 27, 2011

Laa ingatkan negeri kita ja ada isu sampah.. rupa-rupanya negeri BN pun 2x5 jaa..!!!

Sana sini sampah!

KANGAR – “Pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan tegas terhadap segelintir penduduk di Pangsapuri Seri Sena di sini, yang mengambil jalan mudah membuang sampah di merata tempat.

“Tindakan membuang sampah dalam lif, kawasan tangga dan tempat meletak kenderaan seperti itu bukan sahaja mendatangkan bau busuk, malah turut merosakkan imej penduduk,” luah penduduk, Che Om Darus, 54.

Che Om berkata, mereka sepatutnya membuang sampah seperti sisa makanan, barangan terbuang, kertas-kertas dan sebagainya itu ke tempat yang sepatutnya.

Menurutnya, ramai penduduk sudah tidak tahan dengan keadaan itu, malah ada penduduk yang terpaksa mengutip sampah yang ditinggalkan di kawasan lif dan tangga untuk dibuang ke tempat sepatutnya.

“Ini amat memalukan, ia bukan sahaja mendatangkan keselesaan kepada orang lain bahkan turut menggambarkan betapa kurangnya kesedaran masyarakat di sini, tentang amalan kebersihan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Jamilah Rejab, 53, berkata, akibat tidak tahan dengan bau sampah yang diletakkan di hadapan pintu lif, dia terpaksa secara sukarela mengangkat sampah itu untuk dibuang.

“Kami terpaksa membuang sampah yang diletakkan orang lain di tempat tidak sepatutnya akibat tidak tahan dengan bau busuk.

:“Tidak kurang dengan itu, ada juga individu yang tidak bertanggungjawab menconteng dinding-dinding dengan perkataan yang tidak senonoh dan memalukan,” katanya yang bekerja sebagai tukang cuci.

Jamilah berkata, penduduk yang menghadapi masalah untuk membuang sampah di tempat pembuangan yang terletak di aras bawah pangsapuri boleh mengambil inisiatif dengan menggunakan perkhidmatan pengangkutan sampah.

Dia berkata, pihaknya percaya mungkin ramai penduduk tidak tahu bahawa Pangsapuri Seri Sena mempunyai khidmat pengangkutan sampah berbayar setiap dua hari sekali.

“Melalui khidmat itu, seorang remaja lelaki berumur lingkungan 20-an akan bergerak dari pintu ke pintu bermula aras bawah hingga aras paling tinggi iaitu aras 13 untuk mengambil sampah.

“Bayaran yang dikenakan untuk perkhidmatan itu juga tidak tinggi iaitu antara RM1 hingga RM2 sahaja bagi setiap bungkusan sampah,” katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Kerajaan, Bahagian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Syaiful Rizal Mohd Sukri berkata, pihak kerajaan sudah melantik syarikat Perlis Properties Sdn Bhd untuk menguruskan hal-hal berkaitan pangsapuri berkenaan.

Bagaimanapun, bagi masalah sampah yang ditimbulkan itu, Perlis Properties tidak mempunyai hak untuk mengambil tindakan seperti mengarah penduduk keluar atau mengenakan bayaran terhadap mereka.

Bagaimanapun, kerajaan melalui syarikat berkenaan sentiasa memantau dari masa ke masa sekiranya terdapat sebarang kerosakan yang berlaku membabitkan kemudahan di sana.

Katanya, dalam menguruskan pangsapuri berkenaan, kerajaan turut mendapat bantuan dari rukun tetangga di situ dalam menguruskan hal-hal berkaitan penduduk.

“Apa yang berlaku itu disebabkan kurang kesedaran penduduk tentang kebersihan kawasan perumahan mereka.

“Apapun kita akan mempertingkatkan lagi usaha mendidik dan memberi kesedaran kepada mereka, sekali gus meningkatkan pemantauan di situ supaya masalah yang ditimbulkan itu dapat diatasi,” katanya.

No comments:

Post a Comment