Saturday, September 24, 2011

Petanian diktiraf sumber ekonomi Kerajaan Negeri

images/stories/dsc_6516.jpgALOR SETAR – Tujuan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan adalah untuk mengikhtiraf sumbangan para petani, penternak dan nelayan kepada sektor ekonomi negara dan negeri.

Demikian antara ucapan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, YB Dato’ Amiruddin Hamzah sempena Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah 2011 yang diadakan di Perkarangan Stadium Darul Aman.

“Golongan peladang, penternak dan nelayan ini perlu diberi pengikhtirafan kerana sumbangan mereka dalam membekalkan makanan untuk penduduk,” ujar beliau.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk program tersebut menegaskan sektor pertanian kekal di tempat ke tiga sebagai penyumbang kepada Kemajuan Ekonomi Negeri Kedah (KENKed) sebanyak 10 peratus selain 55 peratus dari sektor pekhidmatan dan 32 peratus dari sektor pembuatan.

“ Walau bagaimana pun kita masih lagi mengalami depisit sebanyak sebanyak RM10 billion kerana jumlah ekspot kita lebih kecil iaitu sebanyak RM13.7 billion berbanding RM23.3 billion untuk import makanan,” terang beliau.

Tambahnya lagi, bagi memenuhi dasar agro makanan, kerajaan negeri telah merancang Plan Hala Tuju Pertanian sendiri. Antara objektif plan tersebut termasuklah untuk meningkatkan pendapatan kumpulan sasaran, menjamin bekalan makanan mencukupi dan selamat dimakan selain ianya membawa pulangan kepada pendapatan negeri. Di samping itu meluaskan serta melancarkan pasaran domestik dan global.

“Tema sambutan pada kali ini, ‘ Pertanian Berteknologi Tinggi Asas Kesejahteraan Rakyat’ sangat sesuai memandangkan kerajaan negeri telah meneroka bidang pertanian bernilai tinggi yang dapat mewujudkan daya saing dalam pengeluaran produk-produk makanan,” maklumnya lagi.

Kata beliau lagi, antara bidang pertanian bernilai tinggi yang telah dilaksanakan termasuklah dalam bidang aquaculture, herba, sarang Burung Walid, Researh and Development serta inovasi untuk penghasilan produk bermutu tinggi.

“Zon Industri aquaculture telah dilaksanakan di Langkawi yang melibatkan ternakan ikan dalam sangkar dan telah berjaya dipasarkan .

“Bukan sekadar dalam negeri malah kita telah berjaya meluaskan pasarannya ke luar negara dan membekalkannya dalam bentuk ikan hidup.” tambahnya.

Selain itu katanya, Projek Lembah Herba yang dikendalikan oleh Kedah Biocorp yang juga merupakan syarikat milik kerajaan negeri telah berjaya mengeluarkan produk-produk berasaskan herba.

Pasaran dalam negara untuk produk industri berasaskan tani (IAT) telah dipasarkan dengan kerjasama sebuah syarikat di RNR Gurun selain telah berjaya menembusi pasaran ke Eropah iaitu di United Kingdom.

“Pada awal Oktober ini, produk IAT kita akan diperluaskan pasarannya ke Timur Tengah dan negara-negara telok,’ ujarnya lagi.

Beliau juga memaklumkan, usaha-usaha terdahulu yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri seperti mewujudkan pusat pengumpulan buah-buahan dan tanaman nenas telah menampakkan hasil dan kini produk seperti jus mempelam Sala dan sirap rambutan telah berada di pasaran.

“Mempelam Sala yang dulunya tidak dimanfaatkan kita telah berjaya membawa pulangan yang baik kepada petani . Kita juga telah berjaya membantu pengusaha dusun rambutan menstabilkan harga rambutan dan dapat manfaatkan hasil dusun mereka,” terang Amiruddin.

Selain dari kempen-kempen seperti 1 rumah 10 pokok, Pemulihan Dusun dan Pesta Mempelam ianya secara tidak langsung memberi nafas baru kepada golongan petani untuk terus komited dengan hasil tani mereka. Kedah Agro juga memainkan peranan penting terutama dalam usaha melahirkan pelapis tani di sekolah-sekolah .

Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah Tahun 2011 berlangsung selama enam hari, bermula pada 21 hingga 26 September. Antara pengisian yang menarik termasuklah, pertandingan kucing sihat, lelongan ternakan, jualan dan pameran orkid, hasil dan produk tani, forum agama dan pertanian.

Sementara itu Anugerah Peladang, Penternak dan Nelayan Jaya akan disempurnakan oleh KYDMM.

No comments:

Post a Comment