Friday, September 23, 2011

UMNO ‘Jangan campur tangan’

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengingatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya tidak mencampuri urusan parti lain, dan menjaga hal parti mereka sahaja.

“Saya masih mampu tadbir Kedah dan rasanya tidak perlu digantikan buat masa ini,” katanya, mengulas cadangan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, supaya Azizan digantikan dengan anggota Exco, Datuk Amiruddin Hamzah ekoran kesihatannya terjejas kebelakangan ini.

Mengulas kenyataan Mukhriz yang mencadangkan golongan profesional menggantikan Menteri Besar sedia ada, Azizan berkata, apa yang dimaksudkan oleh Mukhriz kurang jelas terutama aspek profesional yang dibangkitkan beliau.

“Saya tak profesional ka? Apa Tok Det (Datuk Seri Mahdzir Khalid, bekas Menteri Besar) sahaja profesional? Apakah yang dimaksudkannya? Saya mampu urus Kedah lebih baik berbanding kerajaan BN sebelum ini, dan ini membuktikan saya profesional dalam menjalankan tugas,” katanya.

Azizan turut membuat perbandingan antara pengurusan Kerajaan Negeri sekarang dengan terdahulu dan menyifatkan kerajaan sekarang lebih bijak mentadbir.

“Dulu Kerajaan Pusat bagi dana, Kerajaan Negeri sebelum ini tak buat apa pun. Saya pula gunakan dana Kerajaan Negeri untuk bangunkan negeri. Contohnya, BN bagi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) guna duit Pusat. Saya bagi Majlis Keselamatan Kampung (MKK) guna duit negeri,” katanya.

No comments:

Post a Comment