Banyak perubahan dilakukan dalam tempoh sepenggal Khamis...
JITRA – Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk rakyat apabila dalam masa empat tahun sahaja banyak perubahan yang dilakukan.
Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, semua perancangan yang dirancang sejak 2008 ada yang telah sempurna dilaksanakan dan ada yang masih dalam proses perlaksanaan. Kerajaan negeri berharap agar tahun 2013 mempunyai lebih banyak peluang yang lebih selesa untuk melaksanakan banyak agenda kepada rakyat dan negeri kedah.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat dalam majlis Sambutan Ambang Sejahtera 2013 di Tasik Darul aman.
“Semua hasrat ini adalah untuk memenuhi kehendak rakyat bagi tujuan keselesaan rakyat pelbagai kaum di negeri ini. Kerajaan negeri meletakkan kesejahteraan rakyat pada tahap yang utama dan kita akan lakukan apa sahaja yang terbaik.
“Saya menegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingin menimbulkan suasana kurang senang di kalangan rakyat negeri ini. Kita berazam agar negeri Kedah bebas daripada rasuah dan Alhamdulillah, Kedah bebas daripada rasuah sama ada di kalangan exco, YB atau di kalangan wakil rakyat,” katanya.
Jelasnya, pihaknya akan merasmikan Kolej Universiti Insaniah Kuala Ketil pada Januari 2013 ini dan Yang Dipertuan Agung akan merasmikan kampus ini . Ini merupakan suatu kejayaan bagi pihaknya kerana dalam masa empat tahun sahaja ianya dapat disiapkan iaitu bermula Sepetember 2009 dan Insya Allah akan dirasmikan awal tahun 2013 ini.
Sehingga hari ini masih ada pihak yang berusaha untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri sedangkan projek-projek yang dijalankan kini tidak dilakukan sebelum ini.
“Kita akan tanam pokok buah-buahan seluas 1000 ekar di Charok Genting Bunga, berhampiran tasik Pedu. Kita dah tanam pokok mangga sebanyak 10 ekar. Kita akan menjadikannya sebagai pusat pelancongan pertanian. Ianya akan dapat memberi peluang pekerjaan kepada rakyat, tetapi kita dituduh mencemarkan kawasan tadahan air.
“Kita berazam untuk menjadikan Kedah selesa dan aman damai, dengan Skim Kafalah kita memberikan sebanyak RM500 kepada waris si mati yang miskin yang meninggal dan kita juga memberikan sumbangan kepada pelajar yang layak dan yang akan melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam sebanyak RM400 untuk ijazah dan RM200 untuk diploma,” terangnya.
Tambahnya, di kawasan Kubang Pasu ini kita telah membuka ladang di bawah syarikat kerajaan negeri, di sana ditanam betik dan nanas. Kerajaan negeri juga membuka kilang memproses buah-buahan di Sungai Petani.
Selain itu, menurutnya program Ambang Sejahtera 2013 ini bukan semata-mata untuk melihat hiburan tetapi ianya untuk menjalinkan hubungan rapat di antara rakyat negeri Kedah. Beliau mahu buktikan bahawa rakyat Kedah bersatu.
“Bagi saya asas penganjuran program ini bukanlah bertujuan untuk bersuka ria tetapi ia lebihkepada himpunan untuk kita bersama menyambut tahun baru 2013 dengan penuh semangat, dengan keazaman yang tinggi dan semangat perpaduan di antara rakyat Kedah.
“Orang yang tidak mempunyai cita-cita atau keazaman sebenarnya dia mudah untuk mencipta sebuah kegagalan. Saya amat berharap dengan kedatangan tahun baru 2013 kita semua mestilah mempunyai suatu hasrat, paling tidakpun hasrat untuk memperbaiki diri sendiri untuk meneruskan zaman yang serba mencabar ini.
“Kita mesti meningkatkan keazaman kita dari yang tidak baik kepada yang baik,” jelasnya.
Tambahnya lagi, kepekaan rakyat terhadap bidang teknologi maklumat telah menyebabkan maklumat dapat disampaikan kepada rakyat. Rakyat juga boleh mendapat maklumat sebenar berkaitan dengan Kedah di laman web www.wartakedah.net.
Turut hadir, Exco-Exco Kerajaan Negeri Kedah dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu yang baru iaitu YB Md Zuki Yusof (ADUN Kuala Ketil).
No comments:
Post a Comment