UPKNKed sedia anjur Kursus Membaca Laporan Bajet untuk Pemuda BN
ALOR SETAR – Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah (UPKNKed) bersedia mengadakan Kursus Membaca Laporan Bajet kepada mana-mana pihak yang tidak faham atau terkeliru dengan maksud Bajet yang dibentangkan oleh kerajaan negeri. Demikian diberitahu oleh Pengarahnya, Haji Zulkifli Yahaya.
Cadangan atau pelawaan UPKNKed ini adalah ekoran dari demonstrasi oleh Pemuda UMNO/BN Kedah di hadapan Wisma Darul Aman untuk menyerahkan ‘Sijil Penghargaan’ kepada Menteri Besar, YAB Dato’Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak bertujuan menyindir kerajaan negeri kononnya defisit bajet terlalu besar.
Sijil Penghargaan tersebut diserahkan sebagai penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kedah sebagai Johan Defisit Belanjawan 2013. Dalam Pembentangan Bajet 2013 sempena Sidang Dewan Undangan Negeri Bagi Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Kedah Yang Kedua Belas lalu, mensasarkan perbelanjaan sehingga mencecahkan RM1.11 billion tetapi hasil pendapatan negeri dijangkakan hanya sekitar RM640 juta. Pemuda BN mentaksirkan defisit adalah sebanyak RM460 juta.
UPKNKed mengira Pemuda UMNO/BN Kedah tidak faham dengan pembentangan bajet berkenaan yang telah dikupas secara terperinci dalam perbahasan Sidang DUN yang lalu.
Oleh itu, untuk mengelakkan salah faham yang berterusan dari pihak berkenaan, maka UPKNKed bersedia mengadakan kursus khas berkenaan secara percuma kepada mereka agar ketidakfahaman tersebut dapat berpanjangan yang turut boleh mengelirukan sebahagian rakyat.
“Bagaimanapun kursus tersebut akan diadakan atas permintaan mereka, tidak guna kita menganjurkan kursus tetapi mereka tidak mahu hadir.
“Jika mahu hadir dan sertai maka kita akan keluarkan Sijil Penghargaan untuk mereka apabila tamat kursus singkat tersebut, yang dijangkan memakan masa tidak lebih satu jam,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment