Bekalan air dijangka pulih lima hari lagi
Oleh MOHD. HAFIZI AHMAD hafizi.ahmad@kosmo.com.my
KUALA LUMPUR – Kerosakan sistem pam air di rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu Baru yang menjadi punca krisis air di sekitar Lembah Klang sejak 29 Disember lalu telah selesai dibaiki bagi membolehkan ia beroperasi semula.
Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Priscilla Alfred berkata, masalah di rumah pam Wangsa Maju berjaya diatasi sepenuhnya kelmarin manakala kerosakan di satu lagi rumah pam dibaiki awal pagi semalam.
“Walaupun kedua-duanya telah beroperasi semula tetapi rumah pam Wangsa Maju beroperasi pada kapasiti yang lebih rendah iaitu 170 juta liter sehari (JLH) berbanding kadar biasa melebihi 200 JLH.
“Kita jangkakan bekalan air akan pulih di kawasan-kawasan yang terjejas dalam tempoh lima hari. Ini kerana kolam-kolam air yang kering sebelum ini memerlukan masa untuk dipenuhkan semula dan saya harap pengguna bersabar,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan sebanyak 107,760 akaun pengguna membabitkan setengah juta isi rumah sekitar Lembah Klang menghadapi krisis bekalan air sehingga Selasa depan berpunca daripada kegagalan sistem pam air di kedua-dua rumah pam tersebut.
Rumah pam Wangsa Maju dilaporkan terpaksa beroperasi dalam keadaan melebihi kapasiti mencecah 220 JLH berbanding kapasiti asal reka bentuk sebanyak 136 JLH manakala rumah pam Pudu Hulu Baru pula gagal berfungsi ekoran kerosakan papan suis utama.
Menurut Priscilla, Syabas telah menggerakkan sebanyak 40 buah lori tangki air serta 174 buah tangki air statik di kawasan-kawasan yang terjejas.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan ini bagi membantu mengurangkan kesulitan yang dihadapi,” ujarnya.
Untuk sebarang pertanyaan atau aduan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas di talian 1-800-88-5252.
No comments:
Post a Comment