Oleh Syed Imran
Kejadian sekumpulan anak muda yang dilaporkan sebagai mahasiswa yang berarak secara aman ke PWTC dan dikatakan telah menurun 'bendera' berwajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menarik perhatian saya.
Apa yang menjadi tanda tanya ialah 'bendera' tersebut. Adakah ia benar-benar 'bendera' dan jika ya, kenapa pula ada wajah Najib mahupun pemimpin-pemimpin lain?
Jika ianya 'bendera' saya ingin tahu 'bendera' itu mewakili atau melambangi apa? Adakah ia didaftarkan dengan mana-mana pihak berwajib seperti Pendaftar Pertubuhan? Jika tidak adakah ia 'bendera' mana-mana kumpulan tidak berdaftar?
Sejak kurang sedekad ini, rakyat Malaysia disajikan dengan bermacam bentuk pemidang, sepanduk, lencana dan kini bendera yang memaparkan wajah pemimpin negara, negeri dan parti-parti politik. Ia seolah-olah satu kemestian atau 'wajib' diadakan.
Saya bimbang kita sedang atau akan menuju ke arah pemujaan pemimpin atau pendewaan pemimpin sama seperti yang berlaku di negara-negara komunis dan sosialis. Kita tidak mahu melihat Malaysia menjadi seperti Korea Utara yang begitu taksub mendewa-dewakan pemimpin mereka dengan memasang sepanduk, lambang dan pemidang besar gambar pemimpin mereka.
Inilah yang sedang berlaku di Malaysia. Di mana-mana sahaja kita boleh lihat potret atau gambar pemimpin-pemimpin tertentu seolah-olah mereka adalah 'dewa' yang dipuja dan dijulang tinggi.
Apa kata para ulama dan cerdik pandai Islam mengenainya? Kenapa mereka tidak bersuara atau adakah mereka bersetuju dan menjadi 'pak turut' yang tidak berani menegur atau menasihati pihak berkenaan?
"Pendewaan" dan "pemujaan" manusia dilarang oleh Islam.
http://kudaranggi.blogspot.com
No comments:
Post a Comment